Warner Bros Games pada tahun lepas telah mengumumkan yang permainan susulan untuk Batman Arkham adalah Gotham Knights dan akan memfokuskan bentuk permainan secara koperasi.
Melalui temubual bersama dengan GamesRadar, penerbit eksekutif untuk permainan tersebut Fleur Marty mengatakan yang permainan ini mengambil inspirasi daripada sistem pertempuran siri Batman Arkham akan tetapi mereka telah mengubah-suai secara keseluruhan untuk menjadikan ia berfungsi dengan baik apabila dimainkan secara koperasi.
Permainan ini masih lagi boleh dimainkan secara solo, akan tetapi anda boleh menerima rakan untuk bermain bersama pada bila-bila masa sahaja, dan mereka juga boleh meninggalkan sesi permainan anda tanpa perlu menghabiskan satu misi ataupun cabaran.
Selain itu, mereka juga memfokuskan kepada kepelbagaian watak yang boleh digunakan yang buat masa ini diumumkan terdapat 4 watak iaitu Batgirl, Nightwing, Red Hood dan Robin. Pemain boleh menukar-menukar watak tersebut pada bila-bila masa tetapi perlu kembali ke hub permainan iaitu The Belfry.
Satu sistem yang menarik adalah walaupun anda menggunakan satu watak, akan tetapi watak-watak lain akan turut menerima peningkatan tahap. Oleh itu, pemain tidak perlu meningkatkan watak untuk setiap watak secara kendiri. Sistem ini bagi saya sudah menjadikan ia lebih baik berbanding permainan ‘jiran’ iaitu Marvel’s Avengers.
Gotham Knights dijangka akan tiba sekitar tahun ini untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series X dan PC.