Yoodo Esports melalui perkongsian di Facebook mereka telah mengumumkan yang Azmal Jasni (iNaoki), Ahmad Fuad (Fredo) dan Muhammad Izzrudin (Jumper) telah meninggalkan pasukan PUBG Mobile Yoodo Gank.

Selain pengumuman tersebut, Yoodo juga telah menyampaikan penghargaan mereka kepada ketiga-tiga pemain tersebut yang sebelum ini telah mengembangkan pasukan Yoodo Gank. Dengan perkembangan terbaru ini, Yoodo Gank kini mempunyai dua pemain sahaja iaitu Abdul Azim Ikromi (Draxx) dan ketua pasukan Aiman Amirul (Man Parang).

Aiman Amirul melalui perkongsian di Instagram beliau telah mengatakan yang pasukan Yoodo Gank bersama dengan iNaoki, Fredo serta Jumper adalah pasukan yang terbaik beliau pernah bermain bersama.

Yoodo Gank pada tahun lepas, telah mendapat tempat kedua bagi PUBG Mobile Pro League Spring Split peringkat Malaysia/Singapura dan menjadi juara bagi peringkat Asia Tenggara. Namun, pencapaian mereka sedikit jatuh pada Fall Split apabila mendapat tempat kedua bagi peringkat Malaysia/Singapura dan tempat ke-9 di peringkat Asia Tenggara.

Buat masa ini tidak disahkan lagi apa perancangan seterusnya untuk mereka, sama ada akan menyertai pasukan lain ataupun sepenuhnya memfokuskan kepada penstriman sahaja. Walau-apapun, kami ingin mengucapkan selamat maju jaya untuk mereka dan juga Yoodo Gank.

Sohor Kini