Bloomberg hari ini berkongsi sejarah mengenai konsol Xbox dengan menemubual beberapa individu yang terlibat pada awal pelancaran konsol tersebut.

Bagi menarik minat pemain terhadap konsol mereka, yang perlu bersaing dengan PlayStation 2, Dreamcast dan Gamecube pada waktu itu, Microsoft telah mencuba untuk mengambil-alih beberapa penerbit permainan. Antaranya yang dinyatakan adalah EA, Nintendo dan juga Square (kini Square Enix). Seperti kita sedia maklum, setiap percubaan tersebut tidak berjaya, EA dan Square terus berkembang menjadi penerbit permainan yang besar.

Bagi Nintendo pula, microsoft pada waktu itu mencadangkan untuk mereka memfokuskan kepada pengeluaran permainan sahaja, dan Microsoft akan menyediakan konsol. Nintendo telah menolak tawaran tersebut yang merupakan satu keputusan tepat sekali kerana Nintendo sekarang jauh lebih berjaya berbanding Microsoft di dalam industri permainan video.

Namun, satu pengambil-alihan yang boleh dikatakan terus menjadi penting untuk mereka adalah Bungie iaitu pembangun asal untuk Halo. Sebelum pengambil-alihan oleh Microsoft, Bungie memfokuskan pembangunan mereka untuk Macintosh, bahkan Steve Jobs adalah antara yang pertama memperlihatkan Halo kepada umum.

Pada tahun 2000, Microsoft telah mengambil-alih Bungie, selain mengeluarkan Halo: Combat Evolved untuk PC dan Mac, permainan tersebut juga menjadi permainan pelancaran untuk Xbox dan sehingga kini Halo adalah satu jenama yang penting untuk mereka, walaupun Bungie meninggalkan Microsoft pada tahun 2007 dan kemudiannya menerbitkan siri Destiny.

Microsoft secara rasmi melancarkan konsol Xbox pertama pada November, 2001 dan menjadi sebahagian daripada konsol generasi keenam.

Sohor Kini