Mojang Studios hari ini telah mengumumkan yang mereka akan menamatkan permainan realiti terimbuh Minecraft Earth pada Jun 2021 dan mengatakan yang pandemik covid-19 telah menyukarkan untuk permainan ini dimainkan dengan sepenuhnya.

Minecraft Earth seperti permainan-permainan realiti terimbuh yang lain memerlukan pemain untuk bergerak di dunia nyata dan bekerjasama dengan pemain lain, sesuatu yang sukar apabila pergerakan dan berkumpul adalah perkara yang tidak digalakkan kerana pandemik Covid-19.

Pokemon GO yang telah melakukan pelbagai perubahan untuk memastikan ia boleh dimainkan di dalam rumah telah menjana pendapatan yang lebih tinggi berbanding sebelum ini, akan tetapi tampaknya Mojang Studios tidak berjaya untuk mencari cara terbaik untuk melakukan perkara yang sama bagi Minecraft Earth.

Minecraft Earth sudah dikeluarkan pada akhir tahun 2019 untuk iOS dan Android dan boleh dimuat turun sehingga 30 Jun, jika anda ingin mencubanya. Namun, bermula kemaskini hari ini mereka akan membuang segala pembelian di dalam aplikasi dan jika anda masih mempunyai Ruby, ia akan ditukar kepada Minecoins untuk digunakan di Minecraft Marketplace.

Sohor Kini