Skip to main content

Bermula dengan permainan Jet Rocket oleh SEGA yang dikeluarkan pada tahun 1970, genre permainan dunia terbuka terus menjadi satu genre popular sehingga kini. Dua permainan dengan jualan tertinggi sepanjang zaman adalah permainan dunia terbuka iaitu Minecraft dan Grand Theft Auto V.

Tarikan utama permainan genre ini sudah semestinya dunia yang boleh diteroka oleh pemain, kepelbagaian aktiviti yang boleh dilakukan, untuk permainan sandbox seperti Minecraft, ia adalah kebebasan untuk melakukan apa sahaja yang menjadi tarikan utama. Namun, pada masa sekarang, penceritaan juga telah menjadi elemen penting di dalam permainan dunia terbuka.

Selain menyediakan satu ruangan yang luas untuk diterokai, pembangun permainan juga telah menyertakan penceritaan untuk mengisi dunia tersebut. Tidak kira melalui penceritaan utama, ataupun penceritaan sampingan yang pemain mungkin tidak akan menjumpainya pun. Jika dilakukan dengan baik, campuran dunia terbuka dan penceritaan yang mendalam ia akan memberi satu pengalaman permainan yang lebih baik.

Berikut adalah antara permainan dunia terbuka dengan penceritaan terbaik;

Red Dead Redemption 2

Permainan “terbaru” oleh Rockstar Games dikeluarkan pada tahun 2008 akan tetapi saya akhirnya menghabiskan kempen utama untuknya pada tahun ini sebagai permainan pertama yang saya habiskan di PlayStation 5. Saya tidak berapa menyukai sesetengah elemen serta pengisian aktiviti yang disertakan di dalam permainan ini, akan tetapi bagi saya ia mempunyai satu jalan cerita yang sangat baik. Bahkan, Red Dead Redemption 2 lah yang membuatkan saya mula memikirkan untuk hadir dengan artikel ini.

Pada awalnya, penceritaan permainan ini, terutama perwatakan Arthur Morgan sedikit menjengkelkan, akan tetapi ada satu kejadian di dalam permainan ini yang akan telah mengubah Arthur dan keseluruhan penceritaan menjadikan ia jauh lebih baik. Penceritaan perlahan sebelum kejadian tersebut juga serba sedikit membantu untuk memberi impak yang lebih besar kepada bahagian akhir untuknya. Bagi saya, permainan ini sudah cukup berbaloi untuk anda beli dan luangkan masa untuk penceritaan sahaja. Aktiviti lain serta Red Dead Online adalah tambahan sahaja. Saya boleh menyertakan Red Dead Redemption yang pertama tanpa sebarang masalah kerana berdasarkan pemain yang pernah mencubanya ia juga mempunyai penceritaan yang baik akan tetapi kerana saya tidak pernah mencubanya saya hanya memfokuskan yang kedua ataupun yang ‘pertama’.

The Witcher 3: Wild Hunt

The Witcher adalah permainan yang penuh dengan penceritaan dunia yang mendalam, bukan sahaja melalui novel asal tetapi juga melalui permainan oleh CD Projekt Red sendiri. Permainan pertama dan kedua sudah cukup baik, akan tetapi permainan ketiga inilah yang benar-benar membawa nama CPDR menjadi satu nama yang penting di dalam industri permainan video.

Walaupun merupakan adaptasi kepada novel oleh Andrzej Sapkowski akan tetapi CDPR telah mengambil inspirasi dan mengembangkannya penceritaan The Witcher menjadi satu yang sangat unik dan boleh dikatakan sebagai satu penceritaan mereka sendiri. Ia juga permainan yang benar-benar memperlihatkan bagaimana misi sampingan serta penceritaan sampingan boleh menjadi sebaik penceritaan utama.

Cyberpunk 2077

Satu lagi permainan CD Projekt Red, namun perkara paling mengecewakan mengenai Cyberpunk 2077 adalah bagi saya ia merupakan satu permainan yang sangat baik akan tetapi disebabkan pelbagai masalah yang dihadapinya telah membuatkan ramai pemain tidak dapat mencuba secara sepenuhnya. Antara bahagian berkualiti di dalam permainan ini adalah penceritaan. Walaupun membawa penceritaan baharu, dengan perwatakan yang tidak dikenali oleh pemain, berbeza dengan The Witcher, ia masih lagi penceritaan yang baik oleh CD Projekt Red.

Sebagai V, watak utama tidak mempunyai kekuatan personaliti tersendiri, kekurangan tersebut diisi oleh watak Johnny Silverhand (Keanu Reeves) dan mereka melakukannya dengan sangat baik. Ini ditambah lagi dengan penulisan untuk watak-watak sampingan, penceritaan yang walaupun adalah pilihan pemain untuk melakukannya tetapi masih lagi dihasilkan dengan berkualiti. Begitu juga dengan misi-misi sampingan, yang walaupun bermula dengan cuba mendapatkan barangan dicuri, tetapi diakhiri dengan masalah mental yang dihadapi oleh bekas tentera adalah antara contoh misi sampingan yang berkembang dengan sangat baik.

Marvel’s Spider-man

Permainan Spider-man oleh Insomniac Games membawa bentuk pertempuran yang sangat menyeronokkan, perasaan “menjadi Spider-man” di bawa dengan sangat mendalam. Namun, ia bukan satu-satunya kekuatan untuk permainan ini. Sebaliknya penceritaan yang di bawa oleh Marvel’s Spider-man dan juga Marvel’s Spider-man: Miles Morales juga adalah sesuat yang sangat berkualiti. Bahkan, saya secara peribadi berpendapat yang penceritaan di dalam permainan ini adalah lebih baik berbanding penceritaan yang di bawa oleh mana-mana filem aksi-nyata Spider-man.

Bagi permainan pertama, penceritaan kekeluargaan yang dibawa sangat berkesan. Bukan sahaja di antara Peter Parker dan Aunt May, tetapi juga perhubungan Peter Parker dengan Mary Jane dan Dr. Otto Octavius memberi impak kepada keseluruhan penceritaan. Ia diteruskan lagi melalui watak Miles Morales. Perhubungan Miles dengan emaknya, serta rakan-rakannya membawa penceritaan yang walaupun ringkas tetapi memuaskan.

Horizon Zero Dawn

Horizon Zero Dawn adalah satu pertaruhan berani oleh Guerilla Games. Meninggalkan IP utama mereka Killzone untuk menghasilkan satu permainan dunia terbuka iaitu satu genre yang berbeza berbanding dengan apa yang mereka biasa hadir. Namun, ia adalah satu pertaruhan yang berjaya apabila Horizon Zero Dawn menjadi satu IP yang berjaya bukan sahaja secara komersial tetapi juga penerimaan pemain.

Aloy, watak utama di dalam permainan ini juga tidak mengambil masa yang lama untuk menjadi antara watak penting di dalam permainan video. Penceritaan gabungan di antara fiksyen sains dan juga kemanusiaan dihasilkan dengan sangat baik. Misteri penceritaan juga disampaikan dengan tepat. Tidak terlalu meleret sehinggakan pemain hilang minat, tetapi tidak terlalu cepat untuk terus mengekalkan ingin tahu pemain.

Ghost of Tsushima

Satu lagi permainan oleh PlayStation Studios, membuktikan yang studio-studio parti pertama oleh Sony Interactive Entertainment sentiasa memfokuskan penceritaan walaupun untuk permainan dunia terbuka. Seperti Guerilla Games, ini juga merupakan IP baharu untuk Sucker Punch dan mereka membawa sesuatu yang tidak biasa di bawah oleh Studio dari Amerika Syarikat iaitu membawa permainan berdasarkan sejarah Jepun.

Ia adalah penceritaan mengenai peperangan di antara empayar Mongol yang cuba untuk menjajah Jepun dengan mendarat di kepulauan Tsushima. Di dalam percubaan untuk melawan Mongol, Jin Sakai terpaksa meninggalkan cara serta adat seorang Samurai dan melakukan apa sahaja yang diperlukan. Pengorbanan Jin Sakai untuk menyelamatkan Tsushima disampaikan dengan sangat mendalam. Ia juga benar untuk penceritaan-penceritaan sampingan yang hadir melalui watak-watak lain yang hadir. Secara keseluruhan ia memberi satu pengalaman penceritaan yang menakjubkan.

Yakuza

Yakuza ataupun judul asalnya Ryū ga Gotoku adalah satu permainan yang sudah bertapak sejak 15 tahun yang lepas, ia adalah antara permainan yang mempunyai keunikan kerana tidak melakukan perubahan yang ketara walaupun sudah mempunyai banyak siri. Saya secara peribadi hanya pernah menghabiskan Yakuza Kiwami, Yakuza Kiwami 2 dan terbaru Yakuza: Like a Dragon dan ketiga-tiga permainan selain mempunyai bentuk permainan lebih kurang, ia juga mempunyai penceritaan yang sangat menarik.

Penceritaan mengenai Yakuza bukanlah sesuatu yang baharu, permainan ini juga mempunyai jalan cerita yang menyamai dengan filem ataupun siri TV berdasarkan subjek yang sama. Namun, ia masih ditulis dengan sangat baik, perwatakan yang menarik serta pelbagai cabang plot yang menjadikan penceritaan tidak ketandusan perkara yang menarik. Ia banyak dibantu oleh watak Kazuma Kiryu yang sudah semestinya watak dikenali ramai. Namun, melalui Like a Dragon mereka memperkenalkan watak baharu iaitu Ichiban Kasuga dan saya boleh katakan beliau bersedia untuk menggantikan Kazuma tanpa masalah.


Tujuh permainan ataupun siri permainan yang saya kongsikan di atas adalah beberapa contoh sahaja daripada permainan dunia terbuka yang mempunyai penceritaan terbaik. Antaranya permainan genre MMORPG seperti World of Warcraft dan Final Fantasy XIV yang juga boleh dikatakan sebagai permainan dunia terbuka juga mempunyai penceritaan yang sangat luas dan menjadi kegilaan ramai pemain.

Manakala permainan oleh Ubisoft, seperti siri Assassin’s Creed dan Far Cry juga mempunyai penceritaan yang baik akan tetapi ia tidak membawa penceritaan yang mendalam terutama untuk siri-siri permainan terbaru. Secara jujurnya saya sedikit kecewa dengan penceritaan yang dibawakan oleh mereka, benar Ubisoft sentiasa memfokuskan kepada apa yang boleh dilakukan di dalam permainan tetapi tidak salah untuk menyertakan penceritaan yang lebih menarik untuk diikuti bersama dengannya.

Dengan pemain kini inginkan penceritaan yang baik di-samping bentuk permainan yang menarik, kita sudah semestinya akan melihat lebih banyak pembangun permainan dunia terbuka menyertakan penceritaan yang setaraf dengan permainan-permainan aksi pengembaraan ataupun RPG.

Leave a Reply