Hari pelancaran merupakan satu tempoh yang penting untuk permainan video, ia adalah waktu di mana jualan tertinggi akan berlaku. Ia juga adalah masa sesuatu permainan dipercakapkan. Jika pelancaran tidak baik, ia mungkin akan menjadi batu nisan untuk sesuatu permainan. Namun, ada juga permainan yang dilancarkan dengan tidak baik tetapi kemudian dipertingkatkan untuk menjadi satu permainan yang boleh dipuji.
Contoh terbaik yang saya boleh katakan adalah No Man’s Sky, semasa dikeluarkan 5 tahun lepas, ia adalah permainan yang dikritik ramai terutama kerana banyak fungsi yang dijanjikan tidak disertakan. Jika anda melihat keadaan sekarang, No Man’s Sky merupakan satu permainan yang baik dan sering menerima kemaskini yang berkualiti. Bahkan, ia telah memenangi anugerah Permainan Berterusan Terbaik semasa The Game Awards tahun lepas.
Jadi melalui artikel senarai hari ini, saya akan nyatakan lima permainan yang saya rasa akan ataupun mungkin mendapat peluang kedua pada tahun ini. Berikut adalah 4 permainan tersebut;
Cyberpunk 2077
Saya yakin yang apabila anda membaca tajuk kepada artikel ini, Cyberpunk 2077 akan terlintas di fikiran anda. Ia adalah permainan yang sangat dinanti-nantikan akan tetapi apabila ia dilancarkan, kekecewaan adalah satu gambaran yang tepat mengenainya.
Secara peribadi, saya mempunyai masa yang baik bermain di PC. Ia adalah satu permainan yang baik, mungkin tidak sebaik The Witcher 3, tetapi masih lagi permainan yang saya luangkan lebih 100 jam bermain. Namun, bukan perkara yang sama saya boleh katakan untuk pemain-pemain lain.
Pelbagai masalah prestasi dan pepijat telah menyekat daripada pemain untuk menghargainya. Terutama pemain di konsol PlayStation 4 dan Xbox One. Walaupun begitu, berbanding permainan-permainan lain yang disenaraikan saya merasakan yang Cyberpunk 2077 adalah permainan yang saya paling yakin akan mendapat peluang kedua.
CD Projekt Red sudah berjanji yang mereka akan mempertingkatkan kualiti permainan ini, ini ditambah lagi mereka bukanlah studio yang mengeluarkan banyak permainan pada satu masa, oleh itu nak tak nak Cyberpunk 2077 adalah satu-satunya sumber kewangan utama mereka.
Marvel’s Avengers
Selepas Marvel’s Spider-man dan filem-filem MCU, Marvel’s Avengers adalah permainan yang saya sangat teruja untuk mencuba akan tetapi selepas melihat video bentuk permainan, saya mula sedikit gusar, dan apabila saya bermain-nya sendiri, kegusaran yang saya rasa adalah tepat. Anda boleh baca ulasan saya melalui pautan ini.
Secara ringkasnya, saya boleh katakan dengan mendapat pelbagai watak serta IP daripada Marvel, Square Enix dan Crystal Dynamics gagal memenuhi potensi yang sebenar. Bentuk permainan sangat berulang, sistem “live-service” membosankan yang membuatkan saya tidak mempunyai motivasi untuk membukanya setiap hari.
Jika Cyberpunk 2077 adalah permainan yang saya yakin akan menerima peluang kedua, Marvel’s Avengers adalah permainan yang saya paling kurang yakin. Ia adalah kerana buat masa ini, Crystal Dynamics hanya bercakap mengenai akan menambah jumlah watak, sedangkan ia bukanlah masalah untuk permainan ini.
Sebaliknya, mereka harus menyertakan sesuatu yang akan menarik pemain untuk terus bermain kerana ia adalah darah kepada permainan live-service. Jika mereka dapat mencari jalan untuk menjadikan permainan ini menarik, mungkin tahun ini saya akan membukanya kembali.
Anthem
Anthem sepatutnya menjadi permainan yang membantu Bioware untuk kembali ke tahap seperti sebelum ini selepas Mass Effect Andromeda yang mengecewakan. Umpama sudah jatuh ditimpa tangga, ia menjadi permainan yang gagal selepas satu lagi permainan gagal.
Ia mempunyai masalah yang lebih kurang dengan Marvel’s Avengers, akan tetapi saya mempunyai masa yang baik bermain Anthem. Sistem pertempuran yang disertakan sangat menarik akan tetapi ia juga tidak memberi alasan kepada pemain untuk terus dan terus bermain.
Berbanding Avengers, Anthem sekurang-kurangnya sedar masalah mereka, saya juga ada menulis mengenai adakah permainan ini masih mempunyai harapan dan sejak Februari lepas, permainan tersebut tidak lagi menerima kemaskini utama, sebaliknya pasukan Anthem sedang melakukan olahan semula untuknya.
Buat masa ini tidak disahkan lagi jika, “Anthem 2.0” akan tiba pada tahun ini tetapi jika ya, saya berharap ia akan menjadi momen peluang kedua untuk Anthem dan juga Bioware sendiri.
Konsol Generasi Baharu
Ini bukanlah satu permainan, akan tetapi saya boleh katakan berkait dengan permainan video. Konsol generasi baharu PlayStation 5 dan Xbox Series tidak mempunyai pelancaran konsol yang gagal, sebaliknya ia terlalu berjaya yang mengakibatkan masalah tersendiri.
Bagi pengguna di Malaysia, ataupun mana-mana tempat di dunia, untuk mendapat peluang membeli konsol tersebut adalah satu perlumbaan. Apabila ia dibuka dalam talian, dalam masa beberapa minit sahaja pra-tempah habis terjual. Apabila perlu beratur, masa kedai tidak dibuka lagi, anda sudah tidak mendapat peluang.
Dengan kata lain, membeli konsol adalah satu perkara yang mengecewakan semasa ia dikeluarkan pada tahun lepas. Manakala tahun ni pula bagi PlayStation 5, Malaysia sudah menerima sesi pra-tempah kedua, akan tetapi ia juga dalam jumlah yang sangat sedikit. Xbox Series pula saya mula melihat yang sesetengah kedai menawarkannya dengan harga yang sangat tinggi.
Walaupun begitu saya masih lagi berharap yang pada tahun ini kita akhirnya boleh mendapat stok konsol dengan lebih tinggi sehinggakan sesiapa sahaja boleh berjala ke kedai dan membelinya, selepas itulah bagi saya, barulah kita betul-betul memasuki generasi baharu.
Sama ada permainan + konsol akan memenuhi peluang kedua mereka pada tahun ini, masih sukar untuk kita jangkakan. Namun, saya sentiasa berharap setiap permainan yang dikeluarkan sekurang-kurangnya menjadi kejayaan untuk studio tersebut. Dengan permainan yang gagal, ia mungkin akan menjadi pengakhiran untuk sesuatu studio yang bagi saya perkara yang sangat mengecewakan.
Di dalam industri permainan video yang semakin bergerak pantas, peluang kedua adalah perkara yang tidak semua studio mampu memilikinya. Bagi mereka yang dapat, kita hanya boleh berharap yang mereka akan mengambil peluang sepenuhnya.