Kemaskini: Permainan mudah alih oleh Tencet dilaporkan kembali disenarikan di Huawei, selepas perbincangan lanjut di antara Huawei dan Tencet berlaku hari ini. Buat masa ini tidak disahkan mengenai perjanjian baharu di antara dua syarikat tersebut.


Bagi yang mengikuti perkembangan arena teknologi terutama berkaitan telefon pintar, Huawei telah disekat daripada menggunakan Google Mobile Service (GMS) mengakibatkan mereka tidak dapat mengakses kemaskini terbaru Android dan juga menggunakan gedung aplikasi Play Store.

Mereka telah hadir dengan gedung aplikasi tersendiri iaitu AppGallery. Hari ini, telah dilaporkan yang Huawei telah membuang kesemua permainan oleh Tencent dari gedung aplikasi mereka. Menurut Tencent ia adalah kerana perbincangan pembaharuan perjanjian di antara dua syarikat tersebut telah gagal.

Berdasarkan laporan oleh Reuters, Huawei telah meminta pembahagian pendapatan sebanyak 50%, yang menurut Tencent adalah tinggi. Apple melalui App Store dan Google melalui Play Store, mengambil lebih kurang 30% daripada pendapatan melalui gedung aplikasi mereka.

Menurut Daniel Ahmad iaitu penganalisa industri permainan video, gedung aplikasi Play Store diharamkan daripada beroperasi di China, oleh itu gedung aplikasi khusus oleh pengeluar telefon adalah satu-satunya cara untuk mereka menawarkan aplikasi kepada pengguna dengan mudah. Disebabkan perkara ini, Huawei telah meminta potongan yang lebih tinggi dan ia bukan khusus untuk Huawei sahaja.

Menurut Tencent, perbincangan masih dilakukan dan mereka sudah semestinya ingin peratusan tersebut lebih rendah, terutama kerana mereka boleh dikatakan satu penyumbang terbesar pendapatan bagi gedung aplikasi.

Masalah pembahagian pendapatan bukanlah sesuatu yang luar biasa, Epic Games sendiri telah menyebabkan Fornite tidak lagi ditawarkan di App Store dan juga Play Store selepas tidak bersetuju dengan potongan sebanyak 30% yang dikenakan oleh Apple dan Google.

Sohor Kini