Ulasan Cyberpunk 2077 – Mangsa Cita-Cita Sendiri

Cyberpunk 2077 telah dikeluarkan sejak 10 Disember 2020, iaitu melebih 7 bulan yang lepas, mungkin ramai akan tertanya mengapa ulasan baru dikeluarkan pada masa ini. Secara ringkasnya ia adalah disebabkan masalah Cyberpunk 2077 untuk dimainkan di PlayStation 4 semasa pelancaran.

Kami telah menerima kod permainan untuk tujuan ulasan ini daripada CD Projekt Red, dan mereka telah memberi kod untuk PlayStation 4. Disebabkan pelbagai masalah prestasi, selepas seminggu dilancarkan, Cyberpunk 2077 telah dinyah-senarai daripada PS Store. Oleh itu, saya juga mengambil keputusan untuk menunda ulasan sehinggalah permainan ini kembali di PS Store, di mana ia berlaku pada bulan lepas.

Saya telah meluangkan masa lebih 100 jam bermain Cyberpunk 2077 di PC, dan ulasan ini kebanyakan berdasarkan pengalaman saya bermain di platform tersebut, saya juga telah bermain lebih kurang 30 jam di PlayStation 5 tetapi masih tidak menghabiskannya lagi untuk serba sedikit berkongsi prestasi terkini bagi permainan tersebut.

Jika anda ingin mengetahui apa yang berlaku dengan Cybepunk 2077, ataupun ingin mengetahui pendapat saya mengenai mengapa perkara ini berlaku, anda boleh baca; Cyberpunk 2077: Di Mana Silapnya?. Secara ringkasnya, ia adalah disebabkan apabila satu syarikat bercita-cita terlalu besar berbanding apa yang mereka boleh lakukan.

Tanpa lengahkan masa lagi, berikut adalah ulasan untuk Cyberpunk 2077 yang sudah lama tertangguh.

V dan Johnny Silverhand

Kelebihan yang ada pada siri The Witcher, terutama untuk The Witcher 3: Wild Hunt yang menjadi permainan utama bagi CD Projekt Red adalah mereka mempunyai watak yang dikenali serta disukai ramai iaitu Geralt. Di dalam Cyberpunk 2077, mereka tidak mempunyai watak tersebut, selain itu berbanding mempunyai satu watak kekal, watak utama adalah watak yang dicipta oleh pemain sendiri iaitu V.

Dengan kata lain, Cyberpunk 2077 mempunyai masalah kerana tidak hadir dengan watak yang sudah dikenali kerana V adalah watak baharu. Namun, CD Projekt Red berjaya mengurangkan masalah tersebut dengan turut memperkenalkan watak Johnny Silverhand yang di bawa oleh Keanu Reeves.

V akan mempunyai tiga pilihan kisah hidup iaitu The Corpo-Rat, The Nomad dan The Streetkid. Setiap pilihan ini akan memberikan pembukaan yang berbeza serta pilihan dialog yang berlainan sepanjang bermain, tetapi tidak sangat penting untuk memberi latar belakang ataupun perwatakan kepada V. Kekurangan perwatakan pada V, ditampung oleh personaliti Silverhand, kekurangan penceritaan lampau V juga diisi oleh Silverhand.

Seperti yang dikongsi oleh CD Projekt Red, Johnny Silverhand adalah satu watak yang berada di dalam kepala V, selepas satu insiden di dalam permainan. V dan Silverhand terpaksa berkongsi satu badan menjadikan V mempunyai dua personaliti. V juga boleh bercakap-cakap dengan Silverhand walaupun tidak dapat dilihat oleh orang lain. Ini menjadikan dinamik perhubungan antara dua watak ini sangat menarik.

Bergantung kepada pilihan pemain, pemain boleh membawa perwatakan V kepada Silverhand ataupun mengambil perwatakan Silverhand untuk diikuti oleh V. Walaupun saya tidak merasakan yang watak V dan Silverhand berjaya untuk menandingi watak Geralt akan tetapi ia masih lagi satu atau dua watak yang menarik dan berjaya disampaikan dengan baik di dalam permainan ini.

Selain watak V dan Silverhand, Cyberpunk 2077 juga mempunyai ramai watak sampingan yang sangat kuat. Setiap daripada mereka mempunyai personaliti tersendiri, tidak kira watak yang akan menjadi rakan kepada V ataupun watak-watak sampingan yang V akan berjumpa sekali sahaja. Ia membantu untuk menghidupkan penceritaan walaupun bukan penceritaan utama.

Pelbagai Kisah Hidup Di Night City

Selain penceritaan mengenai V dan Silverhand yang cuba mencari jalan penyelesaian untuk “membuang” Silverhand daripada kepalanya, Cyberpunk 2077 juga menyertakan pelbagai penceritaan sampingan lain. Termasuk juga penceritaan yang tidak semestinya dilakukan oleh pemain, jika hanya memfokuskan kepada penceritaan utama sahaja. Seperti yang kita dapat daripada The Witcher 3: Wild Hunt, Cyberpunk 2077 juga mempunyai penceritaan sampingan yang sangat menarik.

Seperti saya nyatakan di atas, penceritaan sampingan ini akan melibatkan pelbagai watak lain yang tidak semestinya akan terlibat secara mendalam di dalam penceritaan utama. Hadirnya pelbagai penceritaan sampingan ini, bersama dengan watak-watak menarik menjadikan pengembaraan di Night City sangat menarik. Selepas memulakan sesuatu misi sampingan anda tidak boleh jangkakan di mana ia berakhir.

Sebagai satu contoh, saya akan beberkan satu misi sampingan, misi ini bermula dengan V diminta untuk mendapatkan semula dadah yang telah dicuri, selepas menjumpai dadah tersebut, V dapati yang mencuri adalah bekas tentera yang perlukan ubat tersebut untuk terus hidup. Oleh kerana ia satu tugasan, V akan mengambil ubat tersebut, dan apabila V keluar dari tempat tinggal bekas tentera tersebut satu das tembakan kedengaran. Jika V kembali ke rumah tersebut, V akan dapati yang tentera tersebut telah membunuh diri.

Jika pemain mengambil masa untuk melakukan misi-misi sampingan ini, akan terdapat pelbagai lagi kisah-kisah sebegini yang akan dijumpai. Ia membuatkan Night City terasa dipenuhi dengan pelbagai kisah hidup yang menanti untuk dijumpai.

Manakala bagi penceritaan utama pula, ia adalah cukup baik akan tetapi mungkin terasa sedikit generik apabila kita bercakap mengenai dunia Cyberpunk ataupun cereka sains. Namun, sebagaimana saya terangkan di atas, perwatakan V dan Silverhand bersama dengan beberapa watak lain yang terlibat dengan penceritaan utama menjadikan ia lebih menarik dan seronok untuk diikuti.

Bagi misi utama ataupun misi sampingan, seperkara lagi yang membuatkan ia seronok untuk dilakukan adalah kepelbagaian pilihan yang diberikan kepada pemain. Setiap pilihan ini mungkin akan memberi kesan kepada misi seterusnya. Sebelum ia berlaku, pemain tidak akan mengetahui apa kesan sesuatu pilihan. Ia tidak mendalam sepertimana The Witcher 3 akan tetapi masih dilakukan dengan baik.

Modifikasi Tubuh Badan

Cyberpunk 2077 menyertakan pelbagai perubahan yang boleh dilakukan kepada V untuk menghasilkan watak anda sendiri. Bermula dari rekaan tubuh badan sehinggalah menggunakan cyberware di badan. Kepelbagaian ini akan memberi pelbagai pilihan kepada pemain untuk menjadikan V watak yang mereka inginkan. Oleh kerana ada pelbagai cara untuk memulakan semula, pemain boleh memberi V kebolehan yang berbeza pada bila-bila masa sahaja.

Dengan menggunakan cyberware pemain boleh meningkatkan keupayaan V, cyberware ini boleh diletakkan di pelbagai bahagian badan V seperti tangan, lengan, kaki, mata dan termasuk juga mengubah sistem operasi. Bergantung kepada jenis cyberware yang digunakan ia akan memberi kelebihan untuk menggodam ataupun bertempur.

Sistem ini adalah menarik, akan tetapi terasa kekurangan dari segi kesan penggunaan, mengikut penceritaan terlalu bergantung kepada cyberware akan memberi kesan kepada psikologi seseorang, akan tetapi ia tampaknya tidak memberi kesan kepada V. Selagi mana, V mempunyai wang yang cukup, dia boleh gunakan apa sahaja cyberware yang terbaik tanpa sebarang kesan. Ia memberi kebebasan kepada pemain, tetapi terasa sistem ini lebih baik jika turut membawa kesan negatif.

Selain cyberware, seperti permainan RPG biasa, pemain juga diberikan dua jenis point iaitu Attribute Points dan Perk Points, Attribute Points digunakan untuk mempertingkatkan tahap secara umum seperti Body yang akan memberi ketahanan, Intelligence untuk memberi kesan kepada menggodam selain itu ia juga akan memberi pilihan dialog berlainan jika mempunyai tahap yang mencukupi.

Manaka Perk Points digunakan untuk mendapat kebolehan tertentu berdasarkan tahap umum sebelum ini, contohnya di dalam Intelligence, terdapat kebolehan untuk membantu Breach Protocol ataupun Quickhacking. Attribute Points dan Perk Point diperoleh dengan meningkatkan tahap V melalui pertempuran ataupun menyelesaikan misi-misi yang ada.

Selain daripada itu, pemain juga boleh menggunakan pelbagai jenis senjata yang di dalam Cyberpunk 2077 terdapat pelbagai jenis senjata berbeza, termasuk juga senjata yang mempunyai sistem pen-jejak, jadi anda boleh menembak ke mana sahaja dan peluru akan mencari penjahat terdekat. Pada satu masa pemain boleh membawa tiga senjata api, ataupun2 senjata api bersama dengan satu senjata melee seperti pisau dan pedang.

Seperkara lagi yang boleh diubah adalah pakaian, oleh kerana pakaian mempunyai kelebihan tersendiri, kebiasaannya saya akan menggunakan pakaian yang terbaik yang ada, ini akan mengakibatkan watak nampak sangat pelik, permainan menyertakan sesuatu yang dipanggil sebagai “Special” yang akan menggantikan rupa tetapi mengekalkan segala kelebihan pakaian, tetapi pilihan yang ada sangat terhad.

Melalui kepelbagaian cyberware, points, senjata dan juga pakaian, Cyberpunk 2077 benar-benar memberi kebebasan untuk kepada pemain untuk menghasilkan watak tersendiri dan mengikut cara permainan ingin bermain. Sama ada ingin memfokuskan kepada senjata api, melee ataupun menggodam sahaja. Setiap pilihan ini akan membawa bentuk permainan dan bentuk pertempuran yang berlainan tetapi setiap-nya adalah menarik.

Prestasi Di PC Dan PS5

Seperti saya katakan di atas, saya sudah menghabiskan permainan ini dan meluangkan lebih 100 jam bermain di PC, ini adalah sebelum pelbagai kemaskini tiba. Selepas pelbagai kemaskini, saya boleh katakan di PC yang tidak pernah mempunyai masalah ketara, masih lagi boleh dimainkan dengan sangat baik. Ia masih bergantung kepada spesifikasi PC anda.

PC saya mempunyai spesifikasi seperti berikut;

  • CPU: AMD Ryzen 5 3600
  • GPU: NVIDIA Geforce RTX 2060
  • RAM: 16GB

Saya menggunakan tetapan campuran Ultra dan High dengan kualiti Texture High, ia memberikan prestasi menghampiri 60FPS, saya juga tidak menggunakan ray tracing kerana jika membukanya, kadar kelancaran terlalu tidak menentu dan ada masa ia jatuh lebih rendah pada 30FPS. Ini adalah sebelum beberapa kemaskini terbaru, oleh itu boleh dijangkakan yang ia mempunyai prestasi yang sedikit lebih baik.

Manakala selepas mencuba lebih 30 jam di PS5 menggunakan kemaskini terbaru, saya tidak pernah mengalami masalah di mana terkeluar daripada permainan. Kelancaran juga sangat baik tidak kira apa-apa situasi di dalam permainan. Jika anda mempunyai PS5, saya merasakan ia sudah bersedia untuk dimainkan, saya tidak menguji di PS4 Pro oleh itu saya tidak dapat memberikan ulasan manakala di PS4 pula, Sony dan CD Projekt Red sendiri tidak mengesyorkan untuk anda bermain.

Rungutan awal saya semasa bermain adalah pemanduan kereta, ia terasa sangat sensitif dan menyukarkan pergerakan. Ini ditambah lagi, laluan ataupun GPS hanya diperlihatkan di dalam peta mini tetapi tidak di atas jalan yang akan lebih mengganggu sesi pemanduan. CD Projekt Red telah mempertingkatkan kualiti pemanduan, dan saya mencuba di PS5, ia jauh lebih baik berbanding semasa saya bermain-nya di PC.

Selain daripada itu, masalah-masalah pepijat grafik seperti kereta terapung, pakaian tiba-tiba hilang, ataupun pergerakan aneh oleh AI masih lagi berlaku akan tetapi ia adalah seperti yang berlaku semasa saya bermain di PC lagi. Oleh itu ia tidak terlalu mengganggu. Dengan CD Projekt Red masih lagi memfokuskan kepada masalah pepijat permainan, masalah pepijat grafik mungkin akan mengambil lebih banyak masa sebelum dapat diperbetulkan.

Secara ringkasnya, saya boleh katakan yang prestasi untuk Cyberpunk 2077 di PC dan juga PS5, berkemungkinan juga untuk PS4 Pro sudah mencapai tahap yang “sudah boleh dimainkan” ia tidak sempurna, akan tetapi secara jujurnya sukar untuk mencari permainan dunia terbuka yang tidak mempunyai pepijat-pepijat ini. Namun, Cyberpunk 2077 boleh dikatakan kekerapan ia berlaku adalah lebih tinggi.

Berbanding masalah pepijat grafik, satu lagi masalah yang saya rasakan lebih penting untuk diselesaikan adalah kawasan-kawasan di Night City terasa sangat kosong. Walaupun terdapat banyak bangunan ataupun kawasan tetapi aktiviti sangat terhad. NPC juga sangat kurang dan sukar untuk menggambarkan ia adalah satu bandar yang hidup. Ini adalah perkara yang mengecewakan kerana jika melakukan misi-misi sampingan, jelas diperlihatkan Night City adalah satu bandar yang menarik.

Aktiviti di Night City

Cyberpunk 2077 mempunyai pelbagai misi yang boleh dilakukan dan ia dibahagikan kepada empat kategori utama iaitu Main Jobs yang berkait dengan penceritaan utama, Side Jobs yang berkait dengan penceritaan sampingan dengan pelbagai watak lain seperti saya terangkan di bahagian atas, Fixer Gigs iaitu kerja yang boleh dilakukan oleh V untuk mendapat pelbagai ganjaran dan akhir sekali NCPD Scanner Hustles.

Main Jobs dan Side Jobs akan memerlukan pemain melakukan pelbagai aktiviti untuk menyelesaikannya, dan oleh kerana ia berkait dengan penceritaan, saya boleh katakan kedua-duanya adalah jenis misi yang wajib dilakukan oleh semua, kerana anda akan terlepas banyak perkara jika tidak melakukannya.

Fixer Gigs pula adalah misi ringkas yang perlu dilakukan oleh V, kebiasaan pemain perlu pergi ke kawasan yang mempunyai tanda ‘?’ dan akan mendapat panggilan daripada mana-mana Fixer di kawasan tersebut untuk memberikan tugasan. Sesetengah tugasan juga akan membawa kepada penceritaan yang menarik seperti contoh yang saya berikan di atas.

Manakala NCPD Scanner Hustles pula, misi berkait dengan jenayah-jenayah yang sedang berlaku di kawasan terdekat. Pemain boleh membunuh pelbagai penjahat di bandar tanpa risaukan polis mengejar dengan melakukan aktiviti ini. Berbanding Jobs ataupun Fixer Gigs, kebiasaan misi ini lebih ringkas dan boleh diselesaikan dengan cepat.

Pengisian pelbagai aktiviti ini sudah semestinya memberi pemain pelbagai perkara untuk dilakukan, akan tetapi saya merasakan cara penyampaian misi, terutamanya Fixer Gigs terasa sangat malas, apabila pemain mendekati kawasan “?”, pemain akan mendapat panggilan telefon, yang menerangkan misi tersebut, dan maklumat lanjut boleh dibaca di bahagian misi.

Saya lebih menyukai jika Fixer Gigs disampaikan secara terus oleh Fixer, ataupun V pergi mencari mana-mana fixer apabila ingin melakukan aktiviti tambahan. Selain itu, melakukan Fixer Gigs ini juga tidak memberi kesan yang mendalam kepada perhubungan V dengan Fixer-Fixer tersebut. Bagi saya ia adalah satu peluang yang terlepas.

Selain misi-misi ini, tiada aktiviti lain yang boleh dilakukan di bandar Night City, pelbagai bar dan tempat makan yang terdapat di bandar ini sekadar menjadi tempat untuk pemain beli dan terus masuk ke inventori. Pemain tidak boleh memakan di kedai, ataupun melakukan aktiviti sampingan selain daripada melakukan misi. Ini menyebabkan Night City terasa kosong.

Rumusan

Akhir kata, Cyberpunk 2077 masih lagi tidak mencapai tahap permainan yang ingin disampaikan oleh CD Projekt Red. Ia juga mempunyai pelbagai lagi janji yang tidak di-kotai. Namun, apa yang ada di dalam Cyberpunk 2077 buat masa ini sudah cukup baik untuk saya meluangkan lebih 100 jam bermain. Kepelbagaian watak dan penceritaan yang disediakan masih lagi menjadi kekuatan untuk permainan ini. Ia adalah sesuatu yang kita sudah jangkakan daripada CDPR.

Begitu juga untuk prestasi, ia masih mempunyai beberapa masalah yang akan sedikit mencacatkan pengalaman bermain, akan tetapi tidak seperti sebelum ini, ia sudah menjadi satu permainan yang boleh dimainkan dengan baik dari awal hingga akhir. Sekurang-kurangnya untuk PC dan juga PlayStation 5. Jika pepijat grafik sangat mengganggu bagi anda mungkin tunggu terlebih dahulu sebelum mendapatkannya, jika ia tidak mengganggu, permainan ini sudah cukup baik untuk dimainkan.

Walaupun tanpa masalah-masalah ini, saya masih merasakan yang Cyberpunk 2077 terasa kurang berbanding apa yang mereka bawa di dalam The Witcher 3: Wild Hunt yang akan terus menjadi permainan terbaik mereka. Dengan CDPR menjanjikan pelbagai kandungan tambahan di masa hadapan, kita hanya boleh berharap yang ia akhirnya mencapai potensi sebenar.

Buat masa ini, saya masih lagi kagum dengan apa yang CDPR telah lakukan, dan walaupun mereka berhak untuk dikritik kerana menipu pemain dengan tidak menjelaskan perkara yang sebenar, tetapi permainan ini masih lagi berbaloi untuk wang ringgit dan juga masa anda.

Penafian: Kod permainan Cyberpunk 2077 untuk PS4 disediakan oleh CD Projekt Red untuk tujuan ulasan ini.

Cyberpunk 2077
Harga: RM 209
Cyberpunk 2077 telah melalui jalan yang sukar dan ia adalah kesalahan mereka sendiri. Ia masih satu permainan yang tidak selesai pembangunan, akan tetapi sudah cukup baik untuk dimainkan.
Positif
Penceritaan dan Perwatakan Yang Menarik
Dipenuhi Dengan Pelbagai Misi Utama Dan Misi Sampingan Yang Baik
Pengalaman RPG Yang Sangat Mendalam
Negatif
Pelbagai Masalah Pepijat Grafik
Bandar Night City Terasa Kosong
8

Sohor Kini