Bagaikan menjadi satu tradisi, apabila memasuki Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya akan mara-tonton filem-filem Harry Potter, dan kini apabila memasuki PKP 2.0, saya sekali lagi melakukannya.

Ia bukanlah kerana tiada filem baharu, tetapi mengulangi tonton filem ini membawa satu kelegaan walaupun dengan tekanan yang hadir kerana keadaan semasa yang tidak menentu, seperti kes Covid-19 yang makin meningkat serta tanpa tarikh yang tetap bila PKP ini berakhir.

Filem-filem seperti ini, boleh membawa satu pelepasan daripada segala kegusaran tersebut.

Bercakap mengenai filem Harry Potter, secara keseluruhan terdapat 8 filem yang merupakan adaptasi daripada 7 buku untuknya. Di dalam 8 filem tersebut, saya yakin yang anda akan mempunyai filem kegemaran.

Mungkin ada yang sukakan the Philospoher Stone kerana ia adalah permulaan, ataupun menyukai Deathly Hallows kerana ia adalah yang terakhir. Namun bagi saya secara peribadi, filem terbaik adalah The Half-Blood Prince iaitu filem keenam yang tiba pada tahun 2009 dan diarahkan oleh David Yates.

Berikut adalah mengapa, Harry Potter: The Half-Blood Prince adalah filem terbaik bagi siri filem ini;

Penceritaan Lebih Segar

The Half-Blood Prince adalah filem Harry Potter yang paling ringan, tetapi dengan cara yang baik,  Filem ini bagaikan Thor: Ragnarok bagi Thor tetapi untuk Harry Potter.  Bila dibandingkan dengan filem-filem Harry Potter lain, The Half-Blood Prince rasa agak lain dan lebih seronok untuk ditonton.  Ini kerana kita sudah melalui 5 filem sebelum ini, dan setiap-nya mungkin terasa sedikit sama, kehadiran The Half-Blood Prince ini menjadikan ia segar semula.

Lakonan setiap pelakon juga lebih bebas, perwatakan setiap watak berbeza contohnya Harry Potter yang selalunya agak bermasalah menjadi lebih terbuka dan tenang manakala sebaliknya untuk Draco Malfoy, watak yang selalunya mencetuskan masalah dan nakal menjadi pendiam bahkan tertekan.  Perubahan watak ini membawa satu dinamik baharu kepada penceritaan untuk siri ini, ia juga adalah perkara yang penting sebagai persediaan untuk memasuki bahagian akhir bagi siri filem ini.

Mempunyai Lebih Banyak Jenaka

The Half-Blood Prince juga filem Harry Potter yang boleh dikatakan membuatkan saya paling banyak ketawa, setelah beberapa siri filem yang sedikit berat, filem keenam ini cuba melepaskan kesemuanya dan membawa ketenangan semasa menonton. The Half Blood Prince bagaikan lampu suluh yang menerangkan balik siri ini dan menjadikan siri ini lebih seronok untuk ditonton. 

Contohnya, dalam satu babak Harry Potter telah terminum satu potion yang dipanggil Felix Felicis ataupun nama lain Liquid Luck.  Selepas meminumnya, watak Harry Potter berubah menjadi sangat ‘carefee’ dan bagi saya, ia adalah babak terbaik untuk watak Harry Potter dalam keseluruhan filem. Namun, bagi yang sudah tonton filem ini tahu yang mengapa ruangan jenaka dan komedi ini disertakan, untuk memberi impak yang lebih besar kepada pengakhiran untuknya.

Titik Kematangan Siri Ini

Saya boleh dikatakan telah membesar dengan filem-filem Harry Potter, saya tonton filem pertama yang dikeluarkan pada tahun 2001 semasa saya berumur 12 tahun dan kemudian terus membaca buku dan menantikan filem seterusnya untuk tiba, pada awalnya saya sentiasa menganggap Harry Potter adalah filem untuk kanak-kanak. Dikeluarkan 8 tahun kemudian, saya sendiri sudah bermuru 20 tahun waktu itu.

Sehinggalah The Half-Blood Prince, yang bagi saya adalah filem yang mengubah filem ini untuk menjadi sesuatu yang tidak lagi memfokuskan kepada kanak-kanak sahaja. Filem ini lebih banyak menceritakan masalah remaja berbanding filem Harry Potter sebelum ini, tetapi pada masa sama mengekalkan tarikan untuk penonton yang lebih muda. Filem ini juga menjadi permulaan kepada Harry Potter dan rakan-rakannya untuk mengambil keputusan sekolah bukan lagi tempat untuk mereka.

Filem Paling Dinamik

Walaupun The Half Blood Prince filem yang ringan, mempunyai babak lawak yang lebih banyak dan memfokuskan kepada kehidupan remaja tetapi apabila tiba untuk babak penting bagi menjadikan siri filem ini lebih berat, terutamanya mengenai Voldermort dan juga apa yang berlaku terhadap beberapa watak, filem ini melakukannya dengan sangat baik. 

Ini secara langsungnya membuatkan saya merasakan yang filem ini adalah satu filem yang paling dinamik, di dalam lebih kurang 2 jam masa tayangan segala emosi disertakan. Apabila ketawa, ia adalah jenaka yang baik, apabila menangi, ia adalah adegan yang menyedihkan. Dengan kata lain filem ini mempunyai segala yang bagus mengenai siri Harry Potter dan menambah dengan perkara-perkara baru yang lebih mudah untuk ditonton.


Di atas keempat-empat sebab di-atas lah saya memilih The Half-Blood Prince sebagai filem terbaik untuk siri Harry Potter. Jika saya tidak ingin menonton semula kesemua filemnya, saya akan milih filem ini untuk ditonton kerana ia mencukupi untuk menggambarkan apa yang di bawa oleh siri filem Harry Potter.

Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud yang filem-filem lain tidak menarik, ia tidak menjadi siri filem terbaik bagi saya jika mempunyai satu atau dua sahaja filem yang baik. Jika PKP dilanjutkan lagi, saya mungkin akan melakukan mara-tonton kali kedua untuk PKP kali ini.

Sohor Kini