Pada awalnya, saya ingin berkongsi 10 permainan mudah alih terbaik bagi tahun ini, tetapi saya menyedari yang saya tidak bermain permainan yang cukup untuk memilih “permainan terbaik”, sebaliknya, melalui artikel ini saya ingin berkongsi 10 permainan mudah alih yang saya cuba dan menyukainya dan merasakan anda juga perlu sekurang-kurangnya mencubanya.
Permainan-permainan ini juga tidak disusun mengikut sebarang kriteria sebaliknya secara rawak sahaja. Jadi, berikut adalah 10 permainan mudah alih keluaran tahun ini yang anda harus cuba;
1. Genshin Impact
Genshin Impact boleh dikatakan sebagai kejutan bagi tahun ini, walaupun saya sudah bermain pelbagai permainan gacha, tetapi ia adalah satu-satunya permainan konsep ini yang menawarkan pelbagai perkara lain yang menarik. Walaupun tanpa berbelanja, pemain masih lagi dapat menghayati penceritaan yang baik serta bentuk permainan yang mendalam. Sama ada anda pernah ataupun tidak bermain permainan berkonsep gacha, Genshin Impact adalah satu permainan yang anda harus dicuba.
Ulasan: Ulasan Mini – Genshin Impact
Dapatkan di: App Store | Play Store
2. The Pathless
Kekuatan utama untuk The Pathless adalah bentuk permainan yang menarik. Ia menawarkan satu dunia terbuka yang luas, tetapi tidak menyertakan sebarang peta. Sebaliknya, pemain perlu mengembara dan mencari cara untuk menyelamatkan pulau di dalam permainan ini. Kebebasan untuk pemain meneroka sangat menakjubkan. Namun, buat masa ini, ia adalah terhad kepada iOS sahaja melalui Apple Arcade. Ia juga lebih baik jika dimainkan menggunakan alat kawalan.
Dapatkan di: App Store
3. Football Manager 2021 Mobile
Football Manager 2021 adalah permainan simulasi pengurusan bola sepak terbaik di pasaran sekarang, perkara yang sama boleh dikatakan untuk versi mudah alih iaitu Football Manager 2021 Mobile. Walaupun, ia adalah versi yang tidak mendalam seperti versi biasa ataupun Touch, namun ia masih lagi memberi pengalaman yang sama untuk pengurusan. Sekurang-kurangnya lebih baik jika ingin dibandingkan dengan permainan pengurusan yang percuma.
Dapatkan di: App Store | Play Store
4. Legends of Runeterra
Selepas Hearthstone mempopularkan genre kad digital, makin bertambah pembangun yang ingin mencuba nasib di dalam kategori ini dan antaranya adalah Riot Games melalui Legends of Runeterra. Ia adalah permainan kad digital berdasarkan dunia League of Legends, ia juga satu permainan kad digital yang mempunyai sistem ekonomi yang menarik. Berbanding menggunakan konsep kotak tikam, pemain boleh mendapatkan mana-mana kad secara terus, tambahan ia juga menawarkan pelbagai ganjaran walaupun pemain tidak berbelanja.
Ulasan: Ulasan Legends of Runeterra – Jawapan Riot Games Untuk Hearthstone
Dapatkan di: App Store | Play Store
5. League of Legends: Wild Rift
Satu lagi cabang baharu untuk Riot Games adalah Wild Rift iaitu permainan MOBA League of Legends yang khusus untuk peranti pintar. Ia cuba mencabar penguasaan Mobile Legends dan juga Arena of Valor, dan berdasarkan kandungan serta kualiti yang di bawa saya merasakan ia tidak akan mengambil masa yang lama untuk mencabar mereka. Dengan pengalaman yang mereka miliki melalui League of Legends, saya merasakan ia akan meningkatkan lagi kualiti permainan ini.
Dapatkan di: App Store | Play Store
6. Drawn to Life: Two Realms
Drawn to Life: Two Realms adalah satu permainan platform yang baik serta kreatif, walaupun ada masanya ia terasa sedikit ringkas. Ia adalah satu permainan yang saya main dari semasa ke semasa apabila mempunyai masa terluang yang boleh diisi. Namun, saya boleh katakan yang versi mudah alih bukanlah versi terbaik, terdapat masalah kelancaran yang saya harap dapat diselesaikan dari semasa ke semasa.
Ulasan: Ulasan Drawn To Life: Two Realms – Sekuel Yang Agak ‘Kecil’ Untuk Siri Nostalgia
Dapatkan di: App Store | Play Store
7. Moonlighter
Moonlighter sudah dikeluarkan untuk konsol dan PC sejak tahun 2018 lagi, namun tahun ini ia dilancarkan untuk iOS. Ia adalah permainan aksi RPG yang sangat menarik. Anda akan mengurus kedai pada waktu siang dan akan mengembara pada waktu malam. Harga RM49.90 mungkin mahal untuk sesetengah pemain, tetapi saya boleh katakan ia adalah berbaloi. Ia juga diumumkan untuk Android, tetapi buat masa ini masih tidak dilancarkan.
Dapatkan di: App Store
8. V4
V4 adalah permainan MMORPG yang boleh dimainkan secara percuma, ia menawarkan kualiti grafik yang baik serta pilihan kelas yang pelbagai. Bentuk permainan terasa berulang dan ada masa membosankan kerana kebanyakan boleh dilakukan secara automatik. Namun, bergantung kepada citarasa anda, ia mungkin adalah satu kelebihan kerana walaupun bermain anda tidak perlu terlalu fokus kepadanya.
Dapatkan di: App Store | Play Store
9. KartRider Rush+
Mario Kart boleh dikatakan sebagai satu nama yang utama di dalam genre perlumbaan kart, termasuk juga di peranti pintar. Namun, selepas KartRider Rush+ dilancarkan pada tahun ini, saya dapati yang ia lebih menarik dan seronok untuk dimainkan berbanding Mario Kart Tour yang dikeluarkan pada tahun lepas. Ia terutamanya adalah kerana saya merasakan kawalan KartRider Rush+ lebih baik berbanding permainan oleh Nintendo tersebut.
Dapatkan di: App Store | Play Store
10. Among Us
Mungkin permainan sedikit janggal untuk berada di senarai “permainan yang dikeluarkan pada tahun ini”, namun saya merasakan Among Us walaupun dikeluarkan pada tahun 2018 asalnya, tetapi ia bagaikan permainan yang baru sahaja dikeluarkan pada bulan Ogos lepas, kerana lonjakan populariti secara tiba-tiba. Sebagai permainan mudah alih, ia tidak memberikan pengamalan terbaik, tambahan lagi jika bermain dengan pemain secara rawak. Namun, konsep permainan yang disertakan sentiasa memberi sesi permainan yang menarik terutama jika anda dapat mencari rakan untuk bermain bersama.
Dapatkan di: App Store | Play Store
Seperti mana yang saya nyatakan di atas, ini adalah sebahagian kecil sahaja permainan menarik yang dikeluarkan pada tahun ini. Dengan, peranti pintar akan terus menjadi sumber pendapatan terbesar untuk industri permainan video, pelbagai lagi permainan menarik. Ini ditambah lagi penawaran seperti Apple Arcade yang akan menggalakkan lagi pelbagai genre permainan untuk dikeluarkan.
Namun, saya berharap yang selain menawarkan permainan percuma untuk dimainkan dan menyertakan pembelian di dalam permainan untuk mendapat pengalaman penuh, pada tahun 2021 permainan “premium” yang memerlukan satu kali sahaja pembayaran akan lebih banyak dikeluarkan dan menerima sambutan.