Semalam saya ada berkongsi mengenai 6 perkara penting untuk permainan video yang berlaku pada tahun ini, hari ini saya ingin berkongsi 10 permainan terbaik berdasarkan markah metacritic yang mengambil pandangan daripada ulasan-ulasan media lain.

Jika anda menantikan permainan terbaik bagi pilihan kami, ia akan tiba tidak lama lagi dan kami menyasarkan untuk menerbitkannya pada awal tahun hadapan, dan akan mengambil kira kesemua permainan yang kami cuba, termasuk juga sepanjang bulan Disember ini.

Jadi, berikut adalah 10 permainan terbaik berdasarkan markah metacritics;

1. Persona 5 Royal

Persona 5 Royal merupakan permainan tambahan berdasarkan Persona 5 yang dikeluarkan pada tahun 2016. Ia antaranya menyertakan tambahan penceritaan dan juga watak, walaupun pada amnya ia masih lagi satu permainan yang sama seperti sebelum ini, tampaknya media masih lagi menyukainya.

Saya secara sendirinya tidak pernah mencuba Persona 5 Royal akan tetapi Persona 5 merupakan antara permainan JRPG terbaik yang saya pernah main. Penceritaan mungkin lebih lemah jika ingin dibandingkan dengan permainan sebelum ini, tetapi gaya serta keseluruhan aspek lain menjadikan ia adalah terbaik untuk siri Persona.

Persona 5 Royal mendapat markah 95/100 dengan 75 ulasan, bagi markah oleh pemain pula ia mendapat 8.3/10 berdasarkan 2791 undian.

2. The Last of Us Part II

The Last of Us Part II merupakan permainan susulan yang dinanti-nantikan ramai, permainan pertama berakhir dengan sangat baik menyebabkan ramai tidak menjangkakan yang ia akan menerima sambungan, tambahan lagi sambungan secara terus seperti ini.

Saya sebelum ini sudah mengeluarkan ulasan tersendiri dan anda boleh bacanya melalui pautan ini. Secara ringkasnya, ia adalah satu permainan yang sangat baik, menyertakan teknologi grafik yang sangat mengagumkan. Seperti permainan The Last of Us yang pertama, ia juga membawa penceritaan yang sangat mendalam, walaupun mungkin tidak disukai oleh semua pemain.

The Last of Us Part II mendapat markah 93/100 dengan 121 ulasan, bagi markah oleh pemain, ia mendapat 5.7/10 berdasarkan 150,027 undian.

3. Hades

Hades adalah permainan indie yang berdiri gah bersama dengan permainan-permainan ‘triple A’, ia juga merupakan antara yang tercalon untuk permainan terbaik ketika The Game Awards 2020, walaupun tewas kepada The Last of Us Part II akan tetapi menerima pencalonan adalah satu bukti yang ia adalah satu permainan yang sangat baik.

Saya secara sendirinya tidak pernah mencuba permainan ini, namun berdasarkan ulasan-ulasan oleh media dan juga pemain yang pernah mencubanya, ia dikatakan sebagai permainan roguelike yang terbaik bagi genre ini dan akan menjadi kayu ukur untuk permainan yang ingin berkongsi genre sama.

Hades mendapat markah 93/100 dengan 55 ulasan untuk PC, ia juga dikeluarkan untuk Switch dan berkongsi markah yang sama. Bagi markah oleh pemain, ia mendapat 8.9/10 berdasarkan 608 undian.

4. Half-Life: Alyx

Half-Life: Alyx tidak akan menghentikan meme Half-Life 3, kerana ia bukan permainan susulan sebaliknya berlaku 5 tahun sebelum kejadian di dalam Half-Life 2, tambahan lagi ia juga adalah satu permainan yang perlu dimainkan menggunakan set realiti maya.

Kami di Aksiz ada mencuba permainan ini walaupun tidak menghabiskannya tetapi ia adalah satu permainan realiti maya yang sangat mengagumkan. Terdapat pelbagai bentuk permainan yang menjadikan permainan realiti maya lebih interaktif.

Half-Life: Alyx mendapat markah 93/100 berdasarkan 69 ulasan, manakala markah pemain pula, ia mendapat 9.1/10 daripada 2198 undian.

5. Demon’s Soul

Demon’s Soul adalah satu-satunya permainan esklusif untuk konsol generasi baharu di dalam senarai ini. Ia adalah permainan yang menerima olahan semula oleh Bluepoint Games berdasarkan permainan berjudul sama yang dibangunkan oleh FromSoftware yang dikeluarkan pada tahun 2009.

Sebagai permainan Dark Souls sebelum Dark Souls sendiri dikeluarkan, Demon’s Soul mempunyai tempat yang istimewa di kalangan peminat permainan sukar. Dengan peningkatan grafik yang sangat mengagumkan, ia memberi nafas baharu kepada permainan ini, walaupun masih mengekalkan beberapa perkara menyusahkan mengenainya.

Demon’s Sould mendapat markah 92/100 berdasarkan 93 ulasan. Manakala undian pemain pula, ia mendapat markah 8.4 berdasarkan 2087 undian.

6. Microsoft Flight Simulator

Microsoft Flight Simulator dibangunkan oleh Asobo Studio untuk Xbox Games Studio. Ia adalah permainan terbaru bagi siri ini, selepas hampir 14 tahun tanpa pengeluaran terbaru. Ia dikeluarkan pada Ogos tahun ini untuk PC dan akan turut tiba untuk Xbox Series pada tahun hadapan.

Walaupun ia bukanlah satu permainan video yang menjadi kebiasaan, kerana ia selalunya digunakan secara profesional tetapi ia juga menarik untuk dimainkan secara kasual. Microsoft Flight Simulator telah mendapat ulasan yang baik kerana kualiti grafik yang disertakan tetapi juga mendapat pelbagai kritikan kerana masalah prestasi.

Microsoft Flight Simulator mendapat markah 91/100 berdasarkan 66 ulasan. Bagi pemain, ia mendapat 7.2/10 markah daripada 1167 undian.

7. Crusader Kings III

Paradox Interactive kembali dengan permainan terbaru untuk siri Crusader Kings melalui permainan ketiga ini, ia hadir lebih kurang 8 tahun selepas permainan terakhir iaitu Crusader Kings II. Ia dikeluarkan pada September lepas untuk PC.

Walaupun satu permainan strategi akan tetapi Crusader Kings III telah menerima penerimaan yang baik kerana ia sangat mesra untuk pemain-pemain yang berbeza. Pemain yang tidak meminati sistem strategi pun boleh menyukai permainan ini kerana penceritaan yang disertakan. Bagi yang menyukai strategi, ia satu permainan yang boleh menjadi sangat mencabar.

Crusader Kings III mendapat markah 91/100 berdasarkan 60 ulasan. Manakala untuk undian pemain pula ia mendapat 8.4/10 berdasarkan 382 undian.

8. Animal Crossing: New Horizons

Nintendo secara tidak sengaja telah melancarkan satu permainan yang sangat bersesuaian dengan keadaan semasa pada tahun ini. Pada bulan Mac lepas, ketika kebanyakan negara mula melakukan ‘lockdown’, Animal Crossing: New Horizons dikeluarkan dan terus menjadi antara permainan terbesar bagi tahun ini.

Berdasarkan ulasan kami sendiri, Animal Crossing: New Horizons adalah permainan yang akan membuatkan anda meluangkan berjam-jam masa bermain tanpa anda sedari. Ia mempunyai visual yang baik tetapi beberapa aspek permainan seperti multi-pemain terasa sangat terhad.

Animal Crossing: New Horizons mendapat 90 markah berdasarkan 111 undian. Manakala undian peminat ia mendapat 5.5/10 dengan 5887 undian.

9. Ori and the Will of the Wisps

Walaupun terpaksa menunggu 5 tahun, Moon Studios akhirnya melancarkan permainan susulan untuk Ori and the Blind Forest iaitu Ori and the Will of the Wisps. Permainan ini dikeluarkan untuk Xbox One, Xbox Series, Switch dan PC.

Melalui ulasan saya sendiri, ia adalah permainan yang mendapat markah tertinggi bagi tahun ini. Anda boleh bacanya melalui pautan ini. Ia meneruskan penceritaan yang menyentuh jiwa bagi siri ini, ditambah lagi dengan rekaan grafik serta visual yang sangat memukau. Menjadikan ia adalah satu permainan yang wajib dimainkan walaupun jika anda tidak menyukai genre platformer.

Ori and the Will of the Wisps mendapat markah 90/100 untuk versi Xbox One berdasarkan 71 ulasan, di PC ia mendapat markah 88/100 dan di Switch 93/100. Manakala untuk ulasan pemain, ia mendapat 8.8/10 dengan 1506 undian.

10. Xenoblade Chronicles: Definitive Edition

Selepas kejayaan Xenoblade Chronicles 2, tidak mengejutkan bagi Monolith Soft dan juga Nintendo membawa semula permainan pertama ke konsol Switch. Ia sebelum ini sudah dikeluarkan untuk Wii pada tahun 2011, dan 3DS 4 tahun kemudian.

Melalui Definitive Edition ini, ia boleh dikatakan sebagai versi terbaik untuk permainan Xenoblade Chronicles dengan menyertakan pelbagai penambah-baikkan termasuk juga kandungan baharu. Namun, jika anda tidak menyukai permainan ini sebelum ini, mungkin ia tidak membawa pembaharuan yang cukup untuk mengubah penerimaan anda.

Xenoblade Chronicles: Definitive Edition mendapat markah 89/100 berdasarkan 92 ulasan. Ia juga menerima 8.9/10 berdasarkan 924 undian pemain.


10 permainan yang tersenarai di atas adalah sebahagian kecil sahaja daripada pelbagai permainan-permainan menarik yang dikeluarkan pada tahun ini. Kami juga mempunyai senarai tersendiri yang mungkin berbeza dengan senarai di atas, termasuk juga pemain-pemain lain yang sudah semestinya mempunyai citarasa tersendiri. Namun, boleh dikatakan yang tahun ini adalah satu tahun yang baik untuk pemain, dan tahun depan hadirnya konsol generasi baharu, ia sudah semestinya akan menjadi lebih menarik.

Sohor Kini