6 Perkara Penting Untuk Permainan Video Pada Tahun 2020

Minggu ini merupakan minggu terakhir bagi tahun 2020, sama ada tahun ini adalah tahun yang baik ataupun tidak untuk anda, seperkara yang saya rasa semua bersetuju adalah ia adalah satu tahun yang pelik.

Sebelum kita melihat ke-depan untuk tahun 2021, saya ingin berkongsi beberapa peristiwa penting berlaku pada tahun ini yang telah membawa kesan yang jelas kepada industri permainan video dan juga pemain sendiri. Ada juga peristiwa yang tidak berkait secara langsung dengan industri permainan video tetapi tetap memberi kesan.

Konsol Generasi Baharu

Apabila kita bercakap mengenai peristiwa penting bagi tahun ini, kita secara rasmi memasuki era generasi konsol baharu sudah semestinya satu peristiwa terpenting walaupun ia hadir dengan beberapa masalah dan juga tidak selancar yang diharapkan.

Microsoft telah melancarkan dua konsol generasi baharu iaitu Xbox Series X dan Xbox Series S pada 10 November 2020, dengan perbezaan harga dan spesifikasi yang drastik, ia membuktikan yang Microsoft mempunyai strategi yang berbeza memasuki generasi baharu ini. Ini sudah semestinya berkait dengan penawaran Xbox Game Pass yang memasuki tahun ketiga dan terus menjadi perkhidmatan yang terpenting bagi mereka.

Sony pula mengekalkan strategi biasa mereka iaitu menawarkan konsol yang akan menjadi rumah kepada pelbagai permainan menarik oleh PlayStation Studios. Melalui PlayStation 5, mereka juga membawa pengalaman baharu melalui alat kawalan DualSense dan juga antaramuka untuk konsol mereka.

Di Malaysia, pelancaran konsol generasi baharu bukanlah terbaik. Microsoft tidak membawa secara rasmi konsol Xbox Series, manakala PlayStation 5 dikeluarkan secara berperingkat iaitu 12 November dan 19 November, manakala di Malaysia ia hanya ditawarkan secara rasmi pada 11 Disember dengan jumlah unit yang sangat terhad.

Walaupun begitu, konsol generasi baharu masih lagi konsol yang betul-betul membawa era baharu untuk permainan video. Dengan spesifikasi yang boleh menyokong permainan dengan resolusi 4K ataupun kadar kelancaran 120FPS, ini ditambah lagi dengan kelajuan storan SSD yang digunakan menjadikan konsol lebih dekat dengan prestasi yang boleh dicapai di PC.

Kad Grafik Generasi Baharu

Dengan konsol mula mengejar prestasi seperti PC, akan tetapi PC juga menjarakkan diri mereka daripada tawaran konsol melalui penaiktarafan terbesar mereka melalui kad-kad grafik terbaru keluaran AMD dan juga NVIDIA.

NVIDIA mula memperkenalkan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3000 mereka dengan tiga model, termasuklah GeForce RTX 3070, RTX 3080 dan RTX 3090 dimana dua model pertama hadir dengan tanda harga yang sangat kompetitif.

AMD, yang telah berjaya mengukuhkan kedudukan mereka didalam industri CPU komputer juga melancarkan siri kad grafik AMD Radeon RX 6800, RX 6800XT dan RX 6900XT yang dilihat bersaing dengan siri kad grafik NVIDIA terbaru.

Dengan kad-kad grafik ini, gaming pada resolusi QHD (2560×1440) dengan kadar segar semula tinggi boleh menjadi satu kebiasaan, malah ciri Ray-Tracing akhirnya sudah boleh digunakan dengan lebih baik, menjanjikan pengalaman gaming yang lebih mendalam berbanding sebelum ini.

Seperti masalah yang dihadapi di konsol, buat masa ini, kesemua kad grafik generasi baharu ini agak sukar untuk didapati di pasaran tempatan kerana stok yang tidak mencukupi dan juga pihak kedai yang hanya mahu menjual kad-kad grafik ini melalui pembelian satu set komputer yang penuh.

Berakhirnya Satu Penantian

Tahun 2020 ini juga memperlihatkan permainan yang dinanti-nantikan akhirnya dilancarkan. Ia bermula dengan Final Fantasy VII Remake, selepas diumumkan pertama kali pada E3 2015, ia terus menjadi permainan yang dinantikan, dan pada 10 April 2020, penantian tersebut berakhir dan ia adalah satu permainan yang boleh dikatakan diterima baik oleh semua.

Permainan seterusnya adalah dua permainan oleh PlayStation Studios iaitu The Last of Us Part II dan Ghost of Tsushima. The Last of Us adalah siri permainan yang tidak ramai menjangkakan ia akan menerima permainan susulan sehinggalah ia diumumkan pada tahun 2016 ketika PlayStation Experience. Manakala Ghost of Tsushima pula pertama kali diumumkan pada tahun 2017. Ia masing-masing mengambil 4 dan 3 tahun sebelum dilancarkan, di mana The Last of Us dikeluarkan pada 19 Jun 2020 dan diikuti Ghost of Tsushima pada 17 Julai 2020, selepas tertunda kerana pandemik Covid-19.

Permainan terakhir, sudah semestinya adalah Cyberpunk 2077, diumumkan secara meluas buat pertama kali pada tahun 2013 tetapi hanya memasuki sesi pembangunan pada tahun 2016, selepas 7 tahun dan beberapa kali penundaan, ia akhirnya dilancarkan secara rasmi pada 9 Disember lepas, namun ia tidak hadir dengan tanpa sebarang masalah. Semasa penulisan ini, Cyberpunk 2077 masih lagi bermasalah, terutama di konsol lama PlayStation 4 dan juga Xbox One, Sony sendiri tidak lagi menyenaraikan permainan tersebut di PSN dan menawarkan pembayaran balik termasuk juga Microsoft.

Perintah Kawalan Pergerakan

Perintah Kawalan Pergerakan ataupun PKP, juga dikenali sebagai “lockdown” secara global telah dilakukan di kebanyakan negara bermula pada Mac tahun ini selepas Covid-19 diumumkan sebagai pandemik oleh WHO. Ia boleh dikatakan sebagai perkara yang baik dan juga tidak baik untuk industri permainan video.

Ia adalah perkara positif kerana semasa PKP ini, jumlah pengguna yang bermain permainan video meningkat di kesemua platform, tambahan lagi di peranti pintar. Ia juga telah memperlihatkan peningkatan pembelian secara digital berbanding fizikal, yang secara langsung memberi lebih keuntungan kepada pembangun.

Akan tetapi ia juga membawa kesan yang negatif terutama untuk pembangun permainan video. Kebanyakan studio mula dan ada juga yang terpaksa melakukan pembangunan daripada rumah. Ia akan memberi kesan kepada komunikasi, dan sepanjang tahun 2020 kita sudah melihat pelbagai permainan tertunda sehingga tahun hadapan disebabkannya. Selain itu, ia juga memberi kesan kepada acara-acara permainan video seperti E3 yang terpaksa dibatalkan, memaksa ramai penganjur melakukan acara secara digital sahaja.

Walaupun acara tersebut masih lagi berjalan, akan tetapi bagi pembangun indie terutamanya, acara seperti E3 dan acara ekspo yang lain adalah tempat utama mereka cuba mencari penerbit. Tiadanya acara tersebut, akan memberi kesan kepada mereka yang ada terpaksa menghentikan pembangunan kerana tidak berjaya mendapat penerbit untuk memberi sokongan dari segi kewangan.

Nintendo Dan Animal Crossing

Satu syarikat yang betul-betul menerima kelebihan akibat PKP ini adalah Nintendo melalui permintaan untuk konsol mereka iaitu Nintendo Switch dan juga permainan Animal Corssing: New Horizons.

Permainan yang boleh dikatakan “permainan yang betul pada waktu yang tepat”, Animal Crossing: New Horizons yang dikeluarkan pada Mac lepas, secara sendirinya merupakan satu siri yang dinantikan ramai, akan tetapi PKP telah meningkatkan lagi permintaan untuk permainan ini.

Setakat bulan September lepas, Animal Crossing: New Horizons telah terjual sebanyak 26 juta unit, tidak mengejutkan jika ia mencecah 30 juta unit pada akhir tahun ini. Satu jumlah yang sangat tinggi terutama untuk permainan yang dikeluarkan secara eksklusif di satu konsol.

Populariti Animal Crossing juga telah membantu untuk meningkatkan lagi permintaan bagi konsol Switch, yang secara sendiri juga menjadi konsol yang dicari oleh ramai pengguna yang berkurung di rumah. Walaupun berada di bayangan konsol generasi baharu, akan tetapi Switch terus menjadi konsol terlaris pada tahun ini.

Ia juga telah memberi kesan kepada harga, di mana Switch yang tidak dijual secara rasmi di Malaysia memperlihatkan peningkatan harga, sehinggakan mencecah RM2000, berbanding RM1299 sebelum ini.

Among Us dan Fall Guys

Dua permainan yang memberi kejutan pada tahun ini adalah Among Us dan Fall Guys: Ultimate Knockout. Ia adalah permainan yang terjual dengan sangat baik pada tahun ini termasuk juga antara kandungan yang popular di Youtube dan juga Twitch. Bahkan di Steam, kedua-dua permainan tersenarai sebagai antara permainan yang menjana pendapatan tertinggi bagi tahun ini.

Fall Guys: Ultimate Knockout boleh dikatakan memperkenalkan sesuatu yang baharu bagi sesi permainan yang kompetitif, saya secara sendirinya yang tidak menyukai permainan multi-pemain, meluangkan masa yang lama untuk cuba mendapatkan Crowns.

Seperti Fall Guys, Among Us juga permainan yang memberi tarikan kepada pemain untuk mencuba permainan multi-pemain. Walaupun dikeluarkan pada tahun 2018 lagi, ia mula menjadi popular pada bulan Ogos ataupun September tahun ini.

Ia mungkin kerana pandemik Covid-19, tetapi populariti permainan ini boleh dikaitkan dengan strimer mula bermain permainan ini di Strim yang memperkenalkannya kepada lebih ramai pemain yang sebelum ini tidak pernah cakna dengan kewujudannya.


Selain perkara-perkara yang saya kongsi-kan di atas, sudah semestinya terdapat pelbagai perkara lain yang memberi kesan kepada industri permainan video. Bukan sahaja untuk jangka masa pendek, tetapi juga jangka masa panjang.

Manakala untuk tahun 2021 pula, ia adalah tahun pertama kita memasuki era generasi baharu bukan sahaja untuk konsol tetapi juga untuk PC. Ia mungkin terlalu awal untuk mengharapkan permainan yang akan menggunakan sepenuhnya kuasa baharu ini, tetapi saya menjangkakan tahun 2021 nanti lebih banyak permainan yang mencapai prestasi yang lebih baik.

Nazrin turut menyumbang untuk penulisan artikel ini.

Sohor Kini