4 Anime Menarik Untuk Suku Pertama Tahun 2021

Kita sudah menghampiri minggu terakhir untuk tahun 2020, dan pada tahun ini terdapat pelbagai anime menarik yang dikeluarkan, antaranya adalah Haikyuu!!, The God of High School, Jujutsu Kaisen dan pelbagai anime yang meneruskan musim-musim lepas, termasuk juga musim terakhir untuk Attack on Titan.

Seperti biasa, kebanyakan anime akan bermula pada awal suku setiap tahun, dan bagi suku pertama untuk tahun 2021, berikut adalah antara anime menarik yang memulakan musim mereka.

The Promised Neverland – Musim 2

Bagi yang tidak pernah membaca manga untuk siri ini, ia boleh dikatakan satu anime yang mengejutkan bagaimana tema penceritaan berubah dengan cepat. Pada 8 Januari kelak, musim ke-2 untuk siri ini akan bermula meneruskan pengembaraan Emma dan Ray bagi merungkai misteri perhubungan di antara Manusia dan ‘Demon’. Bagi anda yang tidak pernah tontonnya, musim sulung sudah disiarkan di Netflix.

Dr. Stone – Musim 2

Secara peribadi, saya boleh katakan Dr. Stone adalah siri yang unik berbanding anime-anime lain yang dikeluarkan. Walaupun berkisar-kan satu tema yang biasa iaitu dunia post-apocalyptic akan tetapi penceritaan bagaimana Senkuu ingin mengembalikan tamadun manusia sangat menarik. Ini ditambah lagi mereka sering menerangkan konsep sains yang digunakan, walaupun mungkin ada yang berlebih-lebih tetapi ia masih menarik. Penceritaan Dr. Stone akan berterusan pada 14 Januari ini. Jika anda ingin tonton musim pertama, ia juga ditawarkan di Netflix.

Cells at Work! – Musim 2

Seperti Dr. Stone, Cells at Work! juga adalah satu anime yang banyak menyertakan elemen saintifik. Bahkan ia dikeluarkan terlebih dahulu iaitu pada tahun 2018, akan tetapi hanya tahun depan barulah kita akan mendapat musim susulan iaitu pada 9 Januari ini. Bagi saya walaupun secara keseluruhan penceritaan tidak lah mendalam, akan tetapi dapat mengetahui serba sedikit mengenai apa yang berlaku di dalam badan adalah satu yang menarik. Musim pertama boleh ditonton di Netflix.

World Trigger – Musim 2

Selepas penantian lebih 4 tahun, anime World Trigger akhirnya akan menerima musim ke-2, di mana ia akan mula disiarkan pada 10 Januari ini. Bagi yang tidak mengikut anime ini, ia memfokuskan kepada perang di antara manusia melawan “Neighbors”, dan senjata biasa tidak dapat digunakan untuk melawan neighbor sehinggalah National Defense Agency ataupun Border ditubuhkan dan mereka menggunakan teknologi neighbor iaitu ‘Trigger’. Ia juga memfokuskan kepada watak Kuga yang merupakan daripada neighbor.

Siri ini mempunyai sambutan yang baik, sehinggalah pencipta siri ini berehat akibat masalah kesihatan pada tahun 2016, dan hanya mengeluarkan kembali manga pada tahun 2018. Walaupun penantian lama, ia mungkin satu penantian yang berbaloi.


Anime yang saya senaraikan di atas adalah sebahagian kecil sahaja daripada pelbagai anime yang akan tiba pada awal tahun hadapan. Satu anime yang saya tidak mempunyai pengetahuannya tetapi nampak menarik adalah SK8 yang akan bermula pada 10 Januari serta Beastars yang mendapat musim ke-2 pada 5 Januari ini.

Tarikh yang saya nyatakan di atas juga adalah tarikh siaran di Jepun dan tiada pengesahan untuk Malaysia. Jika Netflix tidak membawa secara terus, kita mungkin terpaksa menunggu sehinggalah siaran berakhir.

Sohor Kini