Gambling Health Alliance (GHA) iaitu satu badan kebajikan yang memfokuskan kepada masalah-masalah akibat perjudian telah melakukan satu kajian yang memperlihatkan kesan kotak tikam di dalam permainan video di kalangan remaja (berumur 13 hingga 24 tahun), namun mereka tidak berkongsi jumlah sampel.
Anda boleh baca laporan penuh di pautan ini. Secara ringkasnya berikut adalah antara keputusan yang mereka peroleh daripada kajian tersebut;
- 31% tidak menjejak perbelanjaan mereka untuk kotak tikam
- 33% merasakan mereka tidak dapat mengawal perbelanjaan tersebut
- 11% melakukan pembelian setiap hari
- 27% melakukan pembelian sekali untuk sebulan
- 13% terpaksa berhutang untuk menampung perbelanjaan kotak tikam – ada yang mengakibatkan ibu bapa mereka terpaksa membuat pinjaman untuk membayar hutang tersebut.
- 15% mengambil wang dari ibu bapa serta keluarga terdekat tanpa kebenaran
- 24% mengatakan mereka ketagih untuk membeli kotak tikam
- 44% merasakan kotak tikam adalah menjengkelkan
- 17% mengalami masalah tidur kerana ketagihan kotak tikam
- 23% mengalami masalah kehilangan fokus
Berdasarkan kajian ini, GHA telah mencadangkan yang sistem kotak tikam hanya disertakan untuk permainan yang mempunyai penarafan umur 18 tahun ke atas sahaja. Mereka juga mengesyorkan pemain untuk boikot permainan yang mempunyai sistem kotak tikam yang ‘cekik darah’.