Adakah anda pernah menghadapi masalah di saat anda ingin bermain permainan video di konsol, rakan serumah anda mahupun keluarga menggunakan televisyen yang sama untuk menonton Netflix, sekaligus anda tidak mempunyai sebarang televisyen ataupun monitor tambahan untuk bermain permainan di konsol.
Terkini, Human Things mengumumkan produk Genki seterusnya iaitu ShadowCast di mana ia membenarkan anda untuk menggunakan sebarang konsol dan menghubungkan di laptop ataupun mana-mana PC untuk dijadikan sebagai monitor.
Seperti anda tonton video di atas, ShadowCast mempunyai rekaan bentuk seakan pemacu USB sahaja dan ia menghubungkan terus HDMI dari konsol dan ke PC dengan kabel USB-C.
Menariknya, menurut Human Things, ShadowCast juga boleh digunakan untuk merekod permainan secara terus seakan produk Elgato dan mempunyai perisiannya tersendiri untuk memastikan tiada sebarang kependaman. Ini sekaligus dengan tanda harga $39(~RM162) ia semestinya adalah alternatif untuk kad perakam yang sangat murah di pasaran. Ia juga boleh digunakan bersama kamera, sekaligus ia menjadikan satu lagi alternatif untuk produk Elgato Camlink yang membenarkan mana-mana DSLR untuk dijadikan sebagai kamera web.
Meskipun begitu, seperti anda sedia maklum, pengumuman projek ini hanyalah melalui kempen biayasama di KickStarter oleh Human Things, sekaligus ia juga mempunyai beberapa risiko atas sebab produk ini masih lagi belum dilancarkan secara rasmi.
Bagi anda yang berminat, anda boleh membeli dengan menyokong kempen ini di KickStarter di mana ia dirancang untuk dilancarkan pada Mac tahun hadapan dengan tarikh tamat kempen sekitar penghujung Januari ini.
Layari KickStarter: Genki: ShadowCast