Siri TV The Mandalorian musim kedua sudah pun tamat disiarkan di Disney+ pada hari Jumaat lepas dengan episod ke-8 sebagai episod akhir. Episod lapan dengan judul “Chapter 16: The Rescue” memfokuskan kepada The Mandalorian bekerjasama dengan Boba Fett, Bo-Katan dan ramai lagi untuk menyelamatkan Grogu (Baby Yoda) dari penjahat Moff Gideon.

Sedikit peringatan, ada sedikit beberan di dalam artikel ini!

Episod ini turut mempunyai adegan pada akhir kredit. Ia memperlihatkan Boba Fett kembali ke mahligai Jabba The Hut, di mana kini Bib Fortuna memegang takhta. Boba Fett bukan berseorangan, tetapi bersama-sama dengan Fennec Shand, di mana beliau kini adalah orang kanan Boba. Selepas adegan ini berakhir, teks “The Book Of Boba Fett” dipaparkan bersama-sama denga kenyataan ia akan tiba pada Disember 2021.

Apakah “The Book of Boba Fett” ini? Terdapat beberapa spekulasi yang ia adalah satu filem pendek atau juga mungkin siri TV khas memfokuskan Boba Fett. Sebelum ini, kita pernah kedengaran mengenai satu cerita khas Boba Fett akan hadir, tetapi ia dilaporkan dihentikan pada 2018. Jadi, besar kemungkinan projek ini telah dikembalikan. Tetapi kenapa projek ini tidak diumumkan semasa hari pelabur Disney beberapa minggu lepas? Hari tersebut terdapat lebih kandungan Star Wars baru diumumkan.

Besar kemungkinan ia adalah musim ketiga The Mandalorian. Judul siri TV ini sendiri tidak bermaksud ia terhad kepada Din Djarin. Boba Fett juga memakai sut The Mandalorian yang diwarisi dari “bapa” beliau. Kita boleh sangkakan yang dua musim pertama siri TV The Mandalorian ini adalah “The Book of Din Djarin” dan mungkin musim ketiga dan keempat kelak adalah giliran Boba Fett, kemudian mungkin Bo-Katan.

Kenapa saya katakan begini? Episod akhir, Luke Skywalker adalah wakil Jedi yang hadirkan diri untuk melatih Grogu. R2-D2 turut muncul bersama. Jadi, Grogu mungkin akan mengambil masa yang lama untuk berlatih. Tidak masuk akal jika musim ketiga memfokuskan Din Djarin jika tiada Grogu (Baby Yoda). Jadi dua atau tiga musim Disney boleh fokus ke watak-watak yang berkait dengan The Mandalorian yang lain.

The Mandalorian juga adalah pengenalan kepada banyak watak-watak menarik yang boleh dijadikan siri TV. Salah-satu daripadanya adalah Ahsoka Tano. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.

Sohor Kini