Awal pagi ini, Nintendo berkongsi satu acara penstriman Nintendo Direct khas yang mana mereka memperlihatkan taman tema Super Nintendo World di Universal Studios Japan lebih lanjut bersama Shigeru Miyamoto.
Melalui video berdurasikan 15 minit tersebut, Shigeru Miyamoto memperlihatkan pelbagai aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan oleh pengunjung termasuklah aksesori gelang tangan yang berfungsi seakan figura Amiibo.
Perkara pertama yang diperlihatkan adalah pintu masuk taman tema tersebut di mana ia bertemakan paip hijau seperti permainan Super Mario. Di lobi tersebut, ia menyertakan lobi istana Peach dengan muzik latar daripada permainan Super Mario 64.
Seperti yang saya nyatakan di atas, Power-Up Band iaitu gelang tangan khas yang akan disertakan buat pengunjung juga akan berfungsi dengan sokongan NFC dengan pelbagai blok-blok Super Mario yang terdapat di dalam taman tema tersebut.
Melaluinya pengunjung boleh mendapatkan koin dan juga melihat jumlah koin terkumpul melalui aplikasi khas yang boleh dimuat-turun melalui kod QR yang terdapat di belakang gelang tersebut. Selain itu gelang tangan tersebut juga mempunyai 6 rekaan dan ia boleh digunakan bersama konsol Switch ataupun 3DS melalui fungsi Amiibo jika pengunjung ingin membawanya pulang.
Selain itu, Shigeru Miyamoto juga memperlihatkan pelbagai barangan-barangan khas yang pemain boleh dapatkan secara eksklusif di taman tema Super Nintendo World tersebut seperti mainan TOKOTOKO Mario yang mana ia akan berjalan dengan menolak cangkerang merah di belakang Mario. Pengunjung juga boleh dapatkan pelbagai lagi barangan seperti figura dan patung, jagung bertih khas dan sebagainya di taman tema tersebut.
Taman tema tersebut juga akan menyertakan pelbagai lagi aktiviti yang pengunjung boleh lakukan termasuklah melawati kafe Kinopio yang menyertakan pelbagai hidangan menarik bertemakan Super Mario, kar perlumbaan Mario Kart, aktiviti realiti-terimbuh dan sebagainya.
Seperti yang kami laporkan sebelum ini, taman tema Super Nintendo World akan mula beroperasi pada 4 Februari 2021 ini di Universal Studios Japan, Osaka Jepun.