Yakuza: Like A Dragon dimainkan di Xbox Series X, dengan 50 jam masa bermain (penceritaan utama + kebanyakan misi dan aktiviti sampingan)
Bagi siri permainan Yakuza, saya hanya pernah menghabiskan Yakuza Kiwami serta Yakuza Kiwami 2 yang anda boleh baca ulasannya melalui pautan ini; Ulasan Mini – Yakuza Kiwami 2, namun berdasarkan pemerhatian saya dari segi bentuk permainan, siri Yakuza tidak membawa perubahan yang drastik, walaupun sudah mempunyai 7 permainan utama.
Pada 10 November lepas, Ryu Ga Gotoku Studio dan Sega melancarkan permainan ke-8 untuk siri Yakuza bagi pasaran global dan ia mempunyai perubahan yang paling ketara terutama untuk bentuk perlawanan. Berbanding Aksi RPG, Yakuza: Like A Dragon menggunakan pertempuran mengikut turutan seperti JRPG klasik.
Selain itu, ia juga adalah permainan Yakuza utama yang pertama tidak menjadikan Kazuma Kiryu sebagai watak utama. Adakah perubahan ini terlalu besar untuk Yakuza: Like a Dragon atau menjadikan ia satu permainan yang lebih baik?
Kazuma Kiryu adalah satu watak yang sangat besar bagi pengikut siri Yakuza, walaupun sebelum ini, Ryu Ga Gotoku Studio telah menggunakan penggunaan beberapa watak di dalam satu permainan, akan tetapi mereka masih lagi menjadikan Kiryu sebagai pusat penceritaan. Melalui Yakuza: Like A Dragon watak tersebut kini digantikan oleh Ichiban Kasuga.
Ichiban Kazuga adalah satu watak yang pada asasnya mempunyai prinsip yang sama seperti Kazuma, tetapi sepanjang permainan ini saya boleh katakan beliau mempunyai lebih emosi, mempunyai ‘aura’ yang sedikit berlainan. Jika Kazuma saya boleh katakan seorang yang sangat setia dan memegang teguh prinsip, Ichiban pula walaupun juga mempunyai nilai setia tetapi beliau adalah seorang yang baik hati.
Walaupun terlibat di dalam dunia Yakuza yang penuh dengan kekejaman, pembunuhan, pergaduhan dan pengkhianatan akan tetapi Ichiban terus membawa nilai baik hati beliau di dalam setiap keputusan yang dibuat. Bagi saya, ia membawa sesuatu dimensi yang baharu kepada penceritaan Yakuza. Selepas bermain Yakuza: Like A Dragon saya sekadar ingin keluar dan melakukan sesuatu yang positif.
Selain Ichiban, hadir juga pelbagai watak sampingan yang lain seperti Yu Nanba, Koichi Adachi dan Saeko Mukoda, selain membantu menguatkan lagi penceritaan, mereka juga menjadi lebih menarik kerana akan terlibat di dalam pertempuran melalui sistem pertempuran yang baharu yang saya akan terangkan lanjut kemudian.
Bagi penceritaan keseluruhan, ia masih lagi membawa kualiti yang sama dengan permainan Yakuza sebelum ini, dari satu bab ke bab yang lain, sentiasa ada sesuatu yang akan menarik perhatian saya. Cara struktur setiap bab dilakukan, ia akan bermula dengan klimaks yang meneruskan daripada bab sebelum ini, dan berakhir dengan satu lagi klimaks.
Ini ditambah lagi, ia menyertakan adegan-adegan yang panjang tetapi dengan dialog yang menarik. Setiap adegan bagi saya, bagaikan menonton satu filem, berbanding menjadi gangguan kepada sesi permainan, ia adalah antara kekuatan untuk menarik saya untuk menghayati lebih lagi permainan ini dan apa yang ia cuba sampaikan. Ini menjadikan anda ingin terus dan terus melakukan penceritaan utama.
Namun, ia juga sukar untuk dilakukan kerana seperti biasa Yakuza: Like A Dragon menyertakan pelbagai misi dan aktiviti sampingan yang menarik, sentiasa menggoda saya melakukannya berbanding meneruskan penceritaan utama.
Bagi yang sudah biasa dengan permainan Yakuza, saya pasti yang sudah menjadi kebiasaan untuk menghabiskan berjam-jam masa melakukan pelbagai misi serta aktiviti sampingan. Sedar tak sedar saya sudah melakukan pelbagai perkara sampingan dan tidak menyentuh penceritaan utama. Melakukan perkara sampingan ini akan membantu untuk meningkatkan tahap dan juga mendapat wang, akan tetapi saya melakukannya kerana ia seronok untuk dilakukan.
Misi sampingan, biasanya akan mempunyai penceritaan tersendiri yang akan memperkenalkan saya dengan watak yang berlainan. Walaupun ia adalah ringkas, tetapi masih disampaikan dengan baik. Ia juga membantu untuk membina lagi perwatakan Ichiban yang sentiasa mencari peluang untuk membantu sesiapa sahaja. Sesetengah misi ini juga akan memberikan anda watak tambahan semasa pertempuran dan juga untuk digunakan bagi aktiviti sampingan.
Terdapat lebih 10 aktiviti sampingan yang boleh dilakukan, tetapi dua yang utama bagi saya adalah Business Management dan Dragon Kart. Business Management adalah permainan simulasi pengurasan perniagaan di mana saya dipertanggungjawabkan untuk mengembangkan perniagaan satu syarikat, saya boleh membuka kedai, melantik pekerja, mengembangkan lagi kedai dengan sasaran untuk meningkatkan keuntungan.
Saya juga perlu berhadapan ahli lembaga pengarah dan perlu menjawab pelbagai soalan mereka dengan melakukan ‘serangan’ menggunakan pekerja. Ia mempunyai mekanik yang menarik, dan saya boleh katakan menghabiskan masa terlalu lama bermain-nya.
Manakala Dragon Kart pula adalah Super Mario Kart tetapi edisi Yakuza, berlumba di bandar Yokohama dan dapat menggunakan pelbagai “power up” termasuk juga pelancar roket. Ia adalah baik, tetapi bukan untuk sesi yang lama. Ia menarik untuk dilakukan dari semasa ke semasa.
Selain misi serta aktivti sampingan terdapat juga pelbagai elemen bentuk permainan lain yang jika tidak diambil perhatian ia tidak akan menjejaskan pengalaman bermain, tetapi jika dilakukan ia memberi nilai tambah kepada sesi permainan.
Seperti saya katakan di atas, misi serta aktiviti sampingan ini turut membantu untuk meningkatkan tahap dan memberi wang untuk membantu sesi pertempuran yang masih lagi menjadi perkara utama di dalam permainan ini, dan ia telah menerima wajah baharu;
Jika anda membaca ulasan saya untuk Yakuza Kiwami 2, antara rungutan adalah sistem pertempuran yang membosankan. Saya merasakan ia terlalu berulang dan kebanyakan tempat anda akan sekadar “button mashing”. Semasa mereka mengumumkan sistem pertempuran untuk Like a Dragon akan diubah kepada mengikut turutan, saya berharap ia akan menjadikan sistem pertempuran lebih baik dan kini selepas bermain-nya saya boleh katakan ia adalah sistem pertempuran yang jauh lebih menarik.
Sistem pertempuran berdasarkan JRPG, dan seperti yang dikatakan di dalam permainan ini sendiri ia adalah surat cinta kepada Dragon Quest, membantu untuk menjadikan sistem pertempuran lebih mendalam. Pada masa sama memudahkan saya untuk menentukan peningkatan kebolehan yang perlu dilakukan. Pertempuran juga tidak terasa berseorangan kerana anda boleh membentuk pasukan 4 watak.
Ia juga menyertakan pelbagai pekerjaan yang boleh ditukar untuk setiap watak, pekerjaan ini akan memberi kebolehan yang berlainan kepada setiap watak yang secara langsung memberi peranan yang berbeza. Penggunaan senjata juga menjadi lebih penting, dan ia tidak lagi akan rosak selepas digunakan sebaliknya saya perlu mencari senjata yang lebih kuat ataupun mempertingkatkan tahap untuk senjata sedia ada.
Kesemua sistem ini adalah sesuatu yang menjadi kebiasaan untuk permainan JRPG dan saya sangat kagum bagaimana pembangun berjaya menyertakan sistem ini dengan sangat baik ke dalam permainan Yakuza, bahkan memberi penjelasan mengapa Ichiban melawan mengikut turutan. Tidak cukup dengan itu, ia juga hadir dengan sistem “summon” sendiri, yang dipanggil Poundmate.
Anda boleh membayar sejumlah bayaran untuk mendapat bantuan semasa di dalam pertempuran, setiap poundmate akan mempunyai serangan tersendiri, ada juga yang akan memberi sokongan. Watak-watak tambahan poundmate boleh didapati dengan melakukan misi sampingan, dan melihat serangan setiap daripada mereka adalah melucukan tetapi sangat menarik.
Pencipta Yakuza Toshihiro Nagoshi ada mengatakan yang jika Yakuza: Like a Dragon tidak menerima sambutan yang baik, mereka akan kembali kepada sistem pertempuran sebelum ini, namun bagi saya, perubahan ini adalah yang terbaik untuk permainan ini walaupun mungkin dapat mengemaskan serba sedikit beberapa bahagian terutamanya keseimbangan dan juga penjahat yang lebih kepada mempunyai nyawa yang tinggi. Ini menjadikan strategi utama adalah bertahan.
Menjadi Yakuza ke-7 mungkin ‘menakutkan’ untuk sesetengah pemain, akan tetapi bagi saya ia adalah permainan yang akan dihargai bukan sahaja pengikut Yakuza akan tetapi juga yang baru ingin mencuba siri permainan ini. Ia tidak membawa bagasi penceritaan lepas, tetapi jika anda mengetahuinya ia akan memberi nilai tambah.
Sistem pertempuran membantu untuk menjadikan permainan ini lebih mendalam dan ia menurun kepada keseluruhan sistem seperti peningkatan tahap, penggunaan senjata dan juga pembinaan pasukan. Ia memerlukan penambah-baikkan di beberapa bahagian, akan tetapi saya berharap permainan Yakuza seterusnya akan mengekalkan sistem ini.
Oleh itu, dengan mudah untuk saya syorkan permainan ini kepada sesiapa sahaja, tambahan lagi jika anda meminati permainan RPG serta permainan yang memfokuskan kepada penceritaan.