PlayStation, Nintendo dan Xbox hari ini telah berkongsi satu kenyataan yang menyatakan komitmen mereka untuk menyediakan sesi permainan yang lebih selamat untuk pemain, terutama kanak-kanak. Di dalam kenyataan tersebut, mereka memfokuskan kepada tiga prinsip iaitu pencegahan, kerjasama dan tanggungjawab.

Bagi pencegahan mereka berjanji untuk menyediakan fungsi yang akan memudahkan pemain ibu bapa mengawal pengalaman serta had bermain. Mereka juga akan memastikan yang ibu bapa cakna dengan fungsi tersebut.

Manakala untuk kerjasama, mereka akan bekerjasama dengan pelbagai badan berkait untuk memastikan sesi bermain yang lebih selamat, terutama secara dalam talian. Mereka juga bekerjasama dengan agensi penarafan, agar permainan mempunyai penarafan yang tepat.

Akhir sekali, untuk tanggungjawab, mereka akan menyediakan fungsi yang mudah untuk pemain melaporkan sebarang salah laku. Mereka juga akan patuh dengan perundangan tempatan dan akan berkongsi dengan pihak berkuasa jika mendapati sesuatu mempunyai risiko yang boleh memudaratkan pemain. Mereka juga akan memastikan pemain mengetahui mengenai peraturan-peraturan ini.

Komitmen oleh tiga penyedia konsol utama di industri permainan video sudah semestinya satu perkara yang baik. Namun, bagi memastikan sesi bermain yang lebih selamat, pemain juga perlu mempunyai tanggungjawab yang sendiri.

Sohor Kini