Hadirnya konsol generasi baharu telah membawa pelbagai perkara yang baik bagi pemain, antaranya adalah kualiti grafik yang lebih baik, pemuatan yang lebih pantas dan sokongan keserasian belakang yang lebih meluas. Namun, bersama dengan perkara yang baik tersebut, turut hadir satu perkara yang ‘negatif’ untuk pemain iaitu kenaikan harga permainan.

Demon’s Soul adalah permainan pertama yang dikeluarkan secara eksklusif untuk PlayStation 5 dan ia ditawarkan dengan harga RM299 untuk edisi biasa, RM50 lebih mahal berbanding kebiasaan harga permainan ‘Triple A’. Selain itu, Returnal permainan seterusnya untuk PS5 juga disenaraikan di PS Store dengan harga RM299.

Manakala 2K walaupun mengeluarkan NBA 2K21 untuk PS4 dan PS5 akan tetapi ia tidak menyertakan naik taraf percuma. Anda boleh dapatkan di kedua-dua platform dengan harga RM459, ataupun RM301 untuk PS5 sahaja, sedangkan untuk PS4, ia ditawarkan dengan harga RM269.

Ini adalah beberapa contoh sahaja permainan-permainan yang akan dijual dengan harga ‘generasi baharu’. Ia sedikit sukar untuk diterima oleh pemain, tambah lagi pengguna di Malaysia yang sudah melalui beberapa perubahan harga.

Jika mengikut pasaran Amerika Syarikat, permainan sudah ditawarkan dengan harga $59 sejak sekian lama, peningkatan $10 mungkin sesuatu yang sudah lama patut dilakukan, dan bukan satu peningkatan yang terlalu tinggi.

Berlainan pula dengan pemain di Malaysia, kita sudah melalui pelbagai perubahan harga. Suatu masa dahulu, permainan berharga $59 ditawarkan dengan harga RM199 di Malaysia, kemudian ia meningkat menjadi RM219, kini ia biasanya ditawarkan dengan harga RM249, ia adalah kerana mata wang Ringgit menjadi makin lemah jika ingin dibandingkan dengan Dollar. Apabila ia meningkat menjadi $59, kita kini perlu berbelanja RM299 untuk mendapatkan satu permainan. Ini menjadikan ia satu perubahan yang drastik.

Oleh kerana peningkatan harga ini, saya merasakan beberapa perkara akan berlaku yang Sony dan juga Microsoft perlu mencari jalan penyelesaian;

Lebih Ramai Bergantung Kepada Pasaran Terpakai

Pasaran terpakai sejak dari dulu lagi merupakan tempat utama untuk sesetengah pemain mendapatkan permainan mereka. Dengan harga permainan menjadi makin mahal, saya merasakan lebih ramai pemain akan bergantung harap kepada pasaran terpakai sahaja agar dapat memperoleh permainan dengan harga yang lebih murah.

Selain itu, pemain yang membeli permainan hari pertama juga kini akan mempunyai kemungkinan yang lebih besar untuk menjualnya di pasaran terpakai selepas habis bermain. Ia bukanlah perkara yang tidak baik untuk pemain, walaupun harga di pasaran terpakai juga akan meningkat.

Lebih Ramai Akan Menunggu Jualan Promosi

Selain pasaran terpakai, lebih ramai pemain juga akan sekadar menantikan sesuatu permainan ditawarkan dengan lebih murah secara rasmi melalui jualan promosi. Oleh kerana Sony dan Microsoft bukanlah Nintendo, kita boleh menjangkakan potongan harga untuk permainan baharu akan tiba dalam masa terdekat, bahkan seawal sebulan dua lagi bergantung kepada permainan.

Walaupun, pemain teruja untuk sesuatu permainan tetapi jika ia ditawarkan dengan harga RM299, mereka mungkin akan mengambil keputusan untuk menangguhkan pembelian.


Kedua-dua perkara di atas adalah perkara yang baik untuk pemain, kerana kita akan mempunyai pelbagai pilihan untuk mendapatkan permainan dengan harga yang lebih mesra kocek. Namun, ia tidak semestinya satu perkara yang baik untuk Sony, Microsoft ataupun penerbit permainan sendiri.

Bagi pasaran terpakai, seperti kita sedia maklum ia tidak akan memberi sebarang pendapatan kepada mereka, kecuali jika permainan mempunyai pembelian di dalam aplikasi ataupun melalui pembelian DLC. Manakala jualan promosi pula, ia masih lagi membawa pendapatan kepada mereka akan tetapi ia juga akan menjadikan jumlah pra-tempah dan pembelian hari pertama berkurangan yang merupakan perkara penting bagi pelancaran sesuatu permainan.

Oleh kerana itu, saya merasakan Sony dan Microsoft perlu melakukan sesuatu untuk sekurang-kurangnya memberi pemain pilihan yang lebih berbeza sekurang-kurangnya pada awal proses ‘pemindahan’ ini.

Xbox Game Pass

Bagi Microsoft mereka sudah mempunyai perkara yang baik untuk menyelesaikan masalah ini, iaitu Xbox Game Pass. Sebarang permainan yang dikeluarkan oleh mereka akan terus disertakan di dalam Xbox Game Pass. Oleh itu berbanding pemain perlu membayar harga penuh untuk mendapatkan satu permainan, mereka boleh sekadar membayar harga langganan untuk sebulan bagi Xbox Game Pass.

Ia tambah berbaloi apabila mereka juga mula menyertakan permainan yang bukan dibangunkan oleh Xbox Game Studios ke dalam Xbox Game Pass pada hari pertama pelancaran lagi, contohnya The Medium.

Sony pula hadir melalui PS Plus Collection akan tetapi ia masih lagi sangat terhad jika ingin di-banding dengan Xbox Game Pass, mereka juga mempunyai PS Now, tetapi ia ditawarkan di negara terpilih sahaja dan untuk melanggannya di negara yang tidak menyokong sedikit sukar. Tambahan, mereka juga tidak menawarkan permainan baharu di kedua-dua perkhidmatan tersebut.

Harga Digital

Satu perkara yang dari dulu lagi saya merasakan Sony dan Microsoft patut lakukan adalah dengan memberi lebih inisiatif kepada pemain untuk membeli sesuatu permainan secara digital. Dengan harga permainan meningkat, adalah bagus jika permainan versi digital ditawarkan dengan lebih murah berbanding versi fizikal.

Seperti kita sedia maklum, penjualan secara fizikal akan memberi pendapatan yang lebih sedikit kepada pembangun berbanding secara digital kerana mereka tidak perlu membayar kos pengeluaran, serta pembahagian keuntungan dengan kedai-kedai yang menjualnya. Bagi digital mereka hanya perlu membayar peratusan kepada Sony ataupun Microsoft sahaja.

Jadi mungkin Sony serta Microsoft dapat melakukan sesuatu bersama dengan penerbit untuk menjadikannya realiti. Ini ditambah lagi, Sony melalui PlayStation 5 Digital Edition serta Microsoft melalui Xbox Series S menawarkan konsol yang hanya boleh mendapatkan permainan secara digital sahaja.

Namun, ia mungkin mengalami kesukaran untuk mendapat persetujuan terutama daripada penerbit dan juga pengedar permainan secara fizikal.


Kita bersedia ataupun tidak, generasi baharu sudah pun bermula, kos pemilikan permainan kini meningkat, walaupun pada awal ini, masih lagi ada permainan yang mengekalkan harga sama, akan tetapi $69 ataupun RM299 akan menjadi satu harga asas untuk kebanyakan permainan. Kita juga berharap mata wang Ringgit menjadi makin kuat, agar ia tidak meningkat melangkaui RM300.

Sohor Kini