Sewaktu acara pembentangan Disney Investor Day hari ini, syarikat penerbitan kandungan tersebut telah memperlihatkan sejumlah besar siri televisyen dan filem baru untuk Star Wars.

Tetapi Star Wars bukan satu-satunya pengumuman besar yang dibuat oleh Disney. Menyambung kejayaan yang diperolehi oleh siri filem Marvel Cinematic Universe (MCU), Disney turut mengumumkan sejumlah besar siri televisyen dan filem baru untuk siri MCU.

WandaVision

Siri televisyen WandaVision menerima video acah kedua yang memperlihatkan dua watak Avengers, Wanda Maximoff dan Vision didalam sebuah siri sitkom seperti yang ditayangkan pada era 1950-an ke 1970-an.

Teori yang diperlihatkan oleh ramai peminat ialah siri ini berlaku sewaktu Wanda sedang cuba untuk menghidupkan semula Vision pada penghujung filem Avengers: Infinity War.

Siri televisyen ini akan ditayangkan di Disney+ pada 15 Januari 2021 kelak.

Doctor Strange in The Multiverse of Madness

Doctor Strange in The Multiverse of Madness ialah sambungan kepada filem Doctor Strange dan juga Avengers: Endgame. Disney, sewaktu acara Investor Day mereka telah memperlihatkan beberapa butiran tambahan mengenai filem ini.

Ia disahkan akan dibintangi Benedict CumberbatchBenedict WongRachel McAdams, and Chiwetel Ejiofor (Baron Mordo) dan akan menjadi penyambung kepada siri televisyen WandaVision dan juga Spider-Man 3.

Kevin Feige juga telah mengumumkan bahawa filem ini akan ditayangkan di panggung wayang pada 25 Mac 2022 kelak.

The Falcon and Winter Soldier

The Falcon and Winter Soldier dibintangi Anthony Mackie (Sam Wilson) dan Sebastian Stan (Bucky Barnes) adalah dua watak sampingan utama didalam siri filem Captain America dan Avengers.

Kedua-dua watak tersebut kini bakal membintangi siri televisyen pasca-Avengers dimana mereka akan merentas dunia untuk menentang kejahatan. Antara watak-watak yang akan kembali termasuklah Baron Zemo dan Sharon Carter.

Siri televisyen ini akan ditayangkan di Disney+ pada 15 Mac 2021 kelak dan akan sebanyak enam episod akan disiarkan pada musim pertama ini.

Loki

Tidak seperti apa yang disangkakan, Loki masih lagi hidup secara teknikal didalam dunia MCU. Ini disahkan apabila Disney mengesahkan bahawa Loki akan menerima siri televisyen beliau sendiri, dan disahihkan sekali lagi apabila video acah siri televisyen tersebut diperlihatkan hari ini.

Selepas adegan Avengers dimana Tesseract menjadi rebutan ramai, Loki telah di-teleport ke sebuah lokasi (mungkin Mongolia?) dimana dia ditangkap pula oleh sebuah organisasi yang dinamakan Time Variance Agency, sebuah agensi yang bertanggungjawab mengekalkan keamanan diantara dimensi.

Buat masa ini Disney masih belum mengesahkan lagi bilakah siri televisyen Loki ini akan keudara, tetapi ia akan tiba di platform penstriman Disney+.

What If…?

Disney turut memperkenalkan siri animasi pertama mereka berdasarkan MCU yang bertajuk What If…? Siri ini menerokai apakah yang mungkin berlaku jika beberapa adegan penting yang berlaku didalam siri ini ditukar dengan watak yang lain, dan sebagainya.

Menariknya, walaupun in adalah siri animasi, pelakon-pelakon yang memainkan watak-watak yang diperkatakan didalam siri ini akan kembali, seperti Hayley Atwell yang memainkan watak Peggy Carter.

Menurut Kevin Feige, siri What If…? dijangka akan tiba di Disney+ pada musim panas 2021.

Shang-Chi and The Legend of The Ten Rings

Shang-Chi and The Legend of The Ten Rings dibintangi Simu Liu dan ia telah dilaporkan bahawa penfileman adegan-adegan telahpun tamat. Dalam pada itu, Disney turut memperlihatkan sejumlah watak dan pelakon baru, dan diantaranya ialah pelawak dan pelakon kelahiran Malaysia, Ronnie Chieng bersama-sama dengan Dato’ Michelle Yeoh.

Tidak banyak yang diketahui mengenai adaptasi Shang-Chi ini buat masa ini, tetapi menurut Kevin Feige, Shang-Chi and The Legend of The Ten Rings akan ditayangkan pada 9 Julai 2021 kelak.

Ms. Marvel

Jika anda mengikuti perkembangan komik Marvel, anda pasti mengenali Kamala Khan ataupun Ms. Marvel. Dia adalah seorang watak fiksyen berbangsa Pakistan-Amerika, dan juga boleh dikatakan adiwira Marvel pertama yang beragama Islam.

Kevin Feige mengumumkan bahawa Ms. Marvel akan menjadi sebuah siri televisyen, dan mereka telah menemui pelakon yang cukup sesuai untuk memainkan watak Kamala Khan melalui Iman Vellani.

Buat masa ini jalan cerita untuk Ms. Marvel masih tidak diketahui lagi, tetapi Kevin Feige telah mengatakan bahawa siri ini akan ditayangkan di Disney+ pada penghujung 2021 kelak.

Fantastic Four

Setelah sekian lama menunggu, akhirnya sebuah filem Fantastic Four yang berpaksikan Marvel Cinematic Universe telah diumumkan oleh Disney. Ini boleh dikatakan sebuah pengumuman yang sangat baru kerana pelakon-pelakon yang akan memainkan watak-watak utama untuk filem ini belum diketahui lagi.

Fantastic Four

Walaupun begitu, ia telah disahkan bahawa Jon Watts disahkan akan mengarahkan filem ini. Sebelum ini beliau telah mengarah Spider-Man: Homecoming dan Spider-Man Far From Home, dan akan mengarah filem Spider-Man 3 yang akan datang.

Oleh kerana pengumuman mengenai filem ini agak baru, tarikh tayangan Fantastic Four ini belum ditetapkan lagi. Jangkaan kami ialah ia akan menjadi sebuah “origin story” sebelum dikembangkan didalam fasa keempat MCU.

Black Panther 2

Filem Black Panther merupakan diantara filem Marvel yang tersangat laris kerana watak T’challa yang sangat karismatik, dan jalan ceritanya yang memperlihatkan sebuah negara Afrika yang sangat futuristik.

Sayangnya, pelakon watak tersebut, Chadwick Boseman telah meninggal dunia akibat kanser. Pada acara Marvel Investor Day hari ini, Kevin Feige telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan menggantikan Chadwick Boseman, dan sebaliknya akan menerokai watak-watak didalam Black Panther lain yang mungkin akan menggantikan T’challa sebagai Black Panther.

Black Panther 2 akan ditayangkan pada 8 Julai 2022.

Ironheart

Jika anda tidak mengenali nama Ironheart, jangan risau kerana ia adalah diantara komik Marvel yang terbaru. Ia adalah kisah adiwira tentang Riri Williams, seorang remaja berumur 15 tahun yang juga merupakan seorang genius yang membangunkan sut perisai seakan-akan Iron Man.

Malah, Riri Williams, dan kisah Ironheart merupakam sambungan spiritual kepada siri Iron Man. Siri televisyen ini akan dibintangi Dominique Thorne dan akan ditunjuk di Disney+ di masa yang belum ditetapkan lagi.

Secret Invasion

Nick Fury bersama-sama Talos yang sebelum ini telahpun bersatu menewaskan makhluk asing Skrull didalam filem Captain Marvel.

Kedua-dua watak ini bergabung lagi didalam siri televisyen Disney+ Secret Invasion untuk menentang lebih banyak lagi Skrull yang nampaknya telah memasuki masyarakat manusia secara rahsia.

Sama seperti didalm filem Captain Marvel, Samuel L. Jackson dan Ben Mendelsohn akan kembali memainkan watak Nick Fury dan Talos didalam siri ini. Buat masa ini ia masih tidak diketahui lagi bilakah siri ini akan ditayangkan di Disney+.

Jika anda berminat untuk mengetahui mengenai beberapa lagi siri televisyen dan filem Marvel yang akan ditayangkan di panggung wayang dan Disney+ kelak, anda boleh melayari laman web Marvel di sini.

Sohor Kini