Sony Pictures hari ini telah mengumumkan secara rasmi yang AT&T iaitu syarikat induk kepada WarnerMedia pemilik Crunchyroll telah bersetuju untuk menjual penyedia kandungan anime dan manga tersebut dengan harga $1.175 bilion (~RM4.78 bilion).
Laporan pertama mengenai pengambil-alihan ini sudah dikeluarkan pada akhir Oktober lepas, dan kini tampaknya ia sudah rasmi. Crunchyroll akan menyertai Funimation dan Aniplex, memperluaskan lagi kawalan Sony ke atas pasaran anime.
Berdasarkan pengumuman rasmi tersebut, Crunchyroll mempunyai 3 juta pelanggan berbayar dan 90 juta pengguna yang berdaftar di mana kandungan Crunchyroll boleh ditonton secara percuma tetapi dengan menyertakan iklan. Selain penstriman anime, mereka juga menerbitkan manga dan permainan mudah alih.
Pengambilalihan ini masih menantikan pengesahan daripada pihak pengawalseliaan.