3 Permainan Menarik Untuk Bulan Disember

Kita akhirnya berada di bulan terakhir untuk tahun 2020, pada masa sama kita juga telah memasuki era generasi konsol baharu dengan PlayStation 5 dan juga Xbox Series dilancarkan secara rasmi pada bulan lepas.

Bagi pilihan permainan pada bulan ini, ia mungkin tidaklah yang paling terbaik bagi tahun ini, tetapi ada satu permainan besar yang akan tiba iaitu Cyberpunk 2077. Secara jujur-nya, saya sendiri pada bulan ini menantikan Cyberpunk sahaja, tetapi ada beberapa permainan lain yang saya mungkin akan cuba setelah selesai bermain Cyberpunk 2077.

Berikut adalah permainan menarik yang akan tiba pada bulan ini;

Cyberpunk 2077

Setelah beberapa kali ditunda, permainan yang dinanti-nantikan ini akhirnya akan tiba pada 10 Disember ini. CD Projekt Red juga telah mengatakan yang ia tidak akan lagi tertunda…mungkin.

Terdapat beberapa sebab mengapa ia adalah permainan yang paling dinantikan, pertama permainan utama seterusnya oleh CD Projekt Red yang selepas The Witcher 3, menjadi antara pembangun kegemaran ramai. Kedua, permainan ini juga menjanjikan pengalaman yang mendalam, dengan menawarkan pelbagai pengubahsuaian dan juga penceritaan yang pelbagai. Ketiga, sudah semestinya kerana Keanu Reeves.

Cyberpunk 2077 akan dikeluarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC.

Immortal Fenyx Rising

Jika tidak kerana Ubisoft untuk beberapa bulan lepas telah mengeluarkan 2 permainan dunia terbuka, saya mungkin lebih tertarik untuk mencuba Immortal Fenyx Rising. IP baharu oleh Ubisoft ini, cuba membawa sesuatu yang baharu kepada pemain, tetapi berdasarkan apa yang saya lihat daripada video bentuk permainan ia masih lagi terasa seperti permainan-permainan Ubisoft yang lain.

Namun, saya adalah salah seorang pemain yang walaupun tidak berpuas hati kerana Ubisoft sering membawa bentuk permainan yang sama, tetapi akan juga mencubanya, begitu juga dengan Immortal Fenyx Rising. Saya mungkin akan mencubanya setelah habis bermain Watch Dogs Legion dan Assassin’s Creed Valhalla.

Immortal Fenyx Rising akan dikeluarkan pada 3 Disember untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series, Switch dan PC.

Twin Mirror

Selepas kejayaan Life is Strange, Dontnod telah hadir dengan pelbagai IP baharu seperti Vampyr, Tell Me Why dan yang terbaru Twin Mirror. Berbanding seperti permainan Life is Strange dan Tell Me Why, Twin Mirror lebih menyamai permainan Vampyr iaitu Aksi Pengembaraan.

Di dalam permainan ini, pemain akan menjadi seorang wartawan yang sedang menyiasat misteri yang berlaku di kampungnya. Pemain boleh memasuki “Mind’s Palace” untuk mencari penunjuk.

Twin Mirror sudah dikeluarkan pada 1 Disember untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC.


Selain tiga permainan di atas, terdapat pelbagai lagi permainan lain yang menarik tetapi kebanyakan adalah permainan yang dikeluarkan untuk platform baharu. Antaranya, Dragon Quest XI S yang sebelum ini adalah untuk Switch sahaja kini turut dikeluarkan untuk PlayStation, Xbox dan PC. Doom Eternal pula akan dikeluarkan untuk Switch.

Jika anda ingin melihat senarai penuh anda boleh lihat-nya di senarai yang kami sertakan di bawah.

Sohor Kini