Setiap tahun kita dihidangkan dengan permainan penembak Call Of Duty di mana Activision sejak lebih dari 10 tahun lepas siri tersebut berkembang ke pelbagai era dan sekuel setiap tahun.

Untuk tahun 2020 ini, Activision membawa kembali siri Call Of Duty ke era 1980an dengan siri Black Ops bersama pembangun asal tersebut iaitu Treyarch bersama Raven Software dan Sledgehammer di mana permainan ini bertempatkan selepas Call Of Duty Black Ops yang dilancarkan pada 2010 lepas.

Walaupun begitu, adakah tahun ini kita menerima permainan Call Of Duty yang berlainan dan bagus berbanding sebelum ini? Jadi ini adalah ulasan kami untuk Call Of Duty: Black Ops Cold War.

Penceritaan Peperangan Yang Penuh Aksi Dengan Pilihan Pengakhiran Berbeza

Seperti yang saya nyatakan di atas, permainan ini bertempatkan di era 1980an iaitu sekitar peperangan dingin di mana pemain sekali lagi akan mengembara beberapa watak asal daripada siri Black Ops seperti Alex Mason, Frank Woods bersama beberapa watak baharu seperti Russell Adler dan juga watak baharu yang pemain akan mainkan iaitu Bell.

Jika anda pernah bermain mana-mana mod kempen solo permainan Call Of Duty, secara jujurnya tidak banyak yang saya boleh katakan. Seperti permainan Call Of Duty sebelum ini, Black Ops Cold War seperti biasa menyertakan pelbagai adegan dan bentuk permainan penembak yang penuh aksi, dengan pelbagai elemen-elemen kejutan dan watak-watak yang pelbagai.

Meskipun begitu, apa yang membuatkan permainan Call Of Duty ini sedikit berbeza dengan Call Of Duty: Modern Warfare tahun lepas dari segi bentuk penceritaannya adalah Black Ops Cold War lebih meluas dari segi penyampaian penceritaan dengan pelbagai misi sampingan yang pemain boleh lakukan.

Jika sebelum ini penceritaan permainan adalah lebih lurus, kali ini Treyarch membawa beberapa aspek penceritaan yang lebih terbuka di mana pemain mempunyai satu hub utama khas untuk mengakses misi-misi yang tersedia dan pada masa yang sama melakukan misi sampingan, dan menyelesaikan beberapa tekaria dengan menggunakan bahan-bahan bukti yang dikumpul oleh pemain sepanjang pemain lakukan misi tersebut.

Konsep ini adalah sesuatu yang agak menarik atas sebab ia sedikit sebanyak membuka lebih banyak cabang dan pilihan dialog untuk gaya penyampaian penceritaannya dan apa yang membuat ia lebih menarik adalah permainan ini mempunyai beberapa pengakhiran yang berbeza. Ini juga memberi peluang untuk bermain semula kempen solo permainan ini berulang kali untuk mendapatkan pengakhiran berbeza dan memandangkan kempen tersebut agak pendek, ia bukanlah sesuatu yang agak menyusahkan untuk dilakukan.

Walaupun begitu, secara keseluruhan penceritaan Call Of Duty: Black Ops Cold War tidaklah membawa sebarang bentuk naratif yang mengejutkan untuk siri tersebut. Jika anda pernah bermain permainan Call of Duty Black Ops pertama, anda pasti akan perasan beberapa rujukan tersembunyi yang agak menarik untuk peminat terutamanya elemen-elemen askar Black Ops dan beberapa bentuk “Brainwash” yang agak menarik. Namun jika anda terus mula bermain permainan ini, ia juga tidaklah memberi sebarang masalah atas sebab penceritaannya tidak berkaitan secara terus berbanding mana-mana siri Black Ops.

Walaupun begitu, jika anda mencari satu permainan penembak dengan penceritaan penuh aksi, semestinya saya sendiri boleh syorkan permainan ini. Akan tetapi, jika dibandingkan dengan siri Call Of Duty lain, penceritaan Black Ops Cold War tidaklah membawa sebarang kelainan mahupun sesuatu yang unik.

Visual Yang Sangat Menawan Dengan Kelancaran Permainan Yang Optimum Di PlayStation 5

Ketika sesi ulasan saya, saya berpeluang untuk bermain permainan ini di kedua-dua konsol PlayStation 4 Pro dan PlayStation 5 yang mana saya boleh katakan, kedua-duanya memaparkan visual yang sangat menawan termasuklah kesan Ray Tracing yang sangat menawan dan tidak merosakkan sebarang masalah prestasi konsol PlayStation 5.

Semestinya visual yang dipaparkan di konsol PlayStation 5 adalah lebih bagus dengan kelancaran yang sangat menakjubkan, terutamanya buat anda yang memiliki monitor ataupun TV yang menyokong 120hz. Meskipun begitu, buat anda yang bermain permainan ini di konsol PlayStation 4, anda sendiri pasti tidak akan kecewa dengan apa yang disampaikan oleh Treyarch kali ini, di mana ketika saya bermain kedua-dua dan seperti anda lihat melalui imej di atas, ia tidaklah mempunyai sebarang perbezaan yang ketara selain daripada kesan pencahayaannya.

Dicampur juga prestasi permainan yang dimainkan dengan baik sekali tanpa sebarang masalah kelancaran mahupun pepijat yang merosakkan permainan, Call Of Duty Black Ops Cold War boleh dikatakan satu permainan generasi kini yang dibangunkan khas untuk konsol PlayStation 5.

Kesan visual efek lain juga dihasilkan dengan baik untuk versi PlayStation 5 di mana kesan asap-asap kelihatan lebih terang dan disebabkan pemuatan SSD yang sangat pantas, sesi permainan ini berasa sangat lancar dan pantas setiap kali saya memasuki sebarang misi-misi permainan dan tidak lagi perlu menunggu dengan lama untuk terus bermain.

Asalnya saya sendiri berasa khuatir sama ada kesan skrin pemuatan yang lebih pantas akan mengubah pengalaman dan memberi berbezaan impak permainan yang besar ataupun tidak. Namun setelah merasai sendiri betapa pantasnya pemuatan konsol PlayStation 5, saya boleh katakan ya. Ia memberi kesan yang sangat baik sekali sehingga saat bermain di konsol PlayStation 5, misi-misi yang dipilih oleh saya dimuatkan secara terus tanpa sebarang skrin permuatan manakala ketika saya bermain di konsol PlayStation 4 Pro, saya sering sekali nampak skrin pemuatan yang ditayangkan beberapa minit dan saat sebelum memasuki adegan permainan.

Kesan pemuatan pantas ini yang mana sekali lagi saya ingin katakan permainan ini sememangnya lebih baik dimainkan di konsol PlayStation 5 dan ia menggunakan kuasa konsol tersebut dengan baik sekali.

Bentuk Permainan Penembak Yang Kekal Bagus Dan Lancar

Dari segi keseluruhan bentuk permainan, sekali lagi tidak banyak yang saya boleh terangkan atas sebab ia masih lagi sekadar satu permainan penembak pandang pertama.

Walaupun dari segi pergerakkan ia agak berbeza dengan beberapa elemen menggelongsor yang lebih jauh dan pantas, Call Of Duty Black Ops Cold War masih mengekalkan resipi yang sama bertahun-tahun untuk siri permainan tersebut.

Walaupun begitu, sebagai seorang peminat permainan Call Of Duty Modern Warfare sebelum ini, Black Ops Cold War ini berasa lebih arked berbanding permainan tersebut di mana Modern Warfare memfokuskan beberapa elemen taktikal termasuklah fungsi untuk mengintip yang mana saya amat menyukai di dalam permainan tersebut.

Namun dengan membuang fungsi tersebut di dalam permainan ini dan menjadikan ia lebih asas seperti permainan penembak tipikal, ia membuatkan saya sendiri kurang menyukai produk seterusnya Treyarch ini walaupun saya pasti, ramai peminat Call Of Duty lebih menyukai bentuk sebegini.

Dari segi kawalan penembakkan lain pula, kebanyakkannya adalah sama sahaja sama ada anda menembak, menggunakan gajet seperti bom tangan ataupun bom kilat, konsep dan kawalan tersebut sememangnya tiada perubahan utama.

Jumlah senjata juga adalah sangat pelbagai dan memandangkan permainan ini bertempatkan di era 1980an, ia tidak menyertakan sebarang senjata moden mahupun senjata yang terlalu rumit dan memfokuskan senjata-senjata klasik seperti senapang XM4, senapang patah seperti Hauer 77 dan sebagainya.

Namun sekurangnya dengan pelancaran musim-musim permainan termasuklah musim perttama yang baru sahaja dilancakran minggu ini, Activison masih lagi menambahkan pelbagai senjata-senjata baharu termasuklah kandungan lain speerti peta, kostum watak dan sebagainya.

Meskipun begitu, saya menyukai beberapa kandungan permainan seperti mana saya nyatakan di atas di bahagian penceritaan yang mana permainan ini mempunyai beberpaa misi sampingan, antara misi-misi sampingan tersebut menyertakan beberapa misi yang memerlukan pemain untuk menyelinap pangkalan musuh di mana pemian beruapay untuk membunuh secara senyap dan juga menyembunyikan mayat.

Semestinya konsep permainan selinap adalah tidak asing untuk siri Call Of Duty ini, namun penyertaan bentuk permainan ini di dalam permainan ini sedikit sebanyak membuatkan permainan ini berasa pelbagai, termasuklah beberapa elemen penyelesaian tekaria dan membuka pintu berkunci.

Selain itu, apa yang saya suka berkenaan permainan ini dengan konsol PlayStation 5 adalah sokongan picu penyesuai di mana seperti yang anda lihat melalui imej di atas, picu tersebut akan bergegar dan mempunyai rintangan ketika anda menembak.

Sokongan ini juga adalah mengapa membuatkan permainan Black Ops Cold War adalah unik di konsol tersebut dan pada masa yang sama memberi satu pengalaman permainan yang lebih imersif.

Walaupun begitu, jika anda bermain sesi permainan yang lama ataupun bermain secara multi-pemain, saya mengesyorkan anda untuk menutup fungsi ini melalui tetapan permainan atas sebab jika sesi permainan yang lama, ia agak membuat jari anda cepat lenguh.

Multi-Pemain Yang Sama Tanpa Sebarang Pembaharuan, Namun Masih Kekalkan Kandungan Yang Pelbagai

Antara salah satu sebab mengapa ramai peminat siri Call Of Duty menyukai permainan tersebut semestinya adalah kandungan multi-pemainnya yang mana dukacitanya apa yang saya boleh katakan adalah sama sahaja dengan permainan Call Of Duty sebelum ini.

Saya perlu akui dengan pelancaran permainan Call Of Duty: Modern Warfare dan Call Of Duty Warzone sebelum ini, ia sedikit sebanyak sudah meletakkan siri tersebut berada di puncak untuk satu permainan penembak multi-pemain. Akan tetapi, untuk menghasilkan permainan multi-pemain baharu selepas kedua-dua permainan tersebut, ia semestinya akan dibandingkan dan Black Ops Cold War ini semestinya berasa agak mengecewakan.

Meskipun begitu, ini tidak bermakna Black Ops Cold War ini adalah satu permainan yang kosong. Tidak sama sekali atas sebab ia masih lagi menyertakan kandungan multi-pemain yang sangat baik dengan pelbagai mod, dicampur pula dengan musim pertama permainan ini baru sahaja bermula, ia sekaligus membawa kandungan yang pasti akan memuaskan peminat.

Akan tetapi, antara kekecewaan saya semestinya adalah mod Ground War iaitu mod pertempuran 64 pemain tidak lagi tiba dan digantikan dengan Combined Arms yang mana ia adalah lebih kecil sebanyak 24 pemain. Melaluinya, pemain masih lagi akan bertempur dengan lokasi yang luas dengan keupayaan untuk menaiki kenderaan.

Namun atas sebab ia Ground War tahun lepas berasa lebih meluas dan sangat pelbagai, ia membuatkan mod Combined Arms ini berasa agak mengecewakan. Selain itu, terdapat juga mod Fireteam yang mana lebih memfokuskan 40 pemain di dalam 4 pemain sepasukan. Namun mod ini lebih memfokuskan pemain untuk melakukan objektif sahaja dan tidak mempunyai skala peperangan besar seperti Ground War.

Dari segi peta dan mod lain, permainan multi-pemain Black Ops Cold War ini sememangnya menyertakan jumlah mod yang banyak dan pelbagai mod-mod kesukaan ramai pemain kembali seperti Domination, Search And Destroy dan semestinya Free For All dengan pelbagai pilihan peta termasuklah peta daripada permainan Call Of Duty Black Ops sebelum ini iaitu Nuketown.

Selain itu, antara perkara utama di dalam permainan Call Of Duty multi-pemain adalah fungsi untuk menghasilkan dan menetapkan jenis senjata anda sendiri di mana seperti biasa, anda boleh menghasilkan kelas senjata anda melalui fungsi “Create-A-Class” yang membenarkan anda untuk menetapkan pelbagai jenis senjata, senjata sampingan, kelengkapan, gajet dan juga stastistik watak bersama kemahiran.

Fungsi Scorestreaks juga kembali di mana berbanding sebelum ini yang memfokuskan jumlah pembunuhan secara berturut-turut digantikan jumlah markah pemain di mana segala fungsi untuk memanggil barangan tambahan seperti SpyPlane (UAV) ataupun helikopter adalah lebih mudah.

Seperti biasa, pemain juga boleh tetapkan pelbagai jenis fungsi yang tersedia di mana ia boleh dinyah-kunci pelbagai lagi fungsi lain apabila pemain terus bermain dan meningkatkan peringkat pemain, termasuklah juga untuk set-set kelengkapan senjata pemain.

Walaupun begitu, seperti biasa kandungan ini juga berasa sama sahaja dengan permainan sebelum ini yang mana berasa seolah satu salinan terus dan tidak membawa sebarang inovatif untuk pemain. Sekali lagi saya memahami yang mana ramai peminat Call Of Duty menyukai aspek sebegini seolah kata pepatah, jika tidak rosak kenapa ia diperbaiki.

Akan tetapi, jika salinan dan ulangan bentuk permainan dilakukan bertahun-tahun oleh Activision dan pembangun, siri Call Of Duty boleh dikatakan sudah menjadi tepu dan tidak lagi membawa sebarang kelainan untuk saya sendiri.

Dari segi mod zombi pula, seperti biasa Call Of Duty: Black Ops Cold War menyertakan kandungan yang sangat banyak terutamanya sejak berlangsungnya musim pertama permainan ini di mana anda dan tiga lagi pemain akan bertempur dengan ratusan zombi secara berperingkat dengan elemen pertahanan hidup yang sangat mencabar.

Walaupun begitu, secara amnya, ia tidaklah terlalu berbeza dengan mod zombi sebelum ini dan dari segi penceritaan mod zombi juga, ia sekali lagi hanya memfokuskan naratif makhluk zombi dari dunia lain yang datang menyerang pemain.

Untuk kandungan multi-pemain, walaupun permainan ini menyertakan kandungan yang banyak dan fungsi intergrasi antara permainan Call Of Duty: Warzone dan Modern Warfare, ia masih lagi berasa agak kecil untuk menjadikan satu sekuel permainan atas sebab ia masih lagi berada di bayangan dua permainan besar Call Of Duty sebelum ini.

Apa yang saya boleh katakan untuk anda yang suka dengan permainan multi-pemain Call Of Duty iaitu multi-pemain secara berpasukan ataupun secara objektif seperti Search And Destroy mahupun Domination, jika anda memiliki permainan Call Of Duty Modern Warfare sebelum ini, anda tidaklah perlu mendapatkan permainan ini atas sebab ia tidaklah membawa sebarang pembaharuan yang besar.

Namun jika anda menyukai bentuk permainan pertempuran royale, saya lebih syorkan anda untuk terus bermain Call Of Duty Warzone yang ditawarkan secara percuma untuk pelbagai platform.

Kesimpulan

Permainan Call Of Duty: Black Ops Cold War semestinya adalah satu permainan penembak yang baik untuk tahun ini. Dengan gaya permainan penembak yang responsif dengan kandungan yang agak banyak, ia boleh dikatakan satu lagi permainan Call Of Duty akan menyertai carta permainan Call Of Duty terbaik.

Walaupun begitu, memandangkan segala pendekatan yang disertakan di dalam untuk tahun ini tidak terlalu banyak berbeza dengan tahun lepas tanpa sebarang pembaharuan utama, ia sekaligus membuatkan permainan ini seolah hanyalah satu permainan Call Of Duty yang bertempatkan di era peperangan dingin sahaja.

Ditambahkan juga dengan penceritaan yang agak pendek walaupun mempunyai beberapa pengakhiran berbeza, namun dengan apa siri Black Ops bawakan sebelum ini, ia berasa permainan ini lebih kecil berbanding permainan sebelum.

Meskipun begitu, bagi anda seorang yang penggemar siri permainan Call Of Duty, permainan ini semestinya membawa segala yang anda inginkan untuk siri tersebut termasuklah kandungan yang mana akan terus bawa ke permainan Call Of Duty Warzone, buat anda yang ingin terus bermain permainan pertempuran royale tersebut.

Call Of Duty: Black Ops Cold War
Harga: RM249
Satu Permainan Penembak Yang Baik Dengan Visual Dan Bentuk Permainan Lancar Di Konsol PlayStation 5, Tetapi Tidak Mempunyai Sebarang Pembaharuan Daripada Permainan Tahun-Tahun Sebelum.
Cerita
6
Bentuk
6
Grafik
10
Audio
9
Multi-Pemain
6
Positif
Visual Grafik Yang Sangat Menawan
Penceritaan Penuh Aksi Dan Sinematik
Negatif
Multi-Pemain Yang Membosankan Tanpa Pembaharuan
Penceritaan Yang Agak Pendek
7.4

Sohor Kini