Sejak pengumuman permainan Re:Legend beberapa tahun lepas oleh Magnus Games Studio iaitu pembangun tempatan, permainan tersebut semestinya mendapat perhatian ramai atas sebab ia mempunyai bentuk permainan pengembaraan RPG dengan elemen simulasi berkebun.
Terkini, bersama 505 Games, Magnus Games Studio mengumumkan permainan Re:Legend akan dilancarkan secara rasmi di konsol PlayStation 4, Xbox One dan Switch pada suku kedua tahun hadapan. Dengan pelancaran versi konsol mereka juga mengesahkan versi lengkap ataupun 1.0 untuk PC juga turut akan dilancarkan kelak.
Bersempena dengan pengumuman ini, Magnus Games Studio juga berkongsi satu video khas memperlihatkan permainan Re:Legend dimainkan di konsol Switch.
Re:Legend merupakan permainan yang dibangunkan oleh Magnus Games Studio, iaitu pembangun tempatan dari Malaysia. Ianya merupakan permainan pengembaraan yang menyertakan pelbagai bentuk simulasi penternakan raksasa dan berkebun. Pemain juga boleh menghasilkan pelbagai jenis kelengkapan dan bertempur dengan pelbagai jenis musuh.
Seperti anda sedia maklum, permainan ini dilancarkan secara akses awal di Steam tahun lepas dan ia boleh dibeli dengan harga RM49 sahaja.