4A Games hari ini telah berkongsi beberapa perkembangan terbaru mengenai studio mereka, terutama selepas diambil-alih oleh Embracer Group melalui Saber Interactive. Antara yang dikongsi adalah Metro Exodus untuk PS5 serta Xbox Series, permainan baharu, IP baharu dan juga multi-pemain.
Bagi versi PS5 dan Xbox Series, 4A Games akan menyertakan naik taraf untuk permainan tersebut iaitu kadar kelancaran yang lebih baik, resolusi yang lebih tinggi, mengurangkan masa pemuatan dan juga ray tracing. Ia dijangka akan tiba pada tahun 2021 secara percuma kepada semua pemilik Metro Exodus di PS4 dan juga Xbox One.
Selain itu, mereka juga mengesahkan yang permainan baharu Metro sedang dibangunkan khusus untuk konsol PS5, Xbox Series, dan PC. Ia akan terus memfokuskan kepada mod permainan solo. Pada masa sama mereka juga akan membangkan IP baharu dan berharap ia dapat berdiri bersama dengan siri Metro. Kedua-dua masih di peringkat awal dan tidak banyak yang boleh dikongsi buat masa ini.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, 4A Games juga dikatakan sedang membangunkan permainan multi-pemain. Kini, mereka mengesahkan perkara tersebut dan mengatakan ia adalah berdasarkan siri permainan Metro. Namun, menegaskan yang ia tidak akan menjejaskan permainan solo, sebaliknya akan dibangunkan oleh pasukan pembangunan yang berlainan. Mereka juga mengatakan dengan pengalaman yang dimiliki oleh Saber Interactive akan membantu mereka untuk hadir dengan permainan multi-pemain yang baik.
Akhir sekali, bersempena ulang tahun ke-10 untuk siri Metro, mereka juga telah hadir dengan garis masa mengenai penceritaan Metro dan juga sejarah pembangunan permainan Metro. Anda boleh melihatnya di pautan ini, mereka juga berkongsi video acah untuknya.