Jika anda pernah memiliki konsol Nintendo DS seperti saya hampir 15 tahun lepas, anda pasti mengetahui berkenaan permainan Drawn To Life di mana ia adalah permainan keluaran THQ yang memfokuskan bentuk platformer di mana ia membenarkan anda untuk menghasil ataupun melukis watak anda sendiri.

Kini selang 11 tahun kemudian sejak pelancaran permainan keduanya iaitu Drawn To Life: The Next Chapter, 505 Games akan membawa kembali siri ini melalui Drawn To Life: Two Realms di mana ia akan tiba di konsol Switch, PC dan versi Permua pada 8 Disember 2020 ini.

Namun adakah ia masih lagi satu siri yang menarik untuk tahun ini? Ini adalah pandang pertama kami untuk Drawn To Life: Two Realms.

Konsep Permainan Dengan Rekaan Watak Sendiri Yang Comel

Seperti permainan sebelum ini, pemain akan mula penceritaan permainan ini dengan menghasilkan watak pemain sendiri di mana anda seolah seorang “Pencipta” ataupun Creator di mana ketua kampung Raposa Village, Mari iaitu watak daripada permainan sebelum ini memerlukan pertolongan anda untuk menyelamatkan dunia permainan ini.

Meskipun begitu, ini tidak bermakna anda perlu bermain permainan sebelum ini untuk memahami penceritaannya atas sebab ia masih lagi mengekalkan elemen naratif yang ringkas. Meskipun begitu, dengan penyertaan beberapa watak daripada permainan sebelum, ia sedikit sebanyak membawa beberapa pengalaman nostalgia untuk saya sendiri sepanjang sesi permainan saya.

Setelah pemain menghasilkan watak ‘adiwira’ tersebut, pemain kemudian akan dihantar ke dunia “Manusia” melalui “Book Of Imagination” untuk menyelamatkan salah satu lagi watak daripada permainan sebelum ini iaitu Mike.

Secara asasnya permainan ini mempunyai konsep dua dunia seperti di dalam tajuk permainan ini di mana pemain akan mengembara di dalam kedua-dua dunia tersebut untuk menyelesaikan dan menyelamatkan konflik antara watak-watak di dalam dunia tersebut dengan masuk di dalam minda mereka dan menyelesaikan tekaria.

Pemain kemudian mempunyai kebebasan untuk terokai dua dunia tersebut dengan berinteraksi dengan penduduk, menyelesaikan masalah mereka dan mencari pelbagai barangan tersembunyi.

Dari segi aspek bentuk permainan tekaria, ia menyediakan bentuk platform yang ringkas dan akan saya terangkan di bawah.

Elemen Platformer Yang Masih Lagi Ringkas, Tetapi Lebih Banyak Kebebasan

Dari segi aspek bentuk platformer, seperti permainan sebelum ini pemain perlu menyelesaikan beberapa tekaria dengan ke pintu untuk menamatkan sesuatu peringkat permainan tersebut. Pemain boleh bergerak dengan melompat biasa dan juga melompat atas musuh untuk melompat ke lokasi yang lebih tinggi. Pemain juga boleh menumpas musuh dengan melompat atasnya ataupun membuat serangan pusingan untuk menjatuhkan musuh.

Setiap peringkat mempunyai beberapa cabaran yang memerlukan pemain untuk berfikir bagaimana untuk menyelesaikannya dan pada masa yang sama mengutip beberapa koin untuk digunakan kelak sebagai ganjaran tambahan.

Saya akui terdapat beberapa cabaran peringkat yang agak sukar, terutamanya di mana saat ia memerlukan pemain untuk menumpaskan kesemua musuh ataupun menyusun atur ‘mainan’ untuk menghasilkan laluan untuk pemain bergerak. Namun, konsep ini juga membuatkan bentuk platformer menjadi lebih bebas dan menarik atas sebab pemain boleh melakukan sebarang pendekatan yang berbeza mengikut gaya pemain sendiri.

Tambahan itu, ia tidaklah terlalu menghukum pemain dan setelah pemain berjaya memahami penggunaan gaya lompat mahupun setiap fungsi mainan-mainan yang diletakkan, ia menjadi agak mudah. Meskipun begitu, untuk memberi cabaran lebih kepada pemain, permainan ini juga menyertakan satu had masa yang pemain perlu selesaikan sesuatu peringkat sebelum masa tersebut tamat.

Namun atas sebab ia tidak mempunyai sebarang kesan jika pemain tewas dan pemain boleh melakukan peringkat tersebut berulang kali tanpa sebarang penalti, ia menjadikan permainan ini agak mudah.

Satu Permainan Untuk Peminat Dan Terlalu “Kecil” Untuk Pemain Baharu

Apa yang saya boleh katakan selepas beberapa jam saya bermain Drawn To Life: Two Realms ini, semestinya ia adalah satu permainan Drawn To Life yang dibangunkan khas untuk peminat. Dengan bentuk penghasilan watak sendiri dengan pelbagai rekaan watak dan pelekat yang pemain boleh gunakan, ia semestinya mengembangkan lagi apa yang membuatkan siri ini menarik.

Meskipun begitu, untuk pemain baharu yang ingin mencari satu permainan tekaria yang berlainan dan unik, permainan ini semestinya bukanlah untuk anda. Ini kerana konsep platformer yang terdapat di dalam permainan ini boleh dikatakan agak ringkas, walaupun ia menyertakan beberapa perubahan dan gaya permainan yang bebas, namun atas sebab konsepnya yang masih lagi terlalu kecil, ia mungkin akan menyebabkan anda mudah bosan dengan apa yang disampaikan.

Akan tetapi, memandangkan saya sendiri hanya bermain beberapa jam sahaja untuk bahagian awal permainan ini, saya sendiri tidak boleh memberi kata putus sama ada permainan ini masih lagi berbaloi ataupun tidak. Oleh sebab itu, pastikan anda terus mengikuti kami di mana kami pasti akan memberi ulasan penuh dan bermain keseluruhan permainan ini setelah ia dilancarkan kelak pada bulan Disember ini.

Drawn To Life: Two Realms akan dilancarkan pada 8 Disember 2020 ini di PC dan konsol Switch dengan harga hanya RM29 manakala versi permua untuk iOS dan Android, ia akan dijual dengan harga RM19.90 sahaja.

Penafian: Kod percubaan Drawn To Life: Two Realms disediakan oleh 505 Games.

Sohor Kini