Skip to main content

Sebelum ini, kami ada melaporkan mengenai spesifikasi yang diperlukan seseorang untuk menggerakkan permainan terbaru CD Projekt Red, iaitu Cyberpunk 2077.

Terkini, syarikat tersebut telah mengemaskini senarai spesifikasi komponen PC untuk membolehkan pemain menggerakkan permainan tersebut dengan butiran lebih terperinci, termasuklah apa yang diperlukan untuk memainkan permainan ini menggunakan teknologi Ray-tracing.

Spesifikasi minima yang diperlukan untuk menggerakkan permainan ini dengan ciri Ray-tracing termasuklah menggunakan CPU Intel Core i7-4790 ataupun AMD Ryzen 3200G, memori DDR sebanyak 16GB dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2060 dengan VRAM sebanyak 6GB.

Dalam pada itu, jika anda ingin menggerakkan permainan ini pada resolusi 4K dengan Ray-tracing, spesifikasi PC yang diperlukan termasuklah CPU Intel Core i7-6700 ataupun AMD Ryzen 5 3600, bersama-sama memori sebanyak 16GB, dan juga kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3080.

Jika anda bertanya dimanakan sokongan untuk kad grafik AMD Radeon RX 6800 dan RX 6800XT yang baru dilancarkan, AMD mengatakan bahawa kedua-dua kad grafik tersebut tidak akan disertakan dalam sokongan untuk gaming dengan Ray-tracing pada hari pelancaran.

Walaupun begitu, CD Projekt Red mengatakan bahawa sokongan Ray-tracing untuk kad grafik terbaru keluaran AMD tersebut akan tiba melalui sebuah kemaskini di masa yang terdekat selepas Cyberpunk 2077 dilancarkan.

Cyberpunk 2077 dijangka akan dilancarkan pada 10 Disember kelak untuk platform PlayStation, Xbox dan juga PC. Apakah platform pilihan anda jika anda ingin memainkan permainan video ini?

Leave a Reply