Pada minggu lepas, Bloomberg telah melaporkan yang Wonder Woman 1984 akan ditawarkan kepada pelanggan HBO Max dua minggu selepas filem tersebut ditayangkan di pawagam. Namun, hari ini berdasarkan video acah baharu, HBO Max tampaknya akan menerima pada hari yang sama iaitu pada 25 Disember ini.

Ini boleh dikatakan buat pertama kali filem ditayangkan di pawagam dan distrim melalui platform penstriman pada hari yang sama. Selain itu, Warner Bros juga tidak mengikut cara Disney menawarkan Mulan sebelum ini di mana pelanggan Disney+ perlu membayar caj tambahan. Wonder Woman 1984 boleh ditonton oleh pelanggan HBO Max secara percuma.
HBO Max buat masa ini hanya ditawarkan di Amerika Syarikat, berkemungkinan besar ia tidak akan disertakan di perkhidmatan HBO lain seperti HBO Go yang digunakan di Malaysia.