Skip to main content

Seperti yang sering kami laporkan sebelum, Lemon Sky Studios iaitu studio pembangun tempatan sering terlibat dengan pelbagai pembangunan permainan sama ada oleh Sony ataupun penerbit besar lain seperti Square-Enix.

Menariknya, dengan pelancaran konsol generasi baharu bersama pelbagai permainan di konsol PlayStation 5, tiga daripada permainan utama buat konsol tersebut turut mempunyai penglibatan studio Lemon Sky Studios iaitu permainan Demon’s Souls, Marvel’s Spider-Man: Miles Morales dan Marvel’s Spider-Man: Remastered.

Seperti anda sedia maklum, salah satu daripada permainan di atas telah pun dilancarkan di pasaran Malaysia iaitu Marvel’s Spider-Man: Miles Morales dan dua lagi akan dilancarkan secara rasmi bersama dengan pelancaran konsol PlayStation 5 iaitu pada 11 Disember 2020 ini.

Meskipun begitu, ketiga-tiga permainan tersebut telah pun dilancarkan secara rasmi di pasaran luar negara di mana ia semestinya merupakan tiga permainan utama yang memberansangkan di konsol PlayStation 5.

Menurut Eng Tzy Ling, iaitu pengurus studio Lemon Sky Studios, beliau menyatakan emreka amat berbangga dapat bekerjasama bersama Insomniac Games untuk membawa permainan baharu mereka ke konsol generasi seterusnya, terutamanya Marvel’s Spider-Man: Remastered, sejak pelancaran versi asal di konsol PlayStation 4 pada 2018 lepas, yang mana mereka turut terlibat akan pembangunannya.

Cheng-Fei Wong iaitu pengasas Lemon Sky Studios juga menyatakan yang mana mereka juga amat berbesar hati atas kerjasama Sony Interactive Entertainment dan peluang untuk terlibat dengan pembangunan tiga permainan utama PlayStation 5 tersebut di samping mereka berasa ini merupakan satu saat besar untuk industri permainan video.

Kami di Aksiz juga mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya atas segala penglibatan studio Lemon Sky Studios. Dengan kejayaan ini, semestinya studio tersebut kelihatan akan terus maju dengan pelbagai penglibatan permainan video pada masa akan datang dan pasti akan mengharungi nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Leave a Reply