Industri permainan mudah alih kini menjadi antara satu industri yang paling menguntungkan, bahkan melebihi industri permainan-permainan konsol ataupun PC, namun sebelum ia menjadi satu industri gergasi, ia mempunyai satu permulaan yang biasa.
Saya boleh katakan yang, industri permainan mudah alih bermula apabila Apple melancarkan App Store dan Google melancarkan Android Marker (kini Play Store) pada tahun 2008. Walaupun, pengeluar telefon lain turut mempunyai gedung tersendiri, contohnya Nokia melalui Symbian termasuk juga platform N-Gage tetapi ia tidak digunakan secara meluas. Hadirnya, App Store dan Play Store telah membuka satu ekosistem baharu untuk pembangun-pembangun permainan mudah alih.
Sebelum hadirnya permainan seperti PUBG Mobile, Call of Duty Mobile, ataupun mana-mana permainan Gacha yang memenuhi pasaran permainan mudah alih sekarang, berikut adalah antara permainan terawal yang tiba dan saya rasakan hampir semua yang memiliki peranti pintar sekurang-kurangnya pernah mencubanya;
Angry Birds
Sebelum menjadi satu francais yang besar, termasuk juga mempunyai filem tersendiri, Angry Birds hadir pertama kali sebagai permainan untuk iOS dan Maemo (Nokia) pada tahun 2009.
Semasa awal pelancara, ia tidak menerima sambutan yang memberangsangkan mungkin kerana jumlah pemilik telefon pintar yang terhad dan juga sukar untuk menebus pasaran App Store. Namun, pada pertengahan 2010 ia menjadi aplikasi berbayar terlaris di App Store Amerika Syarikat untuk lebih 200 hari. Selepas itu, setiap peranti yang dipamerkan di kedai, sekurang-kurangnya mempunyai aplikasi Angry Birds terpasang.
Kini, Angry Birds adalah satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi, ia juga menjadi IP yang membawa Ravio Entertainement ke tahap yang lebih tinggi.
Words with Friends
Dilancarkan pada tahun 2009, Word with Friends mungkin adalah antara permainan terawal yang dimainkan secara mutli-pemain di telefon pintar. Ia dibangunkan oleh Newtoy, dan menjadi permainan paling popular oleh mereka.
Bentuk permainan adalah seperti Scrabble tetapi mempunyai beberapa peraturan tersendiri. Pemain boleh bermain melawan rakan, ataupun melawan pemain lain secara rawak.
Kejayaan permainan ini juga yang membuatkan Zynga mengambil alih Newtoy pada tahun 2010 dan menjadikan mereka sebagai Zynga with Friends. Mereka telah menghasilkan pelbagai permainan lain, akan tetapi Word with Friends sudah semestinya permainan yang bermakna bagi mereka dan juga untuk ramai pemain suatu ketika dahulu, mungkin juga sekarang.
Fruit Ninja
Fruit Ninja oleh Halfbrick adalah antara permainan utama yang saya mainkan apabila berada di dalam kelas di Universiti, berkongsi telefon untuk melihat siapa yang mendapat markah tertinggi. Ia dikeluarkan pada tahun 2010 untuk iOS sebelum turut tiba di platform lain. Hampir setahun dikeluarkan, ia telah mencatat 20 juta muat turun, satu jumlah yang tinggi untuk waktu itu.
Tarikh utama permainan ini sudah semestinya kerana ia sangat mudah untuk dimainkan. Semasa pengeluaran, telefon pinar dengan skrin sesentuh juga masih lagi sesuatu yang baharu, kelancaran permainan ini boleh dikatakan sebagai contoh terbaik untuk memperlihatkan teknologi skrin sesentuh.
Ia masih lagi ditawarkan dan masih lagi menjadi permainan yang dimainkan sehingga sekarang, Halfbrick juga telah melancarkan Fruit Ninja 2 baru-baru ini, yang turut menyertakan fungsi multi-pemain.
Cut the Rope
Cut the Rope boleh dikatakan membawa magis yang sama seperti permainan Angry Bird. Ia menawarkan bentuk permainan ringkas, tetapi mendalam dengan kepelbagaian tekaria berbeza. Ia dibangunkan oleh ZeptoLab dan dikeluarkan untuk iOS pada tahun 2010 sebelum turut tiba untuk platform lain.
Di dalam permainan ini, pemain, seperti judulnya, perlu memotong tali mengikut turutan tertentu untuk memberi makan gula-gula kepada satu makhluk bernama Om Nom.
Di App Store, ia mengambil 9 hari sahaja untuk mencapai jumlah jualan sebanyak 1 juta unit. Dikatakan antara yang permainan iOS terpantas mencapai jumlah tersebut. Cut the Rope masih lagi ditawarkan dan ia juga telah berkembang menjadi pelbagai permainan lain, termasuk juga kini dijadikan sebagai permainan percuma untuk dimainkan.
Infinity Blade
Infinity Blade boleh dikatakan satu permainan penting bukan sahaja untuk Apple tetapi juga untuk Epic Games. Ia merupakan permainan untuk iOS pertama yang menggunakan Unreal Engine, iaitu enjin permainan oleh Epic Games.
Bagi Apple, ia juga antara permainan terawal yang memperlihatkan kualiti grafik yang boleh diberikan oleh satu permainan mudah alih. Semasa pelancaran, Infinity Blade telah dibandingkan dengan kualiti grafik di konsol dan juga PC.
Ia menjadi permainan yang paling laris semasa pelancaran dan mencatat jumlah pendapatan lebih $23 juta selepas setahun dikeluarkan. Ia telah menerima permainan 2 lagi permainan susulan tetapi telah dibuang daripada App Store pada tahun 2018 kerana tidak lagi menyokong peranti baharu. Perhubungan Apple dan Epic Games juga kini bukanlah sebaik dahulu.
Selain permainan di atas, terdapat pelbagai lagi permainan popular yang boleh dikatakan akan terpasang di telefon pintar sesiapa sahaja pada waktu itu. Di dalam penulisan ini, saya juga memilih permainan yang dikeluarkan pada tahun 2009 dan 2010 sahaja. Oleh kerana itu, permainan ‘legenda’ lain seperti Temple Run ataupun Subway Surfer.
Kebanyakan permainan di atas juga dahulu dikeluarkan sebagai permainan berbayar dan masih lagi menerima sambutan, sesuatu yang sukar untuk berlaku sekarang kerana permainan percuma untuk dimuat turun dan menyertakan pembelian di dalam aplikasi telah menjadi pilihan pengguna.