Skip to main content

Minggu lepas kami berkongsi permainan BUTCHER dilancarkan secara rasmi di konsol PlayStation 4 di mana ia dilancarkan oleh SCRYSoft dan Crunching Koalas.

Terima kasih kepada penerbit, kami berpeluang untuk mencuba permainan tersebut dan saya boleh katakan ia adalah salah satu permainan yang sangat menarik saya pernah main tahun ini dan dengan tanda harganya murah, ia semestinya satu permainan yang patut anda tidak abaikan.

Jadi ini adalah ulasan kami untuk BUTCHER yang dimainkan di konsol PlayStation 4 Pro.

Permainan Penembak Kawalan Berkembar Yang Memuaskan

Premis permainan BUTCHER ini agak ringkas di mana anda akan ditempatkan di kawasan yang agak luas dengan pelbagai jenis senjata api dan tugas anda adalah untuk menghapuskan musuh yang menghalang anda untuk melengkapkan sesuatu peringkat permainan.

Secara jujurnya, saya sendiri tidak mengambil kisah terhadap bentuk naratif permainan ini atas sebab bentuk penembak permainan ini sangat memuaskan di mana ia mempunyai bentuk penembak yang dipanggil “Twin-Stick Shooter” ataupun penembak kawalan berkembar di mana pemain akan bergerak dengan analog kiri dan menyasar sasaran tembakan dengan analog kiri.

Untuk menembak, pemain perlu menekan butang R2 dan melompat dengan L2. Selain itu pemain juga boleh menukar kepada beberapa jenis senjata seperti senapang patah, meriam laser dan sebagainya yang akan pemain nyah-kunci setelah pemain maju di dalam permainan ini. Namun, permainan ini masih lagi mempunyai bilangan peluru yang terhad dan pemain perlu bijak mengurus dan jika peluru habis, pemain hanya akan dibekalkan dengan gergaji elektrik sahaja.

Secara asasnya, permainan ini memerlukan pemain untuk bergerak dari satu peringkat ke satu peringkat dengan menyelesaikan beberapa tekaria ringkas dan juga menumpaskan segala musuh yang ada. Konsep permainan ini semestinya agak ringkas, tetapi ia disampaikan dengan baik atas sebab bentuk permainannya yang sangat memuaskan.

Ini kerana setiap kali anda menumpaskan musuh ataupun ditumpaskan oleh musuh sendiri, ia berjaya menghasilkan satu pengalaman permainan yang sangat mencabar. Apabila saya sendiri tewas di dalam eprmainan ini, saya sendiri berasa kesalahan saya bermain, dan kembali untuk terus bermain dengan lebih baik. Ia seolah menjadi agak ketagihan atas sebab saya ingin terus menyelesaikan permainan ini dan mendapat pelbagai lagi senjata untuk menewaskan musuh-musuh.

Selain itu, dari segi musuh terdapat juga beberapa jenis musuh yang berlainan di mana sebahagian daripadanya juga mempunyai jumlah nyawa yang lebih tinggi dari musuh biasa, yang sekaligus membuatkan permainan ini menjadi lebih mencabar setelah pemain maju di dalamnya.

Saya juga menyukai rahsia-rahsia yang pemain boleh kutip untuk mengumpul barangan yang tersembunyi. Melaluinya rahsia yang terdapat di dalam permainan ini, pemain perlu bijak mencari jalan yang mana memberi pemain tujuan untuk pemain menerokai peta-peta kawasan permainan ini dengan mencari barangan tersembunyi dan sebagainya.

Visual Ganas Ibarat DOOM Dalam Bentuk Pixel

Seperkara lagi yang membuatkan permainan ini sangat menarik adalah semestinya visual pixel dengan bentuk dua dimensi yang sangat ganas. Ia bukan sahaja memaparkan bentuk visual dengan pelbagai darah dan anggota badan yang berterabur di tanah, malah kesan-kesan senjata seperti api dan lokasi permainan itu sendiri juga diperlihatkan dalam bentuk visual.

Ini bukan sahaja menghasilkan satu bentuk visual yang menarik, malah ia memberi sedikit kelainan untuk permainan ini dan semestinya atas sebab visual pixel yang tidak terlalu terperinci, segala keganasan seperti darah-darah dan mayat tidaklah dapat dilihat dengan jelas jadi ia tidaklah nampak begitu meloyakan.

Meskipun begitu, ia juga memberi kesan terhadap penglihatan permainan atas sebab jika pemain mula membunuh ramai musuh, terdapat juga saat di mana terdapat terlalu banyak kesan mayat dan darah yang membuatkan beberapa penglihatan pemain untuk mencari musuh agak sukar.

Namun sekurangnya jika di main di konsol, ia sedikit sebanyak menyertakan fungsi sasaran melekat yang membuatkan kawalan permainan menjadi agak mudah.

Sesuai Untuk Sesi Permainan Pantas Dengan Cabaran Yang Menguji Pemain

Seperti yang saya nyatakan di atas, BUTCHER semestinya salah satu permainan yang menarik saya main untuk tahun ini atas sebab bentuk permainannya yang pantas dan sangat ganas.

Dicampur juga dengan pelbagai pilihan senjata yang menarik dengan cabaran permainan yang sangat mencabar, dengan tanda harga yang sangat murah saya boleh katakan permainan ini semestinya salah satu permainan yang anda perlu cuba bermain, terutamanya buat anda yang menyukai permainan penembak dua dimensi seperti BroForce, ataupun permainan klasik Contra.

Akan tetapi, buat anda yang ingin mencari permainan yang mempunyai naratif yang panjang dan bentuk permainan berpuluh jam, permainan ini mungkin bukan untuk anda atas sebab ia hanyalah mempunyai beberapa peringkat sahaja yang terbahagi kepada 5 dunia utama.

Walaupun begitu, atas sebab tanda harganya yang agak murah dan bentuk permainan yang sangat memuaskan dengan cabaran yang pasti akan menguji pemain, saya boleh katakan BUTCHER semestinya satu permainan penembak yang sangat menarik dan saya sendiri syorkan untuk anda cuba, terutamanya bagi anda yang meminati siri permainan penembak seperti DOOM ataupun Contra.

Penafian: Kod ulasan BUTCHER disediakan olehSCRYSoft.

BUTCHER
Harga: RM44
Satu Permainan Penembak Yang Sangat Memuaskan Dan Ganas Ibarat DOOM bertemu Pixel Dua Dimensi
Positif
Bentuk Permainan Penembak Pantas Dan Memuaskan
Visual Pixel Ganas Yang Menawan
Pelbagai Pilihan Senjata Menarik
Negatif
Kandungan Permainan Yang Agak Pendek
Visual Agak Memeningkan Jika Terlalu Banyak Kesan Darah Dan Mayat
8

Leave a Reply

Final Score