September lepas, Microsoft mengumumkan yang mana mereka akan memperoleh studio pembangun permainan terkenal iaitu Bethesda Softworks melalui peroleh syarikat Zenimax.
Hari ini melalui sesi temu bual khas bersama Tim Stuart dari Xbox yang di transkrip oleh Seeking Alpha, Microsoft menyatakan yang mana mereka tidak merancang untuk menarik sebarang kandungan di platform Sony mahupun Nintendo. Mereka juga menyatakan mereka lebih berminat untuk Studio Bethesda menghasilkan permainan dalam jangka masa yang panjang untuk ia menjadi pertama ataupun lebih baik dimainkan di platform mereka.
Microsoft juga menyatakan ia bukan atas sebab untuk menjadi eksklusif dan mereka ingin juga memfokuskan langganan Game Pass di mana mereka inginkan pemain untuk terus melanggan Game Pass melalui permainan oleh Bethesda.
Sebelum ini, Microsoft juga menyatakan yang mana mereka akan teruskan sebarang perjanjian berkenaan permainan eksklusif bersama PlayStation untuk Deathloop dan Ghostwire: Tokyo.
Walaupun kenyataan ini bukan satu kepastian berkenaan hak eksklusif permainan Bethesda akan datang di bawah Microsoft, namun sekurang-kurangnya kita dapat melihat Microsoft kelak, akan memfokuskan langganan Xbox Game Pass sebagai salah satu aset utama mereka dengan tibanya konsol generasi baharu ini.
Sumber: VGC