Siri Kingdom Hearts boleh dikatakan satu siri yang disukai ramai bukan sahaja atas sebab kepelbagaian watak permainan daripada siri Square-Enix dan Disney, malah muzik-muziknya yang sangat menarik.
Dengan memfokuskan elemen muzik tersebut, Square-Enix kali ini membawa permainan rentak muzik berdasarkan keseluruhan sesi muzik-muzik permainan Kingdom Hearts tersebut iaitu Kingdom Hearts: Melody Of Memory di mana ia memfokuskan bentuk penceritaan imbas semula oleh watak di dalam permainan tersebut, iaitu Kairi.
Jadi ini adalah ulasan kami untuk Kingdom Hearts: Melody Of Memory di mana kami mengulaskannya di konsol PlayStation 4 Pro.
Penceritaan Imbas Kembali Yang Sesuai Untuk Peminat Baharu
Seperti yang saya katakan di atas, permainan ini memfokuskan penceritaan imbas kembali yang dikongsi oleh Kairi, iaitu watak daripada siri Kingdom Hearts.

Secara keseluruhan, penceritaan permainan ini menceritakan keseluruhan siri Kingdom Hearts bermula dari Kingdom Hearts pertama sehinggalah Kingdom Hearts 3. Penceritaan juga disampaikan dengan beberapa adegan permainan daripada permainan asal dengan suara latar Kairi menceritakan keseluruhan siri tersebut.
Meskipun begitu, ini tidak bermakna ia tidak langsung mempunyai penceritaan utama untuk dikongsikan, setelah pemain tamat beberapa peringkat hujung permainan, pemain masih lagi dihidangkan dengan beberapa adegan yang memfokuskan penceritaan selepas Kingdom Hearts 3. Akan tetapi, atas jumlah jam yang disertakan untuk mencapai bahagian tersebut, ia berasa sangat tidak berbaloi dan terlalu panjang.

Untuk memburukkan keadaan lagi, bahagian penceritaan tersebut juga akan memeningkan pemain termasuk saya sendiri atas sebab Square-Enix ataupun Tetsuya Nomura sekali lagi ingin mengembangkan lagi penceritaan yang terjadi di dalam penghujung Kingdom Hearts 3 dan tidak memberi sebarang konklusi kecuali lebih banyak persoalan.
Bentuk Permainan Rentak Muzik Yang Menarik Dan Terlalu Mencabar
Dari segi bentuk permainan, saya akui yang mana bentuk permainan Kingdom Hearts: Melody Of Memory ini agak menarik. Ia berjaya menghasilkan satu bentuk permainan rentak muzik yang unik berbanding permainan rentak muzik lain dengan beberapa elemen dan pertempuran seperti permainan asal Kingdom Hearts.

Secara asasnya, permainan ini mempunyai tiga bar utama yang pemain perlu tekan mengikut rentak di mana rentak biasa boleh ditekan menggunakan butang bulat, L1 ataupun R1. Pemain kemudian perlu menekan butang tersebut mengikut rentak bulat di skrin, apabila ia mengecil di dalam bar utama permainan tersebut.
Selain itu, permainan ini juga menyertakan beberapa rentak yang memerlukan pemain untuk menggunakan kemahiran seakan butang Reaksi di dalam permainan asal Kingdom Hearts dengan menekan butang tiga segi. Pemain juga boleh meluncur dengan tekan butang lompat dan juga mengelak serangan musuh dengan melakukan butang yang sama.
Setiap pergerakan yang dilakukan di atas semestinya akan mengikut rentak muzik sekaligus membuatkan sesi permainan menjadi agak seronok dan sangat mencabar. Untuk memudahkan pemain, permainan ini juga menyertakan beberapa tetapan barangan yang pemain boleh gunakan, termasuklah penukaran pilihan pasukan watak sama ada watak Sora bersama Donald dan Goofy, Roxas bersama Xion atau Axel dan juga pasukan daripada Birth By Sleep iaitu Aqua, Ventus dan Terra.
Dari segi kemajuan permainan, seperti kebanyakan permainan berperingkat yang lain, pemain akan bermain permainan ini dari mula hingga akhir dengan melengkapkan beberapa peringkat permainan, iaitu berdasarkan lagu yang tersedia. Melaluinya, setiap peringkat tersebut mempunyai sasaran cabarannya tersendiri di mana jika pemain berjaya melakukannya, pemain akan mendapat bintang untuk digunakan ke peringkat seterusnya.
Akan tetapi, untuk mengumpul bintang tersebut agak sukar atas sebab terdapat beberapa cabaran yang memerlukan pemain untuk bermain berulang-kali dan juga bermain tahap kesukaran “Proud Mode” yang mana pasti akan memenatkan pemain, termasuk saya sendiri atas sebab menekan butang dengan terlalu pantas dengan mengikut rentak muzik tersebut.

Konsep ini adalah seakan pelbagai lagi permainan berbentuk arked sebegini dan jika pemain melakukan beberapa cabaran yang tinggi dan mempunyai skor markah yang memecah rekod, pemain juga akan mendapat beberapa ganjaran seperti set-set latar belakang atau karya seni yang pemain boleh lihat di muzium.
Selain itu, permainan ini juga menyertakan mod pertarungan antara pemain sama ada bertembung dengan pemain secara atas-talian, bentuk koperasi ataupun bertembung dengan musuh komputer. Bentuk ini adalah satu tambahan yang bagus, tetapi dari segi kandungannya ia tidaklah membawa sebarang bentuk tambahan. Akan tetapi, dari segi gaya permainan, ia agak berbeza atas sebab pemain boleh sabotaj pemain lain dengan mendapatkan kombinasi rentak muzik yang tinggi.

Pelbagai Pilihan Muzik Dari Keseluruhan Siri Kingdom Hearts
Apa yang menarik berkenaan permainan ini semestinya adalah jumlah muzik yang tersedia dengan lebih 140 lagu, ia pasti akan memuaskan peminat siri Kingdom Hearts, terutamanya bagi anda yang sering mengikuti muzik siri tersebut sama ada melalui permainan-permainan sebelum ini ataupun dengan hanya mendengar di platform penstriman.

Dari muzik Kingdom Hearts Final Mix, sehinggalah Birth By Sleep, Kingdom Hearts 3 dan sebagainya kesemuanya terdapat di dalam permainan ini yang mana ia pasti akan mengisi masa lapang untuk bermain keseluruhan muzik-muzik tersebut.
Jika anda tidak ingin bermain muzik tersebut dan hanya ingin mendengar muzik, permainan ini juga menyertakan fungsi pemain muzik yang anda boleh pilih dan dengar muzik kesukaan anda. Namun, kebanyakan muzik akan dikunci setelah anda menyah-kuncinya jika anda maju di dalam permainan ini.

Hanya Satu Permainan Sampingan Tanpa Sebarang Naratif Penting
Jika anda seorang peminat tegar Kingdom Hearts, saya sudah pasti anda sudah pun memiliki permainan ini dan bermain dengan melengkapkan setiap peringkat yang sedia ada. Namun untuk anda yang lain, permainan ini boleh dikatakan satu permainan yang agak mengecewakan.
Walaupun saya akui bentuk permainan Kingdom Hearts: Melody Of Memory ini agak menarik dari segi bentuk rentak muzik berbandingkan permainan-permainan muzik lain yang saya pernah main sebelum ini dicampur juga dengan pelbagai pilihan muzik daripada siri Kingdom Hearts dan bentuk multi-pemain yang agak mencabar, permainan ini semestinya satu permainan rentak muzik yang baik.
Akan tetapi, atas sebab tanda harganya tinggi bersama bentuk permainan yang terlalu mengharapkan jumlah bintang dikumpul, ia sekaligus membuatkan permainan ini agak memenatkan untuk dimainkan. Dicampur juga penghujung permainan yang masih lagi belum terjawab untuk keseluruhan siri Kingdom Hearts, ia sekaligus membuatkan permainan ini berasa agak mengecewakan.
Penafian: Kod ulasan Kingdom Hearts: Melody Of Memory disediakan oleh Square-Enix.