Beberapa bulan lalu, kami pernah melaporkan bahawa filem terbaru keluaran Studio Ghibli, iaitu Aya and The Witch, sebuah adaptasi filem animasi daripada novel Earwig and The Witch.

Sebelum ini kami telah mengatakan bahawa filem animasi ini akan menjadi filem 3DCG pertama keluaran Studio Ghibli. Butiran tambahan mengenai filem tersebut telah tiba, dimana Hayao Miyazaki dan anaknya, Goro Miyazaki akan berganding bahu untuk membangunkan filem ini.

Studio Ghibli juga mengesahkan bahawa watak, jalan cerita dan lokasi cerita ini tidak akan diubah langsung daripada novel asal, yang ditulis oleh Diana Wynne Jones, penulis sama yang juga menulis novel Howl’s Moving Castle yang juga diadaptasi oleh Studio Ghibli pada tahun 2004.

Pelakon suara yang akan memainkan watak-watak utama filem ini juga telahpun diperkenalkan. Aya akan disuarakan oleh pelakon muda Aya Hirasawa, Bella Yaga akan disuarakan oleh Shinobu Terajima, Mandrake akan disuarakan oleh Etsushi Toyokawa, manakala kucing peliharaan Aya, Thomas akan disuarakan oleh Gaku Hamada.

Menariknya, Aya Hirasawa, Shinobu Terajima dan Etsushi Toyokawa semuanya adalah pelakon filem dan pentas, dan ini merupakan kali pertama mereka akan memberi suara kepada watak-watak animasi.

Filem ini akan ditayangkan di rangkaian televisyen Jepun NHK pada 30 Disember kelak pada jam 7.30pm waktu Jepun. Untuk rakyat tempatan yang mempunyai langganan Astro, anda boleh menontonnya di rangkaian yang sama, cuma ia tidak akan tiba dengan sebarang sarikata.

Sohor Kini