PUBG Corporation telah mengumumkan yang PUBG Mobile akan kembali ke pasaran India melalui PUBG Mobile India iaitu aplikasi khusus yang dibangunkan untuk pasaran tersebut. Pada September lepas, PUBG Mobile adalah antara aplikasi yang diharamkan di India.

Melalui versi ini, sesi pertempuran PUBG Mobile akan berlangsung di ‘dunia maya’ berbanding kelihatan seperti dunia nyata di dalam permainan biasa. Ia juga akan menyertakan fungsi untuk menghadkan masa bermain yang menurut kenyataan oleh penganalisa Daniel Ahmad, ia adalah versi yang sama dengan PUBG Mobile di China iaitu Game for Peace.

Selain itu, PUBG Corp juga mengatakan yang mereka akan memastikan data pemain akan diselia dengan lebih baik, kemungkinan berkait dengan pengumuman mereka bekerjasama dengan Microsoft Azure. Sebagai memperlihatkan sokongan untuk pasaran tempatan, PUBG Corp akan menubuhkan cawangan mereka di India dan akan melakukan pelaburan sebanyak $100 juta untuk industri permainan video serta esukan tempatan.

Buat masa ini tidak disahkan lagi bila ia akan kembali ke pasaran tersebut. PUBG Mobile sudah dilancarkan untuk iOS dan Android.

Sohor Kini