Berikutan laporan kami pada minggu lalu dimana Sony telah memperlihatkan tiga video tentang cara-cara untuk memaksimakan penggunaan konsol PlayStation 5 mereka, Sony kini telah memperlihatkan sebuah laman FAQ (soalan yang sering ditanya) pada hari ini.
Laman web tersebut memperlihatkan sejumlah besar soalan yang sering ditanya orang ramai mengenai konsol mereka, seperti soalan teknikal, ketersediaan konsol, aksesori yang tiba bersama-sama setiap pembelian dan sebagainya.
Berita baik ialah konsol PlayStation 5 tidak akan dikunci bergantung kepada kawasan sokongan (region-lock), jadi pemain yang memain permainan daripada kawasan sokongan yang lain boleh melakukannya tanpa masalah.
Walaupun konsol ini mampu menyokong resolusi sehingga 8K 60FPS, nampaknya mereka yang menggunakan paparan skrin dengan resolusi 1440p tidak akan disokong pada konsol ini.
Paling menarik sekali ialah diantara jawapan pertama yang diperlihatkan ialah mengenai tarikh pelancaran konsol tersebut. Seperti yang diketahui, pasaran-pasaran seperti Amerika Syarikat, Jepun, Taiwan, Hong Kong, Singapura, Australia dan New Zealand akan menerima konsol tersebut pada 12 November kelak.
Apa yang menariknya ialah mengenai tarikh pelancaran untuk negara-negara lain yang sepatutnya tiba pada 19 November. Melalui FAQ ini, ia dapat dilihat kini bahawa hanya negara-negara United Kingdom dan Eropah yang akan menerima konsol-konsol ini.
Walaupun begitu, pihak PlayStation Asia akan tiba dengan acara PlayStation 5 Celebration pada hari Khamis ini, dimana kami berharap mereka akan mengumumkan tarikh pelancaran konsol tersebut untuk pasaran Asia Tenggara yang lain.
Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai konsol Sony PlayStation 5 ini, anda boleh ke laman web tersebut melalui pautan ini.