Minggu ini, permainan olahan semula Demon’s Souls akan dilancarkan di konsol PlayStation 5 minggu ini.

Bersempena dengan itu, hujung minggu lepas Sony Interactive Entertainment mengadakan acara State Of Play khas yang memperlihatkan bentuk permainan Demon’s Souls dengan lebih lanjut.

Melalui video tersebut, Gavin Moore iaitu pengarah kreatif permainan tersebut berkongsi beberapa perincian permainan tersebut di mana salah satu perkara yang dinyatakan oleh beliau adalah kecerdasan buatan musuh permainan ini tidak diubah dan dikekalkan berdasarkan permainan asal Demon’s Souls yang dilancarkan di PlayStation 3 pada 2009 lepas.

Menariknya, mereka juga menyatakan terdapat beberapa animasi baharu yang dihasilkan termasuklah fungsi reka watak yang lebih terperinci. Dari segi prestasi, di konsol PlayStation 5, mereka menyatakan terdapat dua tetapan visual yang pemain boleh tetapkan sama ada dari segi bentuk “Fidelity” untuk visual yang lebih menawan dengan kadar bingkai sesaat 30FPS ataupun bentuk “Performance” dengan sokongan 60FPS.

Demon’s Souls merupakan permainan aksi pengembaraan yang dilancarkan beberapa tahun lepas di konsol PlayStation 3. Ia merupakan salah satu permainan genre “Souls” awal oleh From Software dan kini ia akan kembali sebagai permainan olahan semula oleh Bluepoint Games khas di konsol PlayStation 5 pada 12 November 2020 ini. Permainan ini sudah boleh dipra-tempah dengan harga bermula RM299 melalui PlayStation Store.

Sohor Kini