Skip to main content

Konsol Sony PlayStation 5 akan dilancarkan di beberapa negara terpilih pada 12 November tidak lama lagi, dan seminggu kemudian untuk negara-negara lain.

Terkini, Sony telah mengeluarkan beberapa video ringkas tentang bagaimana untuk menyediakan konsol PlayStation 5 anda dengan lebih mudah jika anda sudahpun memiliki konsol PlayStation 4 dan juga akaun PlayStation Network sebelum ini.

Pertama ialah tutorial mengenai penggunaan PlayStation ID anda. Jika anda memilikinya, dan telah membeli kandungan menggunakan PlayStation 4, anda boleh melog masuk terus menggunakan akaun anda ke PlayStation 5.

Anda akan diberi pilihan untuk melog masuk secara manual, ataupun melalui kod QR yang boleh diimbas melalui aplikasi PlayStation. Apabila anda telah melog masuk, akaun tersebut, termasuklah kandungan-kandungan seperti permainan yang disokong, langganan PlayStation Plus semuanya akan boleh diakses begitu sahaja.

Apa yang lebih menarik lagi, pengguna juga akan boleh menukar Online ID mereka jika diingini, tetapi menurut video tersebut, pengguna boleh dikenakan caj pertukaran nama.

Video kedua pula ialah cara-cara untuk anda mengubah tetapan konsol dan juga aksesori-aksesori yang mendampinginya. Apa yang menarik disini ialah anda boleh mengubahsuai tetapan maklum-balas haptik pada pengawal permainan DualSense terbaru mereka, dan juga tetapan kuasa pada konsol pada mod tidur.

Sony telah mengesahkan bahawa PlayStation 5 akan menyokong sejumlah besar permainan-permainan PlayStation 4, dan untuk membantu mereka yang baru membeli konsol ini, mereka juga memperlihatkan sebuah video tutorial tentang bagaimana untuk mengalihkan kandungan daripada PlayStation 4 mereka ke PlayStation 5.

Jika anda menggunakan sambungan WiFi untuk menghantar data, proses ini akan memakan sedikit masa. Menurut mereka, data juga boleh dialihkan lebih pantas jika sebuah kabel Ethernet digunakan untuk menyambungkan kedua-dua konsol ini secara fizikal.

Syarat awalnya ialah kedua-dua konsol PlayStation ini haruslah dikemaskini dengan perisian terbaru, dan menggunakan akaun PlayStation ID yang sama.

Apabila siap, konsol PlayStation 5 anda akan hadir dengan fail-fail yang sama seperti didalam PlayStation 4 anda tanpa sebarang masalah. Bagi mereka yang lebih gemar menggunakan cakera Blu-ray untuk permainan mereka, anda hanya perlu memasukkan cakera tersebut kedalam slot BD PlayStation 5, dan ia boleh dimainkan tanpa masalah.

Buat masa ini, ia masih tidak diketahui lagi bilakah konsol PlayStation 5 ini akan tiba di pasaran tempatan, tetapi untuk mereka yang telahpun tekad untuk mengimpot konsol ini, mungkin video-video bermanfaat untuk anda.

Leave a Reply