Pengumuman Marvel’s Spider-man: Miles Morales boleh dikatakan satu perkara yang mengejutkan, walaupun ramai sudah menjangkakan Marvel’s Spider-Man yang dikeluarkan pada 2 tahun lepas akan menerima permainan susulan, terutama selepas Insomniac Games menjadi sebahagian daripada PlayStation Studios akan tetapi tidak seawal ini.
Namun, apabila diumumkan ia bukanlah satu permainan penuh, sebaliknya adalah penambahan kepada permainan ini dan juga menjadi permainan untuk memperkenalkan lebih lanjut mengenai Miles Morales barulah ia lebih masuk akal.
Ini merupakan ulasan saya untuk Marvel’s Spider-Man: Miles Morales yang akan dikeluarkan pada 12 November ini bersama dengan PlayStation 5 tetapi untuk ulasan ini saya bermain di PlayStation 4 Pro. Sebelum itu, saya rasa penting untuk berbincang mengenai mengapa Miles Morales ini dikeluarkan;
Mengapa Marvel’s Spider-Man: Miles Morales Dikeluarkan?
Bagi memastikan jangkaan anda untuk permainan ini tidak terlalu tinggi ataupun terlalu renda, saya rasa penting untuk kita berbincang serba sedikit mengapa ia dikeluarkan. Pada pendapat saya, Marvel’s Spider-Man: Miles Morales dikeluarkan atas dua sebab pertama untuk menjadi permainan bagi pelancaran konsol PS5 dan kedua untuk menyediakan Miles Morales sebelum watak beliau dikembangkan lagi di permainan akan datang.
Oleh itu, pemain tidak boleh mengharapkan satu permainan penuh seakan Marvel’s Spider-Man, sebaliknya ia lebih dekat jika dibandingkan dengan penambahan The City Never Sleeps, tetapi Miles Morales mempunyai lebih banyak penambahan, terutama tidak lagi menggunakan watak Peter Parker. Jadi adakah dua sebab tersebut berjaya? Saya tidak dapat menyatakan pendapat untuk sebab pertama kerana PS5 masih tidak diperoleh, tetapi untuk sebab kedua saya boleh katakan mereka melakukan satu kerja yang baik.
Miles Morales, Spider-man baharu di New York
Jika anda bermain permainan pertama, anda sudah semestinya mengetahui bagaimana Miles Morales menjadi Spider-man, jika tidak saya mencadangkan anda bermain terlebih dahulu Marvel’s Spider-man tetapi permainan ini juga menyertakan ringkasan penceritaan Miles Morales daripada permainan tersebut, oleh kerana ia memfokuskan Miles Morales sahaja ia tidak akan membeberkan mengenai penceritaan keseluruhan.
Selepas mendapat bantuan daripada Peter Parker untuk belajar menjadi Spider-man, Peter Parker terpaksa ke luar negara meninggalkan Miles Morales sebagai satu-satunya Spider-man di New York. Walaupun warga New York sudah mengenali beliau tetapi tidak menjadi sebutan seperti Peter Parker. Di dalam permainan ini, itu lah antara fokus penceritaan iaitu Miles Morales cuba mendapat tempat sebagai adiwira di bandar tersebut.
Selain itu, meneruskan tema daripada permainan pertama ia juga menyentuh mengenai kekeluargaan, persahabatan dan sudah semestinya sebagai satu permainan adiwira, niat jahat oleh sesetengah pihak. Saya boleh katakan yang, mereka memilih jalan yang selamat untuk penceritaan. Saya pasti jika anda bermain-nya anda akan mengatakan “oh macam filem ni”, “oh macam permainan ni”, “oh macam komik ni”, dengan kata lain ia tidak membawa sesuatu baharu.
Oleh kerana itu, segala selok belok penceritaan akan mudah dijangka oleh pemain. Namun, saya tidak merasakan ia satu masalah, bahkan permainan ini juga bagaikan menyedari mengenai perkara tersebut, dan tidak cuba untuk menjadikan sesuatu perkara sebagai misteri. Sebaliknya yang lebih penting adalah penyampaian bagi penceritaan tersebut dan ia dilakukan dengan baik dan seperti permainan pertama saya sangat menyukainya. Ia memberi segala impak emosi kepada saya, dan setiap watak saya dapat mempunyai perhubungan.
Bercakap mengenai watak, setiap watak yang hadir memainkan peranan mereka dengan baik, dan selain Peter Parker, kebanyakan watak bersama Miles Morales adalah watak baharu dan setiap daripada mereka membawa personaliti tersendiri. Menambahkan lagi watak-watak menarik bagi siri permainan ini. Sedikit mengecewakan adalah kebanyakan plot berkait dengan ‘kebetulan’ yang bagi saya bukanlah penulisan malas, namun masih lagi penulisan yang mudah.
Saya juga mengharapkan ada lebih banyak masa ditumpukan kepada perkembangan Miles Morales, akan tetapi oleh kerana pelbagai perkara yang berlaku di dalam permainan ini serta penceritaan yang pendek, sedikit ruang sahaja yang diberikan namun ia masih lagi efektif, dan membantu untuk mengangkat watak beliau sebagai persediaan untuk permainan seterusnya.
Miles Morales, Spider-man yang lebih bergaya
Miles Morales adalah Spider-man yang baharu, akan tetapi beliau mempunyai kuasa yang tidak semestinya lebih berkuasa tetapi sudah semestinya lebih bergaya. Jika anda menonton beberapa video acah untuk permainan ini, Miles Morales mempunyai kuasa bio-eletrik yang dipanggil sebagai Venom.
Jika Peter Parker mempunyai “Focus Meter” untuk melakukan kebolehan termasuk juga finisher dan menyembuh, Miles Morales pula mempunyai “Venom Meter” yang boleh digunakan untuk melakukan serangan Venom dan menyembuh, tetapi finisher kini adalah berdasarkan kombo dan tidak lagi menggunakan meter tersebut.
Terdapat 5 pergerakan Venom yang akan menggunakan Venom Meter iaitu Venom Punch satu tumbukan yang kuat yang boleh menghancurkan perisai ia juga akan stunt penjahat, seterusnya adalah Venom Smash, yang akan melakukan AoE damage, Venom Jump untuk melompat lebih tinggi, Venom Dash untuk menyerang dengan pergerakan pantas. Kesemua serangan ini juga akan menjangkitkan penjahat dengan venom, yang menjadikan penjahat tersebut mengambil damage yang lebih tinggi.
Kebolehan-kebolehan ini juga boleh dipertingkatkan lagi menggunakan skill point. Selebihnya, bentuk pertempuran masih lagi sama dengan permainan sebelum ini. Anda akan bertempur dengan ramai penjahat, dan fokus utama adalah untuk mengawal crowd. Kuasa Venom, sangat memfokuskan kepada kawalan crowd, ini menjadikan pertempuran sedikit lebih mudah berbanding permainan sebelum ini untuk tahap kesukaran biasa, namun ia masih mencabar dan menyeronokkan terutama kerana penjahat mempunyai pelbagai senjata berlainan.
Stealth juga sekali lagi menjadi fokus, ini ditambah lagi dengan Miles Morales mempunyai kebolehan untuk menjadi halimunan, ia menjadikan stealth lebih mudah, walaupun kemudian penjahat akan mempunyai cara untuk menjejak tetapi tidak cukup untuk menghalang daripada ia kebolehan yang terlalu berkuasa.
Selain itu, pergerakan asas seperti mengelak serta bertempur juga diberikan sentuhan berbeza yang menjadikan Miles Morales terasa berlainan dengan Peter Parker. Saya boleh katakan pergerakan Miles lebih bergaya.
Manakala penggunaan gajet pula lebih terhad kerana ia mempunyai 4 gajet sahaja iaitu web-shooter, holo-dron (mengeluarkan hologram robot untuk membantu anda bertempur), Bom Elektrik dan Bom Graviti, mungkin kerana Miles Morales adalah Spider-man baharu, dan juga kebolehan Venom sudah cukup berkuasa tanpa sangat memerlukan bantuan gajet.
Dunia Terbuka Masih Tidak Menarik
Marvel’s Spider-Man: Miles Morales masih lagi mengekalkan bentuk dunia terbuka daripada permainan pertama, tetapi dengan menyertakan beberapa aktiviti yang berlainan. Selain itu, ia juga menjadi lebih ringkas,jika sebelum ini pemain akan diberikan pelbagai token berbeza untuk digunakan bagi meningkatkan tahap gajet dan juga mendapatkan kostum, di dalam Miles Morales terdapat satu sahaja token iaitu Activity Token, tidak kira aktiviti apa yang dilakukan.
Ia adalah perubahan yang baik, terutama kerana saya masih tidak menyukai aktiviti yang mengisi dunia terbuka, menggunakan satu sahaja token sekurang-kurangnya tidak memaksa saya untuk melakukan aktiviti yang tidak digemari. Selain misi sampingan, serta aktiviti jenayah, terdapat juga aktiviti mengumpul collectible seperti mencari ‘time capsule’, mencari ‘bunyi’, kembali juga adalah menyerang kubu lawan.
Melakukan kesemua aktiviti ini akan membuka misi sampingan tambahan dan sesetengah daripadanya juga akan menyah-kunci kostum. Satu-satunya perkara yang membuatkan saya ingin melakukan aktiviti-aktiviti ini adalah kerana sistem pertempuran yang menarik, aktiviti ini akan memberikan alasan untuk melakukannya.
Oleh kerana misi utama penceritaan pendek sahaja, di mana ia akan mengambil lebih kurang 8 jam untuk dihabiskan, anda perlu melakukan kesemua aktiviti ini jika ingin menambah lagi jumlah masa sesi permainan yang saya boleh anggarkan memerlukan 2-3 jam untuk melakukan segalanya.
Sama ada anda perlu melakukan aktiviti ini untuk mempertingkatkan tahap? Bagi saya sendiri, saya sekadar melakukan beberapa sahaja aktiviti dan ia sudah cukup untuk meningkatkan tahap hampir kesemua gajet, dan mendapatkan satu-dua kostum tambahan.
Grafik Masih Memukau Walaupun Bukan Generasi Baharu
Seperti saya katakan di atas, permainan ini adalah permainan terawal yang akan memperlihatkan kebolehan PlayStation 5, akan tetapi dengan masih tidak menentu bila kita akan menerima konsol tersebut, mungkin ramai pemain yang ingin terus bermain permainan di konsol generasi sekarang sahaja.
Saya bermain di konsol PlayStation 4 Pro, di mana ia akan menyertakan resolusi 4K dengan kadar kelancaran 30FPS. Ia tidak membawa perbezaan yang ketara dengan permainan pertama, tetapi ia bukan satu kekurangan kerana grafik yang dibawa adalah memukau. Bandar New York direka dengan baik, membuatkan sesi berayun adalah perkara yang mengasyikkan.
Perkara yang paling saya kagum adalah kostum mempunyai kualiti yang sangat baik. Contohnya kostum Miles Morales yang mempunyai bahagian yang bersinar diperlihatkan dengan baik, bagaikan menggunakan teknologi ray-tracing, anda boleh lihat pantulan bangunan di kostum tersebut.
Ekspresi muka juga nampak lebih berkualiti jika ingin dibandingkan dengan permainan pertama, mungkin ini adalah sebab mereka melakukan perubahan wajah untuk watak Peter Parker.
Saya juga suka dengan rekaan kuasa Miles Morales yang mengalirkan elektrik ia memberikan satu kesan yang sangat cantik. Ditambah lagi dengan kumpulan penjahat yang menggunakan neon berwarna ungu memeriahkan lagi permainan ini. Semua ini disertakan tanpa memberikan masalah kepada kelancaran.
Semua ini sudah semestinya membuatkan saya tidak sabar untuk mencubanya di PS5 kelak, jika ia sudah nampak sangat baik di PS4 Pro, apatah lagi di PS5 bukan?
Jadi, adakah ia permainan yang wajib beli?
Walaupun secara keseluruhannya saya sangat menyukai permainan ini, tetapi saya merasakan kandungan serta nilai yang diberikan masih lagi tidak memberi justifikasi untuk harga RM209 bagi edisi biasa. Ini ditambah lagi, Marvel’s Spider-man dahulu dilancarkan dengan harga RM199 sahaja. Harga tersebut dipilih mungkin kerana pemain akan mendapatkan versi PS5 secara percuma.
Saya juga merasakan yang membeli Ultimate Edition dengan harga RM299 lebih berbaloi kerana anda juga akan turut mendapatkan versi Remastered bagi permainan asal. Itu-pun jika anda sudah memiliki konsol PS5. Namun, jika anda memilih untuk membelinya, saya yakin anda akan mempunyai masa yang baik, bermain Marvel’s Spider-Man: Miles Morales ini.
Penafian: Kod ulasan untuk Marvel’s Spider-man: Miles Morales disediakan oleh SIES