Kamen Rider atau Masked Rider untuk pasaran global, boleh dikatakan satu siri adiwira bertopeng yang sangat terkenal di Malaysia sendiri sejak beberapa tahun lepas.

Sejak siri tersebut diperkenalkan di kaca televisyen lebih dari hampir 50 tahun lepas, ia juga menerima pelbagai siri permainan video daripada pelbagai siri Kamen Rider dan terkini, bersempena dengan siri Kamen Rider Zero-One yang baru sahaja tamat baru-baru ini, Bandai Namco melancarkan permainan Kamen Rider: Memory Of Heroez di konsol PlayStation 4 dan Switch.

Jadi ini adalah ulasan kami di konsol PlayStation 4 Pro untuk permainan Kamen Rider: Memory Of Heroez.

Gaya Penyampaian Penceritaan Yang Hambar

Kamen Rider: Memory Of Heroez memfokuskan penceritaan asli baharu antara tiga siri Kamen Rider utama iaiatu Kamen Rider W, Kamen Rider OO dan Kamen Rider Zero-One. Penceritaan permainan ini disampaikan dengan permulaan Kamen Rider W, iaitu Shotaro Hidari dan Phillip menyiasat berkenaan watak Profesor Aida di bandaraya Sector City.

Dukacitanya, penceritaan permainan ini boleh dikatakan agal mengecewakan atas sebab ia terlalu bergantung terhadap dialog sembang antara watak dan membuatkan penyampaiannya berasa sangat hambar dan membosankan. Walaupun permainan ini menyertakan beberapa adegan permainan, akan tetapi atas sebab ia terlalu mengharapkan dialog sembang antara watak, ia sekaligus membuatkan penceritaan permainan ini terlalu lama dan mudah untuk dilupakan.

Dicampur juga dengan beberapa elemen plot yang agak boleh diramal, ia sekaligus menghasilkan elemen naratif yang tidak langsung unik ataupun berlainan untuk sebarang siri Kamen Rider.

Akan tetapi, sebagai peminat Kamen Rider, saya menghargai aspek penceritaannya tersendiri dan pada masa yang sama menyatukan tiga Kamen Rider utama di dalam satu naratif yang berkaitan.

Bentuk Permainan Yang Terlalu Berulangan

Antara masalah besar permainan Kamen Rider: Memory Of Heroez adalah bentuk permainannya yang terlalu berulangan.

Secara asasnya, Kamen Rider: Memory Of Heroez adalah bentuk permainan aksi pengembaraan yang mana pemain akan bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi dengan bertembung dengan musuh-musuh dan melengkapkan beberapa objektif.

Konsep permainan ini menjadi ia seakan sama dengan siri Devil May Cry atas sebab ia menyertakan bentuk penilaian setiap kali pemain tamat bertempur dengan musuh. Akan tetapi, atas sebab pengembaraan permainan ini terlalu mengharapkan pemain untuk tumpaskan musuh untuk menggerakkan penceritaan, ia sekaligus membuat permainan ini terlalu berulangan.

Dari segi kawalan pertempuran, selain daripada serangan lemah dan serangan kuat, pemain juga mempunyai beberapa kemahiran yang epmain boleh lakukan, berdasarkan jumlah RP iaitu seakan stamina, di mana ia akan digunakan setiap kali pemain melakukan kemahiran yang lebih berkuasa. Kuasa paling berkuasa ataupun “Ultimate” juga turut ada di dalam permainan ini, yang menggunakan bar EX.

Selain dari pertempuran musuh biasa, pemain juga akan tempuhi beberapa ketua musuh dan serangan-serangan mereka juga boleh dielak, akan tetapi ia tidaklah memberi sebarang kesan atau bentuk yang terlalu berbeza dengan bentuk pertempuran lain.

Pemain juga boleh menaik-taraf watak dengan beberapa tetapan untuk tingkatkan kuasa watak. Namun, secara amnya ia tidaklah membawa sebarang perubahan besar dan memandangkan permainan ini agak mudah untuk dimainkan, ia menjadi penaik-tarafan tersebut hanyalah membantu jika pemain ingin bermain sambil lewa.

Selain itu, setiap Kamen Rider juga mempunyai fungsi untuk menukar ke beberapa jenis bentuk mengikut siri mereka. Seperti contoh gabungan Gaia Memory untuk Kamen Rider W seperti Joker+Cyclone, Luna+Metal dan sebagainya, kesemuanya ada di dalam permainan ini.

Konsep ini agak menarik terutamanya buat mereka yang meminati ketiga-tiga siri Kamen Rider W, OOO ataupun Zero-One memandangkan pemain berupaya untuk melakukan pelbagai gerak aksi adiwira tersebut. Namun, setelah berulang kali melakukan perkara yang sama, ia berasa agak membosankan setelah pemain maju ke akhir permainan ini.

Terdapat juga beberapa bentuk kawalan ataupun pertarungan yang berbeza seperti menggunakan kenderaan dan sebagainya. Namun, bentuk tersebut hanyalah tiba untuk beberapa bahagian permainan sahaja.

Selain itu, aspek pengembaraan permainan ini juga menyertakan beberapa tekaria seperti mencari barangan tersembunyi dengan Denden Sensor ataupun menyelesaikan tekaria bilik berkunci dengan memilih kata kunci yang betul. Bentuk ini pada pendapat saya agak menarik untuk disertakan, tetapi jika dilakukan terlalu berulang kali, ia menjadikan permainan ini rasa terlalu kosong tanpa kepelbagaian kandungan permainan.

Visual Grafik Yang Agak Kuno

Seperkara lagi yang membuatkan permainan ini agak mengecewakan adalah visual grafiknya yang agak kuno. Bukan sahaja dunia permainan berasa kosong, malah segala kesan efek visual permainan yang terlalu ringkas dengan tekstur yang berulangan, membuatkan permainan ini berasa seakan satu permainan generasi lepas.

Adegan permainan ini juga menjadi agak hambar apabila watak-watak utama yang berada dalam keadaan bentuk manusia sebelum menukar menjadi Kamen Rider, dihitamkan muka dan tidak mempunyai sebarang pergerakkan bibir ataupun animasi percakapan, lagi membuatkan permainan ini berasa seakan satu permainan yang mempunyai bajet rendah.

Seperkara yang agak menjengkelkan juga adalah rekaan paparan antara mukanya yang agak pening, terutamanya di bahagian penaik-tarafan watak. Saya dapati saya selalu mempunyai masalah untuk mencari naik-taraf yang saya sudah lakukan untuk setiap watak atas sebab mesej yang disampaikan agak kurang jelas.

Satu Permainan Untuk Peminat Kamen Rider

Apa yang saya boleh katakan, Kamen Rider: Memory Of Heroez ini semestinya satu permainan Kamen Rider untuk peminat. Ia menyertakan beberapa Kamen Rider daripada tiga siri utama W, OOO dan Zero-One di mana ia pasti akan memuaskan hati peminat.

Akan tetapi, atas sebab bentuk permainan yang berulangan dicampur dengan penyampaian penceritaan yang agak hambar walaupun mempunyai penceritaan asli, permainan ini berasa satu permainan yang mempunyai bajet yang rendah tetapi dijual dengan harga yang tinggi.

Oleh sebab itu, bagi anda yang meminati siri Kamen Rider, saya syorkan anda dapatkan permainan ini dengan harga diskaun, yang mana saya rasa ia lebih berbaloi dengan harga permainan yang lebih murah jika anda ingin mencari satu permainan aksi Kamen Rider terkini.

Penafian: Kod ulasan Kamen Rider: Memory Of Heroez disediakan oleh Bandai Namco.

Kamen Rider: Memory Of Heroez
Harga: RM209
Permainan Kamen Rider Untuk Peminat, Tetapi Bentuk Permainan Berulangan Dan Penyampaian Penceritaan Yang Hambar.
Positif
Pelbagai Pilihan Kamen Rider
Penceritaan Asli
Negatif
Bentuk Permainan Berulangan
Penyampaian Penceritaan Yang Hambar
6

Sohor Kini