Kemaskini: Sony sudah mengumumkan secara rasmi tarikh pelancaran konsol PlayStation 5, iaitu ia akan tiba pada 11 Disember 2020 ini. Laporan penuh di sini.

Artikel asal: Apabila PlayStation 4 dilancarkan di Malaysia pada penghujung tahun 2013, saya masih mengingati bahawa beberapa bulan sebelum pelancaran konsol tersebut, PlayStation Asia rancak mempromosikan konsol tersebut untuk pelbagai negara di rantau ini, termasuklah Malaysia.

Pelancarannya juga cukup memberangsangkan, dengan ia menjual beribu-ribu konsol dalam masa yang sangat singkat. Sebagai seorang yang bekerja di dalam industri media, Sony boleh dikatakan jenama-jenama yang cukup peka sekali dengan permintaan peminat-peminat mereka, khususnya untuk jenama PlayStation.

Selang tujuh tahun kemudian, konsol PlayStation 5 bakal dilancarkan pada 12 November 2020 kelak di negara-negara terpilih, seperti Amerika Syarikat, Jepun, Korea Selatan, Singapura, Australia dan juga New Zealand. Untuk negara-negara lain, konsol ini dikatakan akan tiba pada 19 November 2020, bergantung kepada ketersediaan konsol tersebut.

Berbeza dengan pelancaran PlayStation 4, PlayStation Asia dilihat agak senyap mengenai butiran pelancaran konsol tersebut di rantau ini. Satu-satunya negara yang dilihat menerima konsol tersebut ialah Singapura, yang telah pun disahkan menjadi satu-satunya negara di rantau ini yang akan menerima konsol tersebut secara rasmi pada hari pertama.

Pada minggu lalu, sebuah acara media telah dilakukan di Singapura di mana media negara tersebut berpeluang bermain beberapa permainan video eksklusif PlayStation 5, dan sedikit sebanyak menguji kemampuan konsol tersebut.

Walaupun begitu, atas sebab wabak COVID-19 yang masih lagi berleluasa, ia juga mungkin menyebabkan Sony tidak boleh menghantar media dari negara yang lain untuk mencuba konsol ini, tetapi mereka telah terlepas peluang untuk mengeluarkan kenyataan mengenai pelancaran dan juga tanda harga konsol tersebut untuk rantau ini.

Ini menyebabkan orang ramai tertanya-tanya jika mereka masih perlu menunggu lebih lama daripada 19 November untuk mendapatkan konsol tersebut.

Orang ramai sedikit sebanyak faham bahawa wabak COVID-19 yang masih lagi membelenggu dunia akan menyukarkan Sony untuk mengeluarkan konsol PlayStation 5 sebanyak yang mungkin.

Kami pasti jika pihak Sony ataupun PlayStation mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pelancaran PlayStation 5 untuk negara-negara lain di rantau ini, mereka akan memahami dan menunggu dengan sabar untuk membeli konsol baru tersebut.

Sony hari ini telah mengumumkan acara PlayStation 5 Asia Celebration Showcase pada 11 haribulan November, sehari sebelum pelancaran rasmi konsol tersebut.

Pada acara tersebut, selain daripada memperkenalkan konsol Sony tersebut sekali lagi, mereka yang mengikuti penstriman acara tersebut berpeluang memenangi pelbagai hadiah, termasuklah sebuah konsol Sony PlayStation 5 yang baru.

Sony juga mungkin akan mengumumkan tarikh pelancaran dan tanda harga jualan untuk konsol-konsol PlayStation 5 ini, tetapi sebarang sangka-baik yang masih ada untuk mereka nampaknya telah lenyap kerana terma dan syarat yang terkandung di dalam kenyataan mengenai acara tersebut.

Menurut PlayStation Asia, pemegang akaun PlayStation Network (PSN) rasmi di Hong Kong, Taiwan, Korea, Singapore, Malaysia, Thailand dan Indonesia layak menyertai pemberian ini.

Ini sepatutnya satu langkah bijak daripada PlayStation Asia untuk menunjukkan ketelusan bahawa mereka tidak melupakan peminat-peminat PlayStation di negara-negara yang masih belum menerima sebarang maklumat mengenai kehadiran konsol tersebut.

Sayangnya, apabila kami membaca terma dan syarat pemberian tersebut, hadiah-hadiah utama seperti konsol PlayStation 5, fon kepala nirwayar Sony Pulse 3D dan juga langganan PlayStation Plus 12 bulan tidak boleh dimenangi oleh pemegang-pemegang akaun PSN dari Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Ini bermaksud bahawa satu-satunya hadiah yang berpeluang dimenangi oleh pemegang akaun PSN di negara-negara tersebut hanyalah hadiah saguhati tema antaramuka PlayStation 4 yang boleh sahaja dimuatkan melalui kedai atas talian PlayStation Store oleh orang ramai.

Kami tidak memahami mengapa PlayStation Asia menyertakan syarat ini kerana Sony hadir secara rasmi di negara-negara ini, dan tidak susah untuk mereka menghantar konsol-konsol ini ke pemenang-pemenang bertuah, walaupun ia harus dihantar dari Jepun.

Lebih teruk lagi ialah hadiah tempat ketiga, iaitu langganan PlayStation Plus untuk pemenang ke-12 sehingga 111 yang juga tidak boleh dimenangi oleh pemegang PSN dari Malaysia, Indonesia dan Thailand, walaupun ianya dijual di kedai-kedai serbaguna seperti 7-Eleven di merata tempat.

Tidak hairanlah jika anda lihat ruangan komen Facebook PlayStation Asia dipenuhi dengan komen-komen marah, yang menanyakan jika rakyat di negara-negara seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia sedang dipersenda oleh PlayStation.

Keputusan yang dibuat oleh pihak PlayStation Asia sangat merunsingkan. Kami pasti bahawa konsol ini akan tiba di pasaran-pasaran Malaysia, Indonesia dan Thailand lambat laun, walaupun kelibat tanda harga masih tidak diperlihatkan lagi.

Tetapi untuk menganak-tirikan pasaran-pasaran ini dengan mengehadkan penyertaan di dalam acara yang sepatutnya diraikan oleh semua orang di rantau ini adalah satu keputusan yang sangat mengelirukan.

PlayStation Experience 2017

Apa yang perlu ditunjukkan oleh Sony ataupun PlayStation ialah sedikit ketelusan mengenai maklumat berkenaan konsol PlayStation 5, dan rasa hormat kepada mereka yang sabar menunggu ketibaannya. Sebagai seorang pengamal media dan juga pengguna konsol PlayStation sejak generasi pertama, tingkah-laku syarikat tersebut mengenai isu ini adalah sesuatu yang harus ditegur.

Ini adalah supaya mereka sedar bahawa hanya kerana PlayStation satu-satunya konsol permainan video yang mempunyai jumlah pengguna besar di rantau ini, mereka tidak boleh mengambil pandangan kita secara sambil-lewa.

Apa-apa pun, kita tunggu acara PlayStation 5 Asia Celebration Showcase yang akan tiba pada minggu hadapan, dan lihat jika pihak Sony akan memperbaiki cara mereka melayan peminat-peminat mereka di Asia Tenggara (selain Singapura).

Sohor Kini