Skip to main content

Saya memiliki kesemua siri FIFA, sejak FIFA 17 lagi, namun saya boleh katakan FIFA 18 dan FIFA 19 adalah dua tahun yang saya meluangkan masa paling lama bermain, FIFA 20 saya meniliknya tetapi telah bermain kurang pada 20 jam dan kebanyakan untuk mod Ultimate Team.

Manakala FIFA 21 pula, saya telah meluangkan masa yang lebih untuk melakukan ulasan ini, dan telah mencuba kesemua mod yang disediakan. Bagi Seperti biasa ia menyertakan beberapa penambahan tetapi secara keseluruhannya ia masih satu permainan yang anda kenali. Namun, ia adalah ‘masalah’ yang dikongsi oleh hampir kesemua permainan genre sukan.

Adakah FIFA 21 berbaloi untuk anda dapatkan terutama jika anda sudah memiliki FIFA 20 ataupun yang lebih lama? Berikut adalah ulasan saya.

Kawalan Dan Kesukaran Yang Lebih Baik

Seperti mana saya katakan di atas, saya kurang bermain FIFA 20, tetapi meluangkan masa lebih lama untuk FIFA 19, oleh itu perbandingan ini mungkin lebih benar jika dibandingkan untuk FIFA 19 berbanding FIFA 20. Namun, saya boleh katakan yang FIFA 21 memberikan perasaan yang anda lebih mengawal pergerakan pemain, dan juga pergerakan bola semasa menerima dan juga dribble.

Saya bukanlah pemain yang sering melakukan gerakan skill, di mana ia terhad kepada yang ringkas sahaja. Namun, pergerakan biasa seperti memecut, berhenti dan menukar arah terasa lebih realistik berbanding apa yang saya ingat sebelum ini. Dengan kata lain, kekecewaan kerana pemain melakukan gerakan yang berlainan dengan apa yang saya inginkan sudah berkurang.

Seterusnya, saya juga merasakan tahap kesukaran untuk CPU juga lebih baik, ia mungkin kerana saya sudah lama tidak bermain tetapi tahap kesukaran seperti World Class kini sangat mencabar, berbanding sebelum ini saya dapat menang dengan selesa. Saya merasakan pilihan serangan dan juga pertahanan yang dilakukan oleh CPU juga nampak lebih “bijak” dan memberi cabaran kepada pemain.

Oleh kerana saya lebih suka meluangkan masa bermain melawan CPU, termasuk juga untuk Ultimate Team, ini adalah penambah-baik yang sangat saya gemari kerana saya kini perlu bermula semula dan cuba untuk memperbaiki cara permainan. Seperkara yang saya boleh katakan sebagai kurang baik adalah tahap kesukaran Professional masih lagi terlalu senang dan jaraknya dengan World Class bagi saya masih terlalu jauh.

Ia sudah semestinya masih bergantung kepada kemahiran pemain, jika anda mempunyai tahap siling kemahiran yang tinggi, CPU di dalam FIFA 21 mungkin masih tidak mencabar untuk anda. Sesetengah pemain juga mungkin lebih suka untuk melakukan tahap kesukaran sendiri menggunakan slider yang disertakan.

Namun, saya masih merasakan yang CPU untuk penjaga gol, masih bertindak secara tidak menentu. Ia adalah masalah yang dari FIFA yang lama lagi, ada masa mereka bertindak dengan baik, ada masa keputusan yang dibuat sangat pelik.

Penambahan Untuk Beberapa Mod, Tetapi FUT masih Mod Utama

Di dalam FIFA, dua mod utama yang saya main adalah Career dan FIFA Ultimate Team. Volta juga kembali untuk tahun kedua. Setiap mod telah menerima pelbagai penambahan, tetapi ia masih lagi tidak dapat menandingi mod untuk FIFA Ultimate Team, tidak mengejutkan kerana ia adalah penjana pendapatan utama untuk EA.

Penambahan utama untuk mod Career adalah ia kini menyertakan simulasi perlawanan interaktif dan sistem kemajuan pemain muda yang lebih baik. Bagi simulasi perlawanan interaktif ia adalah menarik tetapi saya merasakan ia tidak terlalu berguna. Saya sangat sukakan fungsi ini bagi permainan NBA 2K kerana ia dimainkan untuk masa penuh, tetapi FIFA biasanya dimainkan 12 minit sahaja untuk keseluruhan permainan, jadi ia tidak sangat berguna.

Bagi penambahan mengenai kemajuan untuk pemain muda pula, ia sangat baik. Ia kali ini memberi alasan yang baik untuk anda meluangkan masa memfokuskan kepada pemain di akademi berbanding sekadar membeli pemain terkenal seperti yang saya sering lakukan sebelum ini. Walau dengan pelbagai penambahan ini, saya masih kurang menggemari mod ini kerana selepas satu jangka masa ia menjadi tidak realistik.

Perpindahan untuk pemain juga sedikit pelik, walau apapun boleh terjadi di dalam dunia bola sepak tetapi ada perpindahan yang terasa pelik, contohnya Liverpool yang tidak mempunyai masalah penyerang tiba-tiba membeli Jamie Vardy yang sudah berumur 33 tahun, dan Leicester City menjual penyerang terbaik mereka?

Ia juga mempunyai pepijat semasa ‘adegan-adegan’ seperti pembelian pemain, contohnya menggunakan model yang salah untuk pengurus dan, model yang sama untuk pengurus dan wakil dari pasukan lain. Sistem dialog juga membosankan.

Bagi mod Volta pula, mereka menyertakan kawalan yang lebih baik, dan juga mod multi-pemain 5 lawan 5 dan kemaskini untuk mod penceritaan serta penambahan barangan kosmetik dan juga lokasi padang.

Bagi kawalan, ia terasa lebih baik berbanding FIFA 20, akan tetapi saya masih merasakan ia masih mempunyai kekeliruan identiti. Ia cuba menjadikan sesi permainan yang lebih arked, tetapi masih membawa “simulasi” daripada kawalan FIFA 21, berbanding membawa sesi permainan yang lebih menarik ia menjadi seakan permainan FIFA yang versi kurang baik.

Mod penceritaan juga sangat membosankan, tidak membawa apa-apa nilai tambah, manakala mod multi-pemain, amat sukar untuk mencari lawan, mungkin kerana pemain masih lagi memfokuskan kepada mod FIFA Ultimate Team.

Bercakap mengenai FIFA Ultimate Team, ia masih lagi mod utama untuk siri permainan FIFA. Kali ini, ia tidak menyertakan banyak perubahan, tetapi membuang penggunaan Fitness, sangat-sangat saya sukai. Terutama kerana saya adalah pemain yang tidak sangat berbelanja, saya tidak mempunyai pemain yang ramai, dan kebiasaan menggunakan pemain yang sama untuk kebanyakan perlawanan.

Penambahan lain adalah ia kini juga menyertakan mod koperasi, berguna bagi anda yang ingin bermain bersama rakan berbanding berseorangan. Anda juga kini melakukan perubahan yang lebih mendalam untuk pasukan anda, seperti hiasan Stadium dan juga sorokan yang dilakukan. Ia sekurang-kurangnya memberi peluang untuk menjadikan pasukan anda ‘lebih anda’.

Bagi cara untuk mendapatkan pemain, serta pek, ia masih sama dengan siri sebelum ini, walaupun terdapat pelbagai cara untuk membolehkan anda mendapatkan pek bagi mendapatkan pemain, tetapi akhirnya ia masih akan memerlukan berbelanja untuk membentuk pasukan yang lebih baik. Oleh itu, anda masih menetapkan sasaran anda sebelum memulakan pasukan FIFA Ultimate Team, terutama kerana ia berguna untuk setahun sahaja.

Sudah Tiba Masa Untuk FUT Menjadi Mod Percuma

Saya tidak menyentuh bahagian grafik kerana bagi saya ia tidak membawa perbezaan yang ketara, saya mungkin akan mengemaskini ulasan ini, apabila saya mencubanya di konsol generasi baharu tetapi buat masa ini tidak banyak yang boleh diperkatakan.

Namun, sebelum saya mengakhiri ulasan ini, saya merasakan yang satu-satunya sebab mengapa pemain membeli FIFA saban tahun adalah kerana mod FIFA Ultimate Team. Penambahan yang disertakan untuk mod-mod lain terlalu kecil untuk melayakkan ia dibeli setiap tahun.

Oleh kerana itu juga, saya merasakan yang FIFA seharusnya menawarkan FIFA Ultimate Team secara percuma, kerana walaupun tanpa pembayaran harga penuh, ia masih menjana pendapatan yang tinggi.

Ia mungkin sesuatu yang tidak perlu dilakukan oleh EA, kerana pemain masih membelinya, tetapi selagi FIFA tidak membawa perubahan yang ketara setiap tahun saya boleh memberi rumusan yang sama, beli jika anda adalah pemain setia FIFA Ultimate Team sahaja, bukan kerana ia berbaloi, tetapi kerana anda tidak mempunyai pilihan lain. Selain daripada itu, FIFA 19 ataupun FIFA 20 masih lagi mencukupi.

Penafian: Kod ulasan FIFA 21 disediakan oleh EA untuk tujuan ulasan.

FIFA 21
HARGA: RM249
EA Kembali Lagi Dengan Permainan Terbaru Untuk Siri FIFA 21. Walaupun Dengan Pelbagai Perubahan Ia Masih Terasa Satu Permainan Yang Sama
Positif
Masih Lagi Pilihan Terbaik Untuk Simulasi Bola Sepak
FIFA Ultimate Team Masih Lagi Mod Paling Menarik Untuk Genre Ini
Negatif
Pembaharuan Untuk Setiap Mod Sangat Terhad
Pelbagai Pepijat Yang Menjengkelkan
7

Leave a Reply