4 Permainan Menarik Untuk Bulan November 2020

Selepas penantian sekian lama, kita akhirnya memasuki era generasi konsol yang baharu apabila Xbox Series dilancarkan pada 10 November ini, dan PlayStation 5 pada 12 November ini. Walaupun pengguna di Malaysia masih ternanti-nanti pengumuman rasmi kemasukan konsol-konsol tersebut, tetapi sekurang-kurangnya kita sudah mendapat senarai permainan yang akan tiba pada bulan ini.

Selepas beberapa bulan kita mempunyai bulan yang ‘tenang’, bulan ini dilimpahi dengan pelbagai permainan menarik, ia bukan sahaja untuk konsol generasi baharu, tetapi juga untuk konsol sekarang dan PC. Dengan lambakkan permainan, berikut adalah 4 permainan menarik pilihan kami;

Marvel’s Spider-Man: Miles Morales

Pertama kali Miles Morales dipekenalkan di dalam permainan Marvel’s Spider-man, ramai pemain yang tidak sabar untuk bermain sebagai dirinya. Melalui Marvel’s Spider-man: Miles Morales keinginan tersebut akan menjadi realiti. Saya tidak perlu alasan yang banyak untuk kembali bermain permainan ini, tetapi menyertakan watak yang mempunyai kuasa serba baru, ia menjadi sesuatu yang wajib untuk saya cuba.

Sedikit mengecewakan yang konsol PlayStation 5 masih tidak disahkan lagi untuk pasaran Malaysia, sekurang-kurangnya buat masa terdekat ini, tetapi dengan juga ditawarkan untuk PS4 dan boleh dinaik taraf percuma, kita tidak perlu menunggu lama untuk mencubanya. Marvel’s Spider-man: Miles Morales akan tiba bersama dengan pelancaran PS5 iaitu pada 12 November 2020.

Assassin’s Creed Valhalla

Selepas ‘berehat’ pada tahun lepas, Ubisoft akhirnya membawa permainan baharu untuk siri Assassin’s Creed. Melalui Valhalla mereka menjanjikan bentuk permainan yang lebih dikembangkan berbanding permainan-permainan sebelum ini. Walaupun, ia terasa sama sebelum ini, saya masih lagi meluangkan lebih 100 jam bermain setiap-nya, oleh itu saya sudah semestinya tidak sabar untuk mencuba yang baharu ini, terutama di konsol generasi baharu.

Ia buat pertama kalinya akan membolehkan pemain untuk menggunakan watak lelaki dan perempuan pada satu masa, dan boleh bertukar pada bila-bila masa. Ia juga membawa kembali dan mengembangkan lagi sistem pengurusan penempatan. Assassin’s Creed Valhalla akan dikeluarkan bersama dengan pelancaran Xbox Series iaitu pada 10 November untuk PlayStation 4, Xbox One, Xbox Series dan PC. Ia akan tiba untuk PS5 bermula 12 November.

Call of Duty: Black Ops Cold War

Tidak sah jika setiap akhir tahun, Activision tidak mengeluarkan permainan Call of Duty baharu. Tahun ini, mereka hadir dengan siri Black Ops terbaru iaitu Call of Duty: Black Ops Cold War. Berbeza dengan Black Ops 4 yang dikeluarkan pada tahun 2018, kali ini mereka membawa kembali kempen permainan solo selain menyertakan kandungan multi-pemain. Ia akan tiba pada 13 November untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series dan PC.

Bagi saya yang kurang bermain permainan multi-pemain, kembalinya kempen penceritaan adalah satu yang positif, tambahan mereka juga mengatakan yang ia akan mempunyai pengakhiran berbeza berdasarkan pilihan oleh pemain. Bagi yang lebih menyukai mod multi-pemain, ia sudah semestinya menyertai mod ini, bahkan ia lebih memfokuskan kepadanya. Semasa percubaan kami, ia tidak membawa sebarang pembaharuan di mana anda boleh membacanya di pautan ini; Pandang Pertama Beta Multi-Pemain Call Of Duty: Black Ops Cold War – Resipi Permainan Penembak Yang Sama.

Football Manager 2021

Football Manager oleh Sports Interactive ini boleh dikatakan memonopoli pasaran permainan simulasi pengurusan bola sepak. Buat masa ini masih tiada permainan yang dapat menandingi mereka, yang ada hanyalah permainan-permainan mudah alih percuma. Itu-pun ia tidak menyertakan bentuk permainan yang mendalam.

Football Manager 2021 seperti biasa akan menyertakan penambahan yang walaupun tidak besar tetapi tetap menarik. Antara penambahan yang disertakan adalah pelbagai lagi cara untuk pemain memperlihatkan reaksi kepada temubual ataupun keputusan perlawanan, termasuk juga membaling botol. Ia akan dikeluarkan pada 24 November 2020 untuk PC melalui Steam dan Epic Games Store. Bagi platform lain iaitu Xbox, Switch dan peranti pintar akan tiba kemudian.


Selain 4 permainan di atas, terdapat lagi permainan yang lebih kurang menarik. Dirt 5 serta Need for Speed Hot Pursuit Remastered bagi yang meminati permainan lumba kereta, Yakuza Like a Dragon untuk peminat Yakuza dan Hyrule Warriors: Age of Calamity untuk pemilik Nintendo Switch.

Jika anda ingin melihat senarai penuh anda boleh lihat-nya di senarai yang kami sertakan di bawah.

Sohor Kini