Skip to main content

Bagi anda yang memiliki set kepala realiti-maya PlayStation VR dan ingin bermain permainan-permainannya di konsol PlayStation 5, Sony Interactive Entertainment hari ini mengumumkan yang mana mereka akan menawarkan penyesuai khas PlayStation Camera untuk kegunaan di konsol PlayStation 5 secara percuma.

Seperti anda sedia maklum, permainan realiti-maya PlayStation VR memerlukan set PlayStation Camera (Seperti imej di atas) untuk merakam pergerakan pemain dan PlayStation Camera yang dilancarkan bersama PlayStation 5 tidak mempunyai fungsi tersebut. Namun, PlayStation Camera versi asal di atas menggunakan penyambung khas dan disebabkan konsol PlayStation 5 tidak mempunyai penyambung tersebut, mereka kini menawarkan penyesuai secara percuma buat pemilik PlayStation VR.

Jadi untuk mendapat penyesuai tersebut, anda perlu melayari satu laman khas melalui pautan di bawah dan melengkapkan kod nombor siri yang terletak di dalam sistem PlayStation VR anda seperti yang tertera di atas. Anda juga perlu memilih versi PlayStation VR anda sama ada versi CUH-ZVR1 ataupun CUH-ZVR2 yang mana kedua-dua mempunyai rekaan berbeza di mana informasi lanjut anda boleh baca di sini.

Setelah anda memilih negara Malaysia dan meletakkan nombor siri tersebut, anda akan terus menerima satu borang khas untuk mengisi alamat rumah anda untuk dapatkan penyesuai tersebut secara percuma.

Setelah anda menerima pautan ini ia bermakna pengisian borang tersebut sudah pun lengkap dan berdasarkan jadual yang diperlihatkan di laman informasi yang dikongsikan oleh Sony, penyesuai tersebut akan dihantar sekitar bulan Disember ini.

Jadi bagi anda yang ingin dapatkan penyesuai tersebut, anda boleh melayari pautan rasmi di bawah.

Layari: Permintaan Penyesuai PlayStation Camera

Leave a Reply