Seperti yang dijanjikan oleh Sony sebelum ini, PlayStation Store kini akhirnya berwajah baharu melalui pelayar web di mana mereka menukar rekaan gelap kepada rekaan yang lebih cerah dengan warna putih.

Melalui rekaan baharu ini, PlayStation Store di pelayar web tidak lagi akan mempamerkan permainan PlayStation 3 mahupun PlayStation Vita. Selain itu, rekaan ini juga kelihatan menyertakan laman khas untuk konsol PlayStation 5 dengan beberapa permainan akan datang seperti Marvel’s Spider-Man: Miles Morales, Demon’s Souls dan sebagainya.

Seperti yang tersenarai sebelum ini, harga bagi permainan PlayStation 5 juga kelihatan akan meningkat untuk judul berkelaskan AAA di mana untuk permainan seperti Demon’s Souls, ia dijual dengan harga RM299 untuk edisi biasa. Edisi Deluxe pula akan dijual dengan harga RM379.

Senarai harga tersebut juga boleh dilihat untuk permainan-permainan lain seperti Call Of Duty: Black Ops Cold War dengan harga RM289 termasuklah beberapa judul daripada pihak ketiga yang mana mempunyai tanda harga baharu untuk konsol PlayStation 5 berbanding PlayStation 4.
Jelas sekali menjelang konsol generasi baharu ini, harga permainan akan meningkat pada masa akan datang dan permainan dengan tanda harga $70 ataupun sekitar RM289 adalah norma baharu untuk pemain di Malaysia.
Seperti biasa, kami akan mengemaskini informasi lanjut setelah ia diumumkan kelak. Buat sementara waktu ini, anda boleh melayari laman rasmi PlayStation Store melalui pautan di bawah.
Layari: PlayStation Store