Lanjutan daripada kejohanan GR Supra GT Cup Asia 2020 yang kami kongsikan sebelum ini, kejohanan tersebut akhirnya tamat secara rasmi pada hujung minggu lepas dengan kejayaan kepada Ar Muhammad Aleef dari Singapura di mana beliau berjaya menumpas 15 pelumba lain yang terdiri daripada pelbagai negara seperti Thailand, Malaysia, Filipina dan India.
Pelumbaan tersebut tamat dengan kejayaan Aleef sebanyak 36 jumlah markah, terus menumpas pelumba lain termasuklah 3 pelumba dari Malaysia iaitu Aiman, Iqbal dan Hafiz.
Dengan kejayaan Aleef, beliau membawa pulang wang hadiah sebanyak RM24,000 dan diikuti dengan tempat kedua iaitu Aiman dari Malaysia dan Sirigaya dari Thailand untuk tempat ketiga.
Selain itu, Aleef juga akan mewakili Asia untuk kejohanan GR Supra GT Cup 2020 peringkat global yang akan diadakan pada bulan Disember ini. Untuk informasi lanjut berkenaan kejohanan global tersebut anda boleh ke laman rasmi GR Supra GT Cup 2020.
Menurut Aleef, beliau sangat berbangga dengan kejayaannya dan tidak akan mengecewakan peminat pelumba untuk kejohanan global ini. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Toyota atas peluang untuk menyertai kejohanan tersebut.
Pada masa yang sama, naib presiden Toyota Motor Asia Pacific, iaitu David Nordstrom juga menyatakan kejohanan GR Supra GT Cup Asia merupakan satu kejohanan yang dibawa oleh semangat peminat dan mereka sendiri berbesar hati dengan kejohanan ini.
Bagi anda yang ingin menonton tayangan penuh sesi kejohanan tersebut, anda boleh tontonnya di bawah.