The Arcade Crew dan 1P2P hari ini mengumumkan satu permainan RPG baharu yang akan dilancarkan oleh mereka iaitu Young Souls. Menurut mereka, permainan ini akan tiba di Stadia dahulu dan akan dilancarkan di PC melalui Steam kelak.
Melalui Young Souls, permainan ini boleh dimainkan secara solo ataupun koperasi di mana pemain akan bermain sebagai Jenn dan Tristan di mana mereka adalah kembar yang akan mengembara di dalam dunia fantasi untuk menyelamatkan ayah angkat mereka. Menurut pembangun, permainan ini juga akan memfokuskan tema keremajaan, kekeluargaan dan pelbagai pengembaraan yang mendalam.
Dengan pelbagai jenis senjata, kelengkapan, perisai dan sebagainya, pemain akan bertembung dengan pelbagai jenis raksasa dengan menerokai dunia fantasi yang pelbagai.
Buat masa ini, The Arcade Crew masih belum mengumumkan sebarang tarikh pelancarannya dan kami di Aksiz pasti akan mengemaskini setelah ia diumumkan kelak.