Ulasan Mini – Genshin Impact

Sebelum saya mulakan ulasan untuk Genshin Impact, bagi yang mengikuti Aksiz sudah mengetahui yang saya sangat menyukai permainan oleh Mihoyo ini melalui perbandingan yang saya lakukan dengan Marvel’s Avengers; 5 Perkara Yang Menjadikan Genshin Impact Lebih Seronok Berbanding Marvel’s Avengers.

Namun, melalui ulasan ringkas untuk Genshin Impact ini saya akan nyatakan apa yang mereka lakukan dengan baik, dan sekaligus menjadikan ia adalah permainan yang saya bermain setiap hari sejak dilancarkan pada 28 September lepas.

Kitaran Permainan Yang Jelas

Apabila kita bercakap mengenai permainan ‘live-service’ ataupun permainan ‘gacha’, perkara yang penting mengenainya adalah kitaran permainan. Sesuatu yang akan menjadi sebab utama mengapa pemain akan membuka dan bermain sesuatu permainan setiap hari.

Bagi Genshin Impact, ia menawarkan satu sistem kitaran yang jelas dan mudah untuk difahami, walaupun tidak semestinya mudah serta cepat untuk dilakukan. Anda akan mempunyai pilihan watak yang diperoleh melalui sistem gacha, bagi watak yang anda inginkan ia akan memerlukan peningkatan tahap.

Pada satu masa, anda boleh membawa 4 watak, tetapi boleh menggunakan 1 watak sahaja pada satu masa. Ia boleh ditukar-tukar pada bila-bila masa termasuk juga semasa pertempuran dengan jarak masa yang singkat.

Selain watak, anda juga perlu meningkatkan tahap senjata dan juga Artifact. Peningkatan tahap ini penting untuk memastikan anda dapat mengharungi dunia permainan yang apabila anda mencapai kemajuan tertentu ia akan menjadi makin sukar iaitu World Rank.

Bagi meningkatkan tahap watak, senjata dan Artifact anda boleh menggunakan material khusus untuknya. Terdapat juga Ascend untuk menambahkan lagi tahap maksimum bagi setiap daripadanya. Ia juga akan memerlukan barangan tertentu.

Keperluan mencari barangan-barangan tersebut adalah kitaran permainan utama bagi Genshin Impact. Ia adalah berulang untuk dilakukan setiap hari, akan tetapi oleh kerana setiap-nya diberitahu dengan jelas, seperti cara untuk mendapatkannya, tempat ia berada, usaha anda akan menjadi lebih berpandu dan tidak terasa melakukannya tanpa arah tujuan.

Setiap kali saya membuka permainan ini, saya akan mempunyai sasaran, dan berdasarkan sasaran tersebut ia akan menentukan apa yang saya lakukan setiap hari. Oleh kerana tiada sesi permainan yang terasa satu pembaziran, ia memberi motivasi untuk saya terus melakukannya setiap hari. Tambahan permainan ini juga menyertakan pelbagai tempat dan cara berbeza untuk sekurang-kurangnya membantu anda melakukannya dengan lebih cepat.

Saya juga sangat menyukai antaramuka yang disertakan di dalam permainan ini. Ia sangat memudahkan saya untuk melihat barangan yang diperlukan, di mana untuk mencarinya, di mana-mana sahaja saya berada tanpa memerlukan anda untuk menuju ke lokasi tertentu seperti permainan-permainan yang berkongsi genre sama.

Rekaan Grafik Yang Menawan

Pada awal pengumuman Genshin Impact, perkara pertama yang menarik perhatian saya adalah rekaan dunia, watak serta arahan seni yang digunakan. Apabila saya mencuba sendiri permainan ini, ia masih mengagumkan dan mengatasi apa yang sangat jangkakan daripada melihat video acah untuknya.

Ia menyertakan satu kawasan yang luas, bersesuaian sebagai permaianan dunia terbuka. Buat masa ini, ia menyertakan dua kawasan utama iaitu Mondstadt, serta Liyue. Dua kawasan ini cukup luas untuk saya tidak terasa bosan mengembara dan meneroka walaupun sudah bermain melebihi 30 jam.

Tambahan lagi, setiap dunia tersebut dihasilkan dengan ciri rekaan tersendiri. Mondstadt dihasilkan dengan pembinaan berdasarkan Eropah manakala Liyue pula dihasilkan dengan rekaan berdasarkan seni binaan China. Perbezaan ini memberi pengalaman yang unik semasa mengembara. Selain itu, ia juga menyertakan pelbagai barangan berbeza termasuk juga rekaan penjahat yang berlainan.

Dua ini sudah cukup besar, dan Mihoyo juga telah mengumumkan yang terdapat lebih 5 dunia lagi yang akan diperkenalkan dari semasa ke semasa dan setiap-nya akan membawa rekaan yang berbeza. Jadi walaupun anda sudah bosan dengan dua tempat itu, tidak lama lagi akan tiba kawasan-kawasan lain untuk diterokai. Memastikan permainan ini sentiasa terasa segar. Ini juga termasuk dengan pelbagai Dungeon yang terdapat di sekitar dunia-dunia yang setiapnya mempunyai keunikan rekaan yang tersendiri.

Rekaan watak juga adalah menarik, dan ia semestinya akan menjadi tarikan utama untuk pemain. Walaupun beberapa watak akan berkongsi elemen yang sama, dan akan menggunakan pewarnaan utama yang sama tetapi setiap rekaan adalah unik, dengan mereka akan memperkenalkan pelbagai lagi watak dari semasa ke semasa ia akan menjadi lebih menarik walaupun kebanyakan pemain tidak akan mendapat melebih separuh daripada jumlah watak.

Sistem Pertempuran Ringkas Tetapi Mendalam

Sebagai satu permainan yang turut boleh dimainkan di telefon pintar, Genshin Impact menyertakan sistem pertempuran yang ringkas. Ia adalah penting untuk memastikan kawalan di platform tersebut adalah lebih mudah untuk dilakukan.

Walau-bagaimanapun ia juga menyertakan kepelbagaian kebolehan, serta penggunaan elemen yang baik menjadikan ia lebih mendalam jika pemain ingin melakukan serangan yang paling optimum. Ia juga berkait dengan watak, senjata serta Artifact yang anda guna.

Setiap watak boleh bertukar-tukar peranan yang akan memberikan pemain pelbagai cara untuk membentuk pasukan. Ini ditambah lagi dengan kepelbagaian penjahat yang disertakan, yang memerlukan anda untuk mengubah cara pertempuran agar menyesuaikan dengan kekuatan serta kelemahan penjahat tersebut.

Kepelbagaian inilah yang memberi kedalaman kepada sistem pertempuran, ia mungkin nampak ringkas secara luaran ataupun apabila melihat sistem kawalan, tetapi mempunyai pelbagai nilai tambah serta cabaran untuk menjadikan ia menarik.

Satu Permainan Percuma Yang Menarik, Tetapi Tidak Mesra Kocek

Genshin Impact adalah permainan percuma, ia boleh dimainkan buat satu masa yang lama tanpa memerlukan anda berbelanja. Namun, ia bukanlah permainan yang mesra “pemain tidak berbelanja” sebaliknya jika anda ingin mendapat kesemua kandungan yang disertakan anda sudah semestinya perlu berbelanja, kerana sistem yang disertakan sangat mendesak.

Saya sudah bermain pelbagai permainan gacha, dan saya boleh katakan Genshin Impact bukanlah permainan yang paling ‘pemurah’. Ia juga bukan sesuatu yang membuatkan saya menyukai permainan ini. Jika anda tidak biasa dengan permainan gacha, dan berharap ia adalah seperti permain aksi pengembaraan yang lain, anda akan sangat kecewa.

Adakah ia tidak boleh dimainkan secara percuma?

Boleh, tetapi anda perlu menetapkan sasaran ataupun mengapa anda bermain lebih awal lagi. Jika anda main untuk berharap mendapat kesemua watak, mustahil untuk mendapatkannya tanpa berbelanja. Namun, jika anda ingin bermain sekadar untuk menghabiskan misi serta penceritaan, dan menggunakan mana-mana watak yang anda ada, ia boleh dilakukan walaupun mungkin mengambil masa yang lama.

Walaupun saya sendiri berbelanja di dalam permainan ini, tetapi saya melakukannya selepas sudah bermain lebih 20 jam, dan kerana saya menyasarkan untuk mendapat watak-watak yang menarik.

Permainan ini juga menyertakan sistem koperasi dalam talian yang baik, walaupun anda tidak mempunyai kumpulan permainan yang mencukupi, contohnya untuk mengalahkan satu Domain, anda boleh bermain secara koperasi sama ada dengan rakan ataupun secara rawak melalui sistem Matchmaking.

Oleh itu, saya boleh katakan yang ia adalah permainan percuma yang boleh terus bermain secara percuma, tetapi bergantung kepada apa yang anda inginkan daripada permainan ini, anda mungkin perlu membayar untuk mendapatkannya.

Genshin Impact
Percuma
Permainan aksi Pengembaraan Oleh Mihoyo Ini Membawa Sesuatu Yang Baharu Untuk Genre Permainan Percuma.
Positif
Rekaan Kitaran Permainan Yang Jelas
Grafik Dan Bentuk Pertempuran Yang Menarik
Negatif
Kebanyakan Kandungan Memerlukan Nasib Dan Pembelanjaan
8

Sohor Kini