Remothered: Broken Porcelain merupakan sekuel kepada Remothered: Tormented Father yang dilancarkan beberapa tahun lepas di mana ia menyambungkan penceritaan Rosemary Reed dan watak baharu, seorang gadis bernama Jennifer. Sebagai satu permainan seram, adakah permainan ini membawa sebarang pengalaman ngeri untuk pemain? Ini adalah ulasan kami.

Dunia Dan Atmosfera Seram Yang Tipikal
Atas kertas, penceritaan dan naratif permainan Remothered: Broken Porcelain ini sememangnya agak menyeramkan. Ia berjaya membawa elemen seram dengan pelbagai watak-watak tipikal seperti watak penjahat yang asalnya nampak seakan watak baik dan juga watak-watak rakan peneman untuk watak utama permainan ini.
Misteri permainan ini pula asalnya agak mudah untuk difahami, setelah anda maju di dalam penceritaan permainan ini, terdapat beberapa aspek yang agak memeningkan dan memerlukan anda untuk mengkaji berkenaan beberapa kandungan dan kisah keseluruhan siri permainan ini.
Walaupun pada permulaan permainan ini, ia menyertakan imbas kembali permainan pertama, tetapi pada pendapat saya ia agak terlalu ringkas dan saya syorkan anda untuk membaca di laman yang menerangkan penceritaan yang lebih terperinci. Meskipun begitu, sekurangnya jika anda tidak bermain permainan pertama, beberapa plot utama permainan ini masih diceritakan melaluinya.

Dari segi bentuk permainan lain, permainan ini adalah seakan permainan seram lain yang memerlukan pemain untuk menyelesaikan beberapa tekaria dan melarikan diri ataupun bersembunyi daripada pemburu. Selain itu, pemain juga boleh menghasilkan barangan yang akan membantu pemain untuk mengalih perhatian musuh dan sebagainya.
Setelah pemain maju di dalam permainan, pemain juga akan menerima kemahiran kuasa kupu-kupu ataupun Moth yang berupaya untuk membantukan pemain untuk membuka kunci ataupun menggerakkan penceritaan eprmainan ini.

Pengalaman Ngeri Disebabkan Pepijat Dan Masalah Permainan
Masalah utama permainan ini adalah ia merupakan satu permainan seram, tetapi kebanyakan sesi ngeri yang saya bermain bukan daripada penyampaian penceritaan permainan ini tetapi lebih kepada masalah dan pepijat.
Saya sendiri tidak tahu berapa kali saya mengulangi beberapa bahagian awal permainan ini atas sebab ia mempunyai pepijat yang menyebabkan permainan saya terbantut. Salah satunya ketika bertempur dengan ketua musuh pertama yang memerlukan pemain untuk melarikan diri dan menyerang secara selinap.
Bentuk ini asasnya agak ringkas jika dimainkan di permainan lain, tetapi atas sebab beberapa aspek kawalan yang agak rosak dicampur pula dengan pepijat, butang untuk melakukan serangan tersebut sering sekali tidak keluar dan menyebabkan serangan selinap saya terbantut.
Ini membuatkan segala usaha untuk menumpaskan musuh berulang kali gagal, sekaligus membuatkan saya sendiri sangat menjengkelkan permainan ini. Walaupun begitu, setelah cubaan berulang kali, saya berjaya melepasi ketua musuh tersebut namun ketika bertempur musuh yang kedua, masalah yang sama saya hadapi, yang membuatkan saya sendiri putus asa.
Selain itu, permainan ini juga mempunyai kerosakan dari segi audio dan visual yang tidak menyegerak, sekaligus membuat sebarang kejutan di dalam permainan ini berasa tidak langsung mengejutkan dan saya sendiri berasa seolah ia adalah satu jenaka sahaja.

Terlalu Banyak Masalah Menyebabkan Ia Tidak Langsung Boleh Dimainkan
Apa yang saya boleh simpulkan adalah asas permainan ini sememangnya mempunyai elemen dan bentuk permainan seram yang bagus. Dengan memfokuskan naratif beberapa watak dicampur pula dengan aspek adegan imbas kembali dan perwatakan antara watak berbeza, ia membawa beberapa elemen penceritaan seram dengan gaya penyampaian yang menarik.
Akan tetapi, disebabkan masalah permainan dengan pepijat yang sangat teruk sehingga membuatkan beberapa kerosakan visual dan juga kerosakan bentuk permainan, permainan ini boleh dikatakan tidak langsung boleh dimainkan dan satu permainan yang dilancarkan terlalu awal.
Pembangun semestinya memerlukan masa untuk memastikan kualiti permainan ini berada di dalam keadaan optimum dan dengan melancarkannya lebih awal dengan keadaan yang sangat rosak, ia ibarat satu penghinaan buat peminat siri permainan ini. Walaupun begitu, bagi anda yang seorang yang penyabar, anda mungkin boleh mencuba permainan ini.
Penafian: Kod ulasan Remothered: Broken Porcelain disediakan oleh Modus Games.